Thursday 31 March 2011

Petikan Surah Al-Hajj

 “Wahai manusia! Telah dibuat suatu perumpamaan. Maka dengarkanlah! Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, mereka tidak akan dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah.”

Surah Al-Hajj – (22 : 73)

Wednesday 30 March 2011

La Tuh shuu Haa

Bila makan ada dua nikmat yang boleh kita kira.

Satu. Nikmat makanan itu sendiri. Rasa yang ada pada makanan. Ada manis, masam, pahit, tawar, kelat, payau, masin dan macam-macam lagi. Bukan semua yang manis itu sedap. Bukan yang pahit itu semua penawar. Masing-masing ada ketetapan, dan kadaran. Kadang-kadang disebabkan masam mempelam jadi sedap.

Kedua.  Nikmat yang ada pada lidah untuk merasa. Mana pergi semua rasa manis dan pahit kalau tidah tumpahnya ke perut? Bayangkan ayam yang diperap dengan tepung terbaik dunia, dimasak pula oleh chef terkenal di Malaysia. Nutrient yang diperlukan semua ada + rasa asli lengkap tak terjejas. Tetapi bila disuap tak terasa apa-apa. Lidah hanya untuk berkata-kata. Tiada receptor.

Tension? Nikmat yang tak terasa.

Sedap sangat kalau dapat Hadramaut. Nasi kabsah yang dimasak bersama ayam. Tomato manis.



Silap ayat pertama. Bila makan hanya dua nikmat yang kita terjumpa. Bila kita mencari baru sedar betapa banyaknya. Tak terkira.

(16:18)

Tuesday 29 March 2011

Hidup Adalah Untuk Mencari Redha Allah

“Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah”

Memang sudah lama aku mencari maksudnya. Bukan aku tidak faham cuma masih belum berpuas hati. Sebelum ini pandai sahaja aku berkata, hidup ini tidak lain hanyalah sebagai khalifah. Malah tidaklah diciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaNya. Hakikatnya, aku kurang tahu.

Bila terkenangkan video Ustaz Asri, memang terasa apa ertinya bahagia kepada kita? Adakah dengan mengejar harta kita akan bahagia? Adakah bahagia itu dengan memperoleh apa yang dicita? Adakah ketika dibuai cinta manusia dikira bahagia?

Tidak.

Harta menutup mata si bakhil yang kaya. Seakan-akan miskin tidak pernah wujud ungkapannya. Cita-cita dan impian. Bukan salah untuk diidamkan, tetapi boleh jadi bahan yang melalaikan kita dari cita yang utama. Sudah lepas satu, akan ada berjuta cita-cita yang kita reka. Rasa indah bila cita terlaksana. Kemudian ia hilang, ditutup pemburuan cita seterusnya.

Cinta manusia? Lagilah tak berguna. Selalu menghampakan insan yang tergila-gilakannya. Aku pun selalu jadi mangsa, malah sekarang pun mungkin ada hati yang masih terseksa. Bahagia apa cinta manusia? Kecuali cinta yang sebenarnya. Cinta manusia, atas nama pencipta. Mungkin di situ ada bahagia. Salah satu pintu ke sana.

Hari ini, aku kembali menemani laut yang barangkali merindu teman manusianya. Duduk setelah penat berlari dari jutaan langkah penuh resah. Aku kembali memikirkan isi tajuk hari ini. Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah.

Kenapa? Aku tidak nafi aku benar menjaga solat fardhu, malah turut menambah beberapa yang sunat. Cuma kadangkala kurang sempurna. Kalau aku memandang tajuk ini, aku merasa terkongkong. Aku sendiri rasa bersalah. Apakah patut wujud rasa kongkongan dalam beribadah kepadaNya. Mungkin inilah kecintaan yang palsu, atau mainan nafsu yang benci hidup sebegitu.

Betapa sempitnya pemikiran hingga aku membayangkan kehidupan untuk mencari redha Allah adalah kecil jalannya. Tanpa merasakan apa yang mereka semua rasa. Adakah mencari keredhaan Allah itu dengan beribadah sebaiknya?

