Tazkirah. Tazkirah. Tazkirah.
“Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mukmin”
Sama ada mahu ataupun tidak, sebenarnya jiwa kita memerlukan makanannya yang tersendiri. Selaku orang yang bertanggungjawab ke atas diri, kitalah yang menggerakkan tubuh badan untuk mendapatkannya. Tidak terbuka telinga, takkan dapat kita mendengar. Tidak terbuka mata, takkan dapat kita melihat. Begitu juga hati, jika ia tidak terbuka untuk menerima maka ia takkan menerima.
Hari ini, BuDaK di beri kesempatan untuk memberikan tazkirah. Semalam Raja Shahrizad datang meminta pertolongan daripadanya. Mujur, ada juga masa untuk dia bersedia. Walaupun tidak sampai separuh pun meseg yang dia cuba sampaikan, paling kurang pun dia sempat juga menyampaikan potongan hadith baginda SAW. Cukuplah, satu ayat pun jadi.
“sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”
Untuk menampung kekurangan masa tadi. Aku ingat nak sampaikan saja tazkirah BuDaK dekat blog. Kalau cakap dekat lecture hall, nanti orang-orang Melayu – Mesir - Second Year - Lecture A - Datang Awal – sahaja yang sempat dengar. Macam yang BuDaK bagitau, dia cuma ingin kongsikan apa yang dia tahu. So, disebabkan kesempitan masa, dan kekurangan telinga, aku nak kongsikan kat sini pula. Biar satu dunia pula tahu, haha.
Tajuk yang diberikan kepadanya, ada kaitan dengan program yang sedang berjalan. We Are Real Muslim (WARM). Itu nama program, yang mana aku sendiri dan BuDaK pun tak datang sewaktu perasmiannya. Tak pasal-pasal BuDaK pula yang kena bagi tazkirah. Zzz. Dah la tak datang, ada hati nak bagi tazkirah.
“Sebab itu Cek pesan awal-awal sebelum Cek kasi tazkirah. “Unzur ma qal wala Tanzur Man qal.” Ok, banyak cerita pula. Straight to the point, tajuk yang aku bawa hari ini adalah:
“Menjadi Muslim Sebenar”
Untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar, kita mestilah seorang yang beragama Islam (Muslim). Itu titik mula. Manakala untuk menjadi seorang muslim pula, kita kena tahu konsep serta faham apakah Muslim itu sebenarnya?
Semalam ada perjumpaan kedua untuk Program The App 2. Sewaktu pembentangan Ustaz Azrul, beliau ada menyebut mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Daripada penerangannya, maksud Islam itu terpecah kepada dua perkataan; Merendah diri, Tunduk dan Patuh. Kepada siapa? Tidak lain hanya kepada Allah. Sangatlah jelas maksud Muslim, adalah orang yang merendah diri, tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.
Kalau kita ambil ta’rifan dari susunan hadith Imam Nawawi, hadith yang kedua. Pasal Islam, ia memberi makna bahawa Islam itu adalah kamu mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah. Itulah adalah garis panduan untuk seorang umat Islam.
Apa yang ingin ditekankan pada kedua-dua maksud Islam di sini adalah pelaksanaannya ke atas diri kita. Untuk menjadi seorang individu Muslim yang sebenar, seharusnya kita tahu apakah maksud Islam dan apa yang terkandung di dalamnya? Islam bukan sekadar pengakuan untuk mengesakan tuhan, malah pembuktian dengan pengibadatan kita kepadaNya.
Selaku langkah pertama untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar, fahaman tentang Islam perlulah diambil berat. Kita sepatutnya benar-benar faham maksud Islam. Gagal kita memahami Islam, umpama kita terjatuh dari tangga pertama untuk menjadi seorang muslim yang sebenar-benarnya.
“Ilmu tanpa amal umpama pokok tidak berbuah”, pepatah arab yang kita sering dengar semasa zaman sekolah menengah dulu. Saya cuba nak cerminkan kembali, nilai Islam yang tinggi kedudukannya kalau kita tidak beramal dengannya maka tidak bergunalah ia kepada kita. Islam itu tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Tetapi disebabkan kita Islam dipandang hina. Maka beramallah sebaiknya dengan Islam!
Ok.
Ini Mohd, seorang pelajar perubatan sebuah Universiti di Timur Tengah. Baru-baru ini negara tempat dia belajar berjaya menggulingkan sebuah kerajaan yang zalim. Dia belajar di tahun dua. Dia amat berminat dengan dunia aksi. Habis pelbagai nama artis menjadi frasa pencariannya di Google Search. Kini, Background Desktop Mohd dihias dengan gambar Donnie Yen. Seorang artis dan pengarah filem aksi terkenal.
Kenapa?
