Sunday 23 January 2011

Harga Untuk Hati

Zaman kanak-kanak adalah bunga kebebasan. Pada waktu itu lagaknya manusia bagai raja untuk diri sendiri. Mahukan itu, mahukan ini. Bebas membuat segala kehendak hati, hanya ibu bapa menjadi batas sempadan. Pencorak kerajaan zaman berimaginasi.

Menariknya, kita juga bebas untuk berfikir ketika itu. Namun jauh sekali tarikannya kepada tuhan, kerana kita lebih gemar untuk berfikir tentang dunia dan permainan. Titik mulanya di sini. Ketika kita mula belajar mengenal dunia dan isi-isinya. Ini cerita aku, semasa dalam proses ingin tahu.


A untuk ayam. B untuk burung... G untuk gajah. H untuk harimau... J untuk jerung. K untuk kambing... R untuk rama-rama. S untuk serigala... dan Z untuk zirafah.”

Waktu itu, nama hanya sekadar nama. Belum kenal rupa. Apa itu harimau? Aku tidak tahu. Apa itu zirafah? Aku tidak tahu. Hanya wujud beberapa makhluk yang tertentu. Paling senang ada tiga binatang sahaja, ayam, burung dan kucing.

Setapak lebih maju, dapat juga kenal binatang yang lain. Nasib baik dapat pergi zoo. Boleh jumpa harimau yang belang-belang tu. Dapat juga jumpa zirafah yang asyik tengok dari dalam buku. Pada masa yang sama, dapat kenal monyet yang asyik cari kutu. Lama-lama, bila dah kenal semua imaginasi pun bermula.

Ayam kalau masak boleh dimakan. Ayam KFC sedap. Tapi ayam lari lambat. Daripada ayam baik burung. Burung ada kepak, boleh terbang. Nak balik Kuala Kangsar rumah nenek, nak balik Permatang Pauh rumah tok wan. Dua-dua boleh. Erm, tapi kucing lagi kuat. Kucing selalu tangkap burung. Malam-malam kalau tak nampak mata kucing ada lampu.

Tak best lah jadi kucing. Nak jadi bapa kucing lah, harimau. Harimau lagi besar, lagi kuat dan boleh lari lagi laju. Nak lawan dengan burung senang je. Alamak terlupa lah, ada singa. Singa pun kawan dengan harimau, tapi singa ada rambut . Singa lagi kuat. Raja rimba. Nanti boleh panggil binatang-binatang lain.

Tapi kalau nak lawan dengan gajah, mesti singa kalah. Gajah besar, ada dua tanduk. Sekali dia pijak, habis singa mati. Nak jadi gajah lah. Gajah best! Apa, gajah takut tikus? Tikus! Tikus lagi kuatlah macam itu. Ok lah, tukar balik. Nak jadi macam tikus. Kecil tapi kuat nak lawan gajah.


Itu waktu kecil, ketika kepala masih sempit dan mata masih belum terbuka luas. Tahun demi tahun berlalu dan perkara yang sama masih berterusan tetapi dengan keinginan yang berbeza.

Proton Saga, kereta nasional pertama yang dibina. Direka dengan cita-cita, akhirnya membawa kebanggaan Malaysia ke seluruh pelusuk tanah air. Tidak, Saga sudah lapok. Kita beralih kepada kereta millennium. Kita ada Proton Perdana V6. Gah, tampak mewah dan bergaya. Tidak kurang potensinya dari pengeluar kenderaan terkemuka. Ini lebih hebat.

Tapi untuk keluarga yang besar, Perdana bukan penyelesaian. Kita mesti ada ruang yang lebih besar, tempat duduk yang lebih banyak dan ruang legar yang lebih lebar. Baru mudah bergolek ke sana sini. Kita patut ada Estima. Estima lebih baik, reka bentuk pun menarik. Lagipun Proton sudah megah, sudah lama menghias jalanraya. Tiba masa untuk beralih kepada kereta dunia. Aku suka Estima.