Benar. Memenuhi tuntutan solat lima waktu sehari semalam. Kemudian berpuasa. Habiskan masa di hadapan Al-quran. Tanpa mendengar bisikan yang lagha. Hidup untuk mencari redhaNya dengan menggadaikan nilai hidup sebagai manusia biasa. Tidak bebas seperti yang mereka rasa.

Tadi sebelum pulang. Pada hujung kekeliruan ini, aku jumpa jalan keluar. Akhirnya aku tahu bagaimana mahu memutar. Menjadikan tujuan hidup ini lebih jelas. Untuk aku, dan mungkin untuk mereka yang masih berfikiran seperti aku. Alhamdulillah, aku cinta tuhan.

Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah. Aku yang tadi, memandang pencarian redha Allah dengan beribadah setiap masa. Walaupun sudah lama bergelar muslim, aku masih tidak mahu menjadikan setiap masa adalah untuk beribadah. Bayangkan setiap masa diperuntukkan untuk beribadah, untuk yang lemah imannya seperti aku. Ini sangatlah berat.

Aku yang sekarang. Berjaya memutarkan ayat ini. Aku tetap menggunakan ayat yang sama. Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah, tetapi pintunya dibuka lebih luas. Keredhaan Allah bukanlah datang dari solat dan ibadah yang utama sahaja. Buka mata! Aku tidak mahu lagi buta. Tuhan tidak akan pernah salah memberi perintah, cuma hamba yang selalu salah memberi hujah.

Aku kini menjadikan hidup aku bebas seadanya. Seperti apa yang mereka semua cita. Aku juga ketawa, aku juga menyanyi, aku juga mengambil masa mengejar kecemerlangan dunia. Cuma jalannya diluruskan. Biarlah ia datang dari pintu redha Allah s.w.t.


Monday 28 March 2011

SAkinAh


Mencari "Sakinah" - La Tahzan InnAllaha Ma3ana




Yang baik sama dikongsi~

Sunday 27 March 2011

Lagu Kami



Hah, ini lagu revolusi mesir tempoh hari... serius best!


"Tehya Masr"

"Irhal irhal!, Miz aizinak Miz aizinak! yasqut, yasqut husni mubarak!"

Friday 25 March 2011

Sesat



Suatu petang yang mendamaikan kembali bertandang. Kepulan awan di kota Iskandariah semakin hari semakin mengasingkan diri. Itulah, tanda-tanda langit yang semakin terbuka menyambut kedatangan musim panas di tahun dua. Selang-selang masa angin laut datang menerpa. Sedikit terubat derita panas menjelang senja. Kelihatan seorang remaja sedang duduk membentangkan pandangan melepasi lautan.

Pada waktu-waktu sebegini, Bakhry sering mengambil masa untuk bersahaja memandangkan universiti masih belum bermula. Waktu petang kebanyakannya diisi dengan aktiviti riadah memerah tenaga. Dia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, takut-takut status “berisi” jatuh menimpanya. Bahkan pada tahun ini dia berazam agar gelaran olahragawan menjadi miliknya. Namun hari ini dia sekadar meluangkan masa membebaskan minda.

Orang ramai sibuk dengan rutin masing-masing. Ada yang sedang berlari-lari anak, ada yang sibuk menjaja, ada yang hebat bergambar, ada juga yang rajin mengulangkaji pelajaran, tapi semua itu tidak diendahkannya. Bakhry hanya tertarik pada keluasan laut yang terbuka. Pada pukulan-pukulan ombak dengan irama deruannya. Matahari pula dengan silauan yang bersahaja. Ketenangan yang sukar digambarkan.

Dia kemudian mengeluarkan sebuah buku. Tertulis di muka depannya “Angan-angan Dunia”. Tanpa berlengah dia mengambil sebatang pensel lalu melakar sesuatu. Sekali-sekala matanya menerjah lautan luas sambil jari menyikat anak janggut. Dia berfikir dengan teliti kemudian sibuk menulis kembali. Hampir sepuluh minit berlalu dan akhirnya... Siap!

