“Izinkanku mencuri bayangan wajahmu...”
Ringtone yang dipasang pada alarm handset Badrul berbunyi. Jam ketika itu baru menunjukkan pukul 4.15 pagi. Subuh kian hari kian awal di sini. Adakalanya siang panjang, dan adakala malam pula panjang. Adil bukan tuhan? Begitulah kesan lumrah putaran bumi dan perjalanan matahari di sini. Bagi yang berada berdekatan garisan khatulistiwa, perubahannya tidaklah begitu ketara.
Masalahnya bukan di situ. Tapi pada diri yang merasai suasana perubahan iklim tersebut. Orang dulu-dulu sering berkata, masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau mengaum. Itulah yang cuba dipraktikkan Badrul, walaupun pada hakikatnya susah untuk berubah dari mengembik kepada mengaum.
Jika di kandang kambing dulu, mungkin makanan akan diberi seawal jam 5.30 pagi. Tapi, sejak berpindah ke kandang harimau makanan selalunya diberi seawal 4.00 pagi. Maklumlah, harimau kan gagah. Maka, dalam apa jua keadaan terpaksalah kita menyesuaikan diri dengan suasana baru. Kalau mahu makan, kenalah bangun pagi, kalau tidak berlaparlah kita sepanjang hari, hingga makanan sampai pada esok hari.
Hampir 8 bulan berada di bumi Kinanah, Badrul sedikit sebanyak berjaya menyesuaikan diri dengan suasana baru. Alarm handsetnya dimatikan. Dilihat jamnya baru pukul 4.15 pagi.
“Sekarang pukul 4.15, azan Subuh pukul 4.20. Bilal iqamah 30 minit lepas azan. So, 4.20 + 30 = 4.50. Ada lagi 35 minit lagi”
Dia menghitung masa dan kembali tidur. Kali ini tidur sambil duduk. Takut-takut terlajak tidur. Tidak lama selepas itu, (boleh dikatakan lama juga) Saif, kawan serumah Badrul datang menggerakkan Badrul. Sudah menjadi rutin Saif, mengejut Badrul setiap hari. Pada awalnya tenang saja, bagaikan seorang isteri menggerakkan suaminya. Lembut suaranya bagaikan mendodoi manja, Badrul tak terasa apa-apa.
Ada sedikit marah yang memuncak, mana tidaknya sudah berkali-kali badan Badrul ditolak,tapi masih belum terjaga. Bagaikan batu pun ada. Ditenung muka Badrul lama-lama, sedikit menyampah meresap ke dada. Hendak saja kaki naik ke kepala, senang sikit terjaga. Belum sempat kaki hinggap ke muka, Badrul sudah terjaga. Saif terkaku, dalam diam dia senyum sendirian. Itulah, beruntung juga kalau kaki ada “air freshner”.
“Weh bangun Subuh. Dah pukul 5.00 dah ni. Buang selimut babi tu”. Nada Saif sedikit tinggi.
“Ooo, lambat gila. Asal kau angkat kaki? Stretching ke?”. Badrul masih mamai, dia sendiri tidak faham apa yang disebutnya. Digeleng-geleng sedikit kepala, dia bingkas bangun, membetulkan kain pelekatnya dan segera menuju ke bilik air. Kedinginan air paip menghilangkan rasa ngantuknya. Rasa sedikit bertenaga. Selesai berwuduk dia segera menunaikan solat Subuh.
Selesai solat, dia tidak lupa berdoa. Dengan mendahulukan pujian dan selawat kepada Allah dan Rasulullah, lisannya menuturkan segala kalam yang hatinya ingin bicarakan. Diikuti doa untuk ibubapa dan kesejahteraan seluruh umat islam agar didatangkan bantuan dalam segala pekerjaan. Akhir sekali, doa yang takkan dia tinggalkan ialah agar dihadirkan seorang “peneman” pilihan tuhan. (Mari ramai-ramai aminkan untuknya)
“Abe, bangun. Subuh. Dah nak terang dah ni”. Badrul mengajak temannya, Asyraf agar tidak ketinggalan Subuh. Asyraf berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Oleh kerana itu dia selesa diberi jolokan Abe. Nama yang cukup sinonim bagi semua warga pantai timur.
“Errhmk”. Boleh digambarkan tak bunyinya? Itulah bunyi yang sering dikeluarkan. Memang kalau pagi-pagi, wajib ada bunyi ini. Perkataan wajib digunakan bagi menggambarkan situasi keadaan di mana ia amatlah kerap berbunyi. “Involuntary sound reflection”. Itulah bunyi Abe, liat sungguh nak bangun. Mungkin malam tadi dia tidur lewat agaknya. Abe rajin mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam.