Kisah sekolah menengah, sudah pandai mengenal bahan-bahan ternama. Suka mencari sesuatu yang lebih sempurna. Kisah remaja, lebih matang caranya.

Aku suka Nik Aziz. Orang-orang macam ini yang kita perlukan untuk bawa agama kita. Dia bawa agama dalam susur alur politik negara. Aku nak jadi seperti dia. Pemimpin mestilah seorang yang membawa Islam sebaiknya, agar menjadi qudwah hasanah untuk semua. Mahathir lagi hebat. Dia pandai dan kuat berfikir orangnya. Disebabkan dia, kita tak pinjam bank dunia sewaktu berlaku kemerosotan ekonomi dulu. Dia bijak dan disegani pemimpin dunia. Hidup Tun Mahathir.


As Syahid Imam Hasan Al Banna, penggerak Ikhwanal Muslimin. Bertekad mengembalikan Khalifah Islamiah, dia memulakan gerakannya dengan mencari orang yang betul-betul berpegang dengan islam. Biar hati yang dicari, bukan kuantiti. Sayangnya beliau syahid. “Bill” Gates. Pengasas dan jutawan Microsoft yang terkenal. Namanya di tangga teratas manusia terkaya di dunia selama beberapa tahun. Dia lebih banyak berjasa hinggakan sumbangannya terus berkembang ke hari ini.


Inilah golongan manusia seperti aku. Suka melihat dan mengagumi, dan itu lumrah kepada semua. Ada faedahnya kepada kita agar mencontohi dan menjadi seperti mereka. Ini tidak salah. Kita juga diberikan Islam sebagai agama yang terbaik dan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah yang paling mulia.

Tergelincirnya manusia dari keindahan untuk mengagumi segala penciptaan adalah apabila hilangnya nilai hormat sesama kita. Minatnya kita kepada harimau menjadikan kita tidak suka kepada kucing. Kagumnya kita kepada Estima menjadikan kita jijik menumpang Saga. Tingginya sanjungan kita kepada Mahathir, menutup usaha sama untuk merealisasikan cita-cita Nik Aziz.

Inilah masalah. Rasa kagum yang terkeluar dari makna kagum yang sebenar. Benci akan masuk untuk menghina yang lebih hina. Hormat sudah terkeluar dari sifat kemanusian. Salahnya datang dari mana? Adakah datang dari kelemahan diri mereka, atau salah kita yang terlalu memuja-muja? Hingga buta kebaikan yang ada pada mereka sebenarnya.

Tuding jari pada diri sendiri. Salahnya datang dari manusia. Kita salah ketika menilai. Boleh jadi yang baik itu buruk, dan boleh jadi yang buruk itu baik. Besar, ada yang memandangnya sebagai kebaikan. Tinggi, ada yang memandangnya sebagai keburukan. Pandai berkata-kata, ada baik dan buruknya. Diam pula tidak bermakna setuju, boleh jadi benci dan keliru. Tafsiran boleh berbeza.

Kita manusia, dan penilaian kita adalah terhad sebagai manusia. Kuasa menilai hanyalah kepada Allah, dan apa yang dinilai oleh Allah hanyalah Allah yang berkuasa keatasnya. Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu.

Walau besar, atau kecil. Walau buruk atau cantik. Walau baik atau buruk sesuatu perkara. Bukannya kita yang menilai sepenuhnya. Jangan terlebih menilai hingga hilang rasa hormat. Akhirnya kita yang berbalah tidak sudah.

Bukan kerana dia perdana menteri dia mulia. Tidak kerana dia beramal jariah dia dijamin syurga. Penilaian hanya dari pandangan Allah, dan Allah tidak mengira manusia dari luarannya tetapi Allah melihat hatinya. Baiknya seketul daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Hati, hanya hati yang Allah nilai.


Hati yang hampa. Your data is empty. Retrying to search deleted iman.


Saturday 22 January 2011

Hampa