Terlihat susun atur perancangan laluan hidupnya. Ada rajah perjalanan masa dengan target yang diidamnya. Ada jadual “Perlu ada & Perlu tinggal”. Bakhry turut memplotkan graf “years vs savings”. Itu carta kewangannya. Dia kemudian mengeluh kekecewaan. Walaupun kelihatan sarat dengan tulisan dan perancangan, namun realitinya jauh lebih padat dan tidak terfikir untuk direncanakan. Mungkin juga tidak akan kesampaian.

20- Olahragawan Alex...hahaha ini lawak
24- Graduated + (Nikah) ke (Motorbike)?
34- Tamat...tapi continue serve
40- 1 star jeneral...jeneral bhai!
49- Klinik sendiri, pakat dengan Nyah
55- Buka ladang haiwan, kebun
60- Retired lah. Cukuplah jaga cucu

Bakhry sedar. Dia hanya layak merancang. Selebih-lebih perancangan dan pelaksanaan bukan di bawah kuasanya. Bakhry menutup buku dan menyimpan semula pensel di dalam beg. Puas dia berfikir. Dia hanya perlu merancang yang terbaik dan berusaha untuk menjadikannya suatu kenyataan. Cukup! Bakhry cuba menggembirakan hatinya. Terlihat senyum tawar yang tidak bertahan. Dahinya kembali berkerut.

“Nampak senang, namun hakikatnya ia lebih dari sekadar merencana dan melaksanakan.”

Lamunan Bakhry terhenti. Dia tertarik pada sekuntum bunga yang tertanam di hadapannya. Maklumlah, keadaan tebing pantai yang bersimen dan berbatu amat sukar untuk memekarkan sekuntum bunga. Ia berwarna merah hati. Bakhry merasa kasihan melihatnya. Walaupun ia hidup bahagia, tumbuh kembang dan mekar indahnya. Cukup matahari dan airnya, bahkan dapat pula menikmati pemandangan laut dan matahari yang indah. Namun ia jauh terpisah. Bersendiri dan tidak ditemani. Kasihan.

“Apa gunanya hidup sebegini?” Bakhry berfikir sendiri.



Dia kesal. Dirinya masih jauh lagi dari mengenal tuhan. Dia terlupa untuk melakarnya dalam perancangan hidup. Walhal itulah titik-titik yang akan menggarisnya kepada semua lakaran. Ilmu yang diserap selama setahun di bumi Mesir tidak langsung membawanya kepada tuhan. Lihatlah! Masih lagi menderhaka kepada ibu.

Bakhry menjejakkan kaki ke sekolah agama bermula dari tingkatan satu. Pada awalnya dia masih terbawa-bawa sifat buruk sekolah rendah. Namun, dia semakin terdidik dengan pembawaan Iklim Deeni di sekolahnya. “berilmu beriman beramal”. Dia berusaha menggugurkan sifat mazmumah sedikit demi sedikit. Rasa cinta dan kefahaman kepada tuhan pula semakin utuh. Di sana, ramai pelajarnya yang rindukan pelukan tuhan. Bakhry tidak terkecuali dari mereka.

Di tingkatan empat, Bakhry telah berpindah ke sekolah baru. Sekolah yang dimasukinya itu tidak asing lagi di mata Malaysia. Lambakan manusia sudah tentu pelbagai ragamnya. Bakhry mula mengenal dunia dan isi tarikannya. Di sana, kisahnya berbalik. Ukhwah dipisahkan dengan hidup ber”squad”. Kawan pula berkorban demi menyakiti rakan. Yang berpangkat itu paling bermartabat, yang merendah diri itu hina, paling laku dibuat jahat. Manisnya dunia mengaburi indah akhirat.

Bakhry diberi peluang memilih sama ada mahu ke Russia, atau ke timur tengah. Dia tidak beristikharah langsung, lalu terus memilih untuk ke sini. Dia juga tidak mempunyai alasan teguh untuk itu. Yang pasti tanah di sini lebih kuat menariknya. Kini dia perlu berdiri sendiri.