“Nanti aku solatlah. Hish! Kacau betullah, aku dah nak kahwin dah tadi.” jawabnya lagi sambil memalingkan badan ke sebelah yang lain. Hebat, mimpi ke gerbang pelamin agaknya. Tapi itu dia punya pasal lah. Nadanya sedikit menyakitkan hati Badrul. Mana boleh berdiam diri.
“Macam ni ke kau nak cakap, kalau Rasulullah sendiri yang kejutkan?” Badrul memulakan. Mukanya tampak semakin serius. Dahinya berkerut menampakkan garis-garis di dahi.
“Habislah, Bad dah start kuliah Subuh dia”. Saif bermonolog sendirian.
“Abe...bangun! Kau orang islam kan? Kau tahu kan apa itu solat? Kau tahu kan balasan untuk orang yang tinggalkan solat?”
“Alah nanti aku qada la! Bising betul lah!”. Panas. Keadaan semakin tegang. Tak sangka Asyraf masih lagi mampu bersuara. Peringatan tentang Rasulullah hanya bermain di luar fikirannya. Agaknya. Atau mungkin ada sedikit termakan dengan kata-kata.
“Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab pada hari qiamat adalah solatnya. Sekiranya baik solatnya maka dia telah berjaya. Sekiranya rosak solatnya maka kecewa dan rugilah dia”. Badrul menambah lagi. Walaupun dia masih baru di bumi Auliyak, ilmu yang ada padanya digunakan sebaiknya. Ilmu bukan bahan hiasan yang dilahirkan untuk kebanggaan, tetapi bahan empangan, yang ditakung dan disebarkan untuk kebaikan.
Diam, Asyraf masih lagi terbaring. Badrul tahu, asyraf tidak lena sebenarnya malah mendengar kata-katanya. Asyraf senang terasa dengan kata-kata seperti ini. Sekeras-keras hatinya pasti akan kalah juga kalau disebut mengenai neraka, akhirat, qiamat dan seumpamanya. Cuma dia sengaja tidak mahu malu di depan mereka. Alhamdulillah, kita masih punya gentar pada Allah. Badrul meneruskan lagi kuliahnya.
“Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, kemudian mengqadaknya akan diseksa di dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub bersamaan 80 tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, dan satu hari di akhirat perbandingannya bersamaan seribu tahun di dunia”.
Selimutnya diselak. Ternampak wajah berkerut yang cuba disorokkan dari sinaran kalimantang. Ternyata dia memang tidak tidur. Sekadar menutup mata, entah-entah tidak mampu buka sebab terlalu banyak tahi mata agaknya. Jari-jari kakinya digerakkan memberi isyarat akan bangun. Mungkin juga dia tak cukup kudrat mengangkat Saratoga miliknya yang amat berat. Hanya sedikit tolakan lagi yang diperlukan.
“Abe, peristiwa Isra’ Mikraj adalah bukti betapa beratnya ibadah solat hinggakan Rasulullah sendiri yang menerimanya direct dari Allah tanpa sebarang perantaraan dari malaikat Jibril. Selepas itu, Rasulullah sendiri yang merayu agar solat yang pada asalnya 50 waktu dikurangkan kepada 5 waktu. Inikan 5 waktu pun kita masih tak terjaga. Tolonglah, demi Allah dan Rasulullah. Hidup kita tak lama...blah...blah...”
Belum sempat Badrul menamatkan kuliahnya, Asyraf segera bangun dan terus melangkah ke bilik air. Langkahnya deras memandangkan Subuh akan hilang beberapa minit lagi. Gelap langit perlahan-lahan beransur cerah. Itu dia, tewas juga syaitan dalam dirinya. Alhamdulillah, terbakar juga Asyraf dengan kata-kata. Badrul hanya mampu tersenyum melihat gelagat teman serumahnya. Ada bermacam-macam gaya, sifat dan rasa. Itulah, bukan semua manusia sama.
P/S: Jangan beli selimut yang berat-berat, nanti malas nak bangun. Serius, waktu Subuh memang susah nak terjaga. Kalau korang yang tak nak bangun lah. Sebelum tidur, pastikan kita betul-betul ada semangat nak bangun. Semangat bukan di kepala, tapi dari dalam hati. Hati dengan kepala, jangan tak tahu beza.
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman”
Surah An-Nisa : 103
Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w, tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajjud dan bangun ketika waktu telah subuh. Nabi s.a.w bersabda:
“Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya”
Hadith riwayat Imam Al Bukhari dan Al Muslim
7 comments:
salute,,...
best gle kot bace nie....
esok ko naek kan r kaki ko plak kat aku...
hahaha
anonymous:lah, esok la plak...sama2 kita jgn tinggal lagi..subuh yg mndtag ni..haha
dah balik spain dah.
next week jumaat balik malaysia..^_^
halu9 tu xkan x kenal kori??
berseronoklah puas2 ye..halu9,
kenal la kot.
Post a Comment