Pengalaman di kedua-dua sekolah digunakan sebaiknya. Dia rindu untuk mengenal Islam. Pada masa yang sama dia cintakan kegembiraan dunia. Dia sedar hidup ini adalah perihal membuat keputusan sama ada meneladani yang baik atau terus berlaku jahat. Melihatnya dirinya sekarang amatlah jauh dari mengenal tuhan. Malah tidak merasa sedih melupakanNya.

Terlintas di fikirannya kata-kata ustaz Qarafi.

Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia...13:12

Kata-kata itu bagaikan jatuh menimpanya. Dia merasakan ‘orang yang dikehendaki keburukan’ adalah dirinya sendiri, dan dia tidak berkuasa untuk mengubahnya. Apalah harga segala amalan dan usahanya untuk mendekatkan diri kepada tuhan melainkan sia-sia. Mengapa perlu berusaha sedangkan kesudahan itu dari tuhan?

Tanpa berlengah Bakhry mencondongkan badannya sedikit kemudian memetik kuntuman bunga dihadapannya. Lama dia merenung bunga yang sudah di tangannya. Fikirannya bercelaru dan dia buntu. Sedikitpun tidak tertarik pada bunga itu lagi. Tanpa berfikir panjang, dia mencabut kelopak bunga yang pertama dan berkata, “Syurga”. Kemudian mencabut yang kedua sambil berkata, “Neraka”. Nafasnya turun naik. Dia terus menguraikan kelopak bunga itu satu persatu.

“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
“Neraka”
“Syurga”
......

“Kenapa?”

Bakhry terhenti. Matanya bagaikan tidak percaya akan apa yang dihitungnya. Adakah ini juga satu ketentuan? Kenapa harus jadi bergini? Ditangannya berbaki kelopak bunga yang terakhir. Bakhry mengepalkan tangannya. Bunga itu hancur dalam genggaman.

Lafaz Istighfar diulanginya beberapa kali. Dia meyakinkan dirinya agar sentiasa berserah diri kepada tuhan. Jangan sesekali berputus asa kepadaNya. Muhasabahnya petang itu lebih panjang. Mungkin sudah terlalu lama menjauhkan diri. Cukuplah selalu melanggar perintahnya. Kita perlukan masa untuk mendekatkan pula diri kepada tuhan.

“Tuhan itu tidak zalim”.

Bakhry menanam semangat. Ayat ke-11 dari surah Ar-Ra3d itu bermain-main di mulutnya. Sesekali bacaannya kuat, ada pula perlahan. Dia meneliti semula maksudnya. Bukankah tuhan sudah berfirman bahawa dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang? Seharusnya dia semakin tenang.

Tiba-tiba, Bakhry terfikir sesuatu. Dalam ayat itu dinyatakan bahawa orang yang Allah menghendaki keburukan ke atasnya tidak akan ada sesiapa yang dapat menolaknya. Benar! Walaupun mereka berusaha ke arah kebaikan, tetapi tuhan menetapkan keburukan untuk mereka. Maka kepada mereka hanyalah keburukan.

Tetapi sambungan pada ayat yang sama, ‘tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia’.

“Tidak ada pelindung... Bagi mereka... Selain Dia. Kenapalah aku tak berfikir? Benarlah tuhan itu tidak zalim.”

Hatinya tiba-tiba menjadi tenang apabila memikirkannya. Ayat itu benar-benar membenamkan kebuntuan di hatinya. Keburukan itu datang dariNya dan hanya Dia yang dapat menolaknya. Kepada Allah segala perlindungan diserah. Bakhry masih belum berpuas hati lalu dia mengeluarkan Al-quran bersama terjemahan. Dia menyelak helaian-helaian mashaf mencari surah yang ke-13 itu. Alangkah terkejutnya Bakhry apabila mendapati dalam ayat yang sama terdapat jawapan untuk kesulitannya.

Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kamu sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri...

Sebagai hamba, kita hendaklah berusaha mendekatkan diri kepadaNya. Lebih-lebih lagi kita yang memang nyata jauh untuk mengenalNya. Kita bukan menunggu hidayah tetapi perlu mencarinya. Kita tidak boleh hanyut dalam dosa, sebaliknya berusaha keluar daripadanya. Bukan pahala dan dosa yang dikira untuk peroleh syurga. Hakikatnya hanya redha tuhan. Kita hanya berusaha, dan jangan sekali berputus asa.

Kalau kita lebihkan pencarian cinta kepada manusia, maka cinta manusia belum tentu kita dapat. Kalau kita lebihkan pencarian cinta kepada tuhan, maka cinta tuhan sudah tentu berbalas malah lebih tinggi dari cinta kita

Tuesday 1 March 2011

Hidup Umpama Dedaun


Tengok! Ini dia. Dahulu ia pernah berada di atas pokok. Tinggi melangit untuk kita mendongak melihatnya. Berpuluh-puluh hari yang lalu, hidupnya bermula daripada sekecil-kecil duit sekupang. Hari demi hari ia bertambah besar dan usianya semakin matang, malah bentuknya juga menjadi semakin panjang. Hinggakan pada suatu masa saiznya menyamai sebuah tapak tangan.

Hari ini? Tertutup sudah pintu sejarah hidupnya. Tercabut sudah nyawa dari ibunda. Tubuh yang coklat kekuningan itu terbang dibawa angin. Terbangnya bukan semakin tinggi, tapi meletakkannya bermakam di bumi. Ingat, si pengemis yang berteduh suka memerhati. Kadangkala, kisah daun sebegitu mampu memberi seribu inspirasi. Dalam kepenatan ada peringatan buat diri.

Ini cebisan daun yang mati. Reput, berlubang, kering, terjatuh dan rapuh. Kerut dan urat-urat tuanya begitu jelas ketara. Sekali digenggam ia hancur seribu. Dia mencapai daun yang lebih muda. Kasihan, bertemu ajal tatkala masih muda. Si pengemis tahu, asal hidup daun itu bukan di tanah. Nun tinggi di atas dahan itu lahirlah ia. Jutaan saudara maranya banyak berjasa buat pengemis. Buat teduhan dan singgahsana yang semulajadi.

Segala yang jatuh menyembah bumi hari ini, dahulunya pernah merasai tingginya langit. Pernah juga merasa ancaman serangga menggigit. Baru dia tahu, perit rupanya hidup. Bukan sekadar enak menjamah matahari. Tidaklah semudah menghirup air dari bumi. Mereka juga diuji. Luruh. Gugurnya sedikit-sedikit ketika ditiup angin. Tapi jatuhnya berganti. Kini mereka juga daun-daun yang hidup dalam generasi alaf baru.

Hanya mereka yang terdahulu tahu kisah pohon yang lalu. Wajah mereka serupa, tapi tidak bererti mereka sama. Al Baqi itu hanya layak untuk yang Esa. Daun juga tidak menyangka bila Izrail akan berkunjung tiba. Tidak semua berakhir dengan usia tua, ada yang ditimpa malapetaka. Disentap manusia. Ada yang diserang penyakit, tersumbat salur xylem phloem. Tidak lupa juga ada yang menjadi buah rezeki kepada binatang herbivor juga omnivor.

Mereka terus diganti, dan berganti baru. Dahan ini tidak pernah kosong dengan penghuni. Hanya bangkai lama dari tubuh nenek moyang mereka menjadi pengajaran buat diri. Menjadikan di daun hamba yang paling bijak di antara mereka dengan melazimkan diri mengingati mati.

Akhirnya, kitaran ini pasti akan terhenti. Tiada lagi pengganti setelah daun terakhir mati. Pada saat itu bumi yang mereka duduki telah lanjut usianya. Akibat terlalu asyik mengejar langit, mereka merasa puas apabila berdiri semakin tinggi. Mereka terleka. Dahan yang mereka duduki juga tidak bersifat abadi. Maka di situ bernoktahlah kisah pohon yang tinggi.



Orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati dan bersedia menghadapinya...kan?