Bilamana seseorang itu amat berminat dengan sukan badminton, maka kebiasaannya dia akan memastikan hiasan dalaman Lockernya mesti ditampal gambar Lee Chong Wei, ataupun Taufiq Hidayat. Atau seorang yang meminati tinju, mungkin dia akan selalu pakai baju yang mempunyai gambar Mike Tyson, atau Muhammad Ali. Mungkin juga meniru gaya dan reaksi kemenangan mereka.
Inilah penanda aras.
Benar. Untuk menjadi seorang yang lebih baik atau lebih tepat lagi, menjadi seorang muslim yang sebenar kita perlulah sentiasa membuat perbandingan. Kalau dalam pelajaran pun kita dinasihatkan untuk sentiasa membuat jadual perbandingan bagi memudahkan kita melihat di mana kekurangan dan di mana kelebihan. Begitu juga aplikasinya dalam kehidupan.
Kita meletakkan penanda aras, atau dalam bahasa Londonnya “Benchmark” sekadar menampakkan perbandingan antara kita dengan orang lain. Baru kita tahu, di mana lemahnya kita, dan di mana tingginya orang lain. Baru kita tahu, bagaimana hendak memperbaiki diri. Kalau kita bandingkan diri kita dengan orang biasa, maka perbandingan yang kita dapat juga adalah biasa. Untuk menjadi orang yang lebih mulia, untuk mencapai target menjadi muslim yang sebenar tidak salah kita membandingkan diri kita dengan insan yang paling sempurna.
Diletakkan di kedudukan nombor satu dalam sejarah manusia yang paling hebat, Rasulullah SAW adalah penanda aras kita yang paling tinggi. Bukan kita tidak tahu, bukan hanya manusia sahaja yang memuji baginda, malah Allah sendiri menyarankan kita mencontohi baginda. “Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Qiamat dan yang banyak mengingati Allah.” Al-Ahzab ayat 21.
Mulai saat ini, bersama-samalah kita mencontohi Rasulullah SAW. Kita tiru segala sifat baginda. Segalanya! Kita ambil pengajaran-pengajaran dari sirah baginda, dan sebab itulah kena datang kelas sirah. Kita kena belajar bagaimana Rasulullah menangani tentangan dan kritikan. Kita perlu contohi bagaimana Rasulullah menahan marah, dan bersabar. Bagaimana baginda istiqamah dalam berdakwah. Bagaimana baginda membawa Islam dengan perlahan-lahan (berturut-turut). Segalanya dan semuanya.
“Kalau Rasulullah SAW adalah manusia terbaik, dan kita pula mencontohi baginda, bukan maksudnya akan ada sepuluh orang nabi! Jangan fikir ke situ.”
Rasulullah adalah the highest rank di sisi Allah. “Kekasih Allah”. Untuk menjadi seorang yang benar-benar muslim, contohilah Rasulullah. Dengan mencontohi peribadi orang yang terbaik kita juga akan menjadi insan yang terbaik. Mungkin dalam masa 20 tahun lagi, top 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah adalah orang Islam semuanya. Bermula dari Rasulullah SAW, no dua dan seterusnya adalah... Medicinae Baccalaureus Chirurgiae Dr Mohd Bokh... atau mungkin anda.
“Iklim Deeni Teras Kecemerlangan”. Rasanya macam pernah dengar dulu. Sewaktu zaman sekolah menengah, ustaz-ustaz dan para senior selalu menegaskan ayat ini berulangkali. Mereka berusaha untuk membangkitkan kecemerlangan pelajar dengan berteraskan ketinggian agama dan ketinggian akhlak. Suasana dan keadaan juga perlu diwujudkan untuk menjadi seorang muslim yang sebenar.
Merokok.
Aku ada sebuah cerita tentang rokok. Ini kisah dulu-dulu, masa aku terduduk dan belajar dalam kesusahan. Di sekolah dulu jarang-jarang dapat cuti. Bila sesekali diberi peluang bercuti aku tidak akan mensia-siakan cuti berlalu dengan hampa. Selalunya “kami” keluar dari jam 1000 dan pulang pada keesokan harinya. Waktu malam kami habiskan sebaiknya di masjid. Namun kebanyakan masa itu kami bazirkan di Cyber Cafe, Salak Selatan.
DI Cyber Cafe udaranya bukan lagi sehebat atmosfera luar. Keadaan yang tertutup, dengan tingkap yang sentiasa gelap menambahkan ‘kelam’ suasana. Bagaikan tempat paling jahil dalam dunia. Bermalam di sini adakalanya menjadi satu fenomena yang biasa. Nak ceritakan suasana yang tiada ventilation memang teruk. Asap rokok 3 jam yang lalu masih circulate dalam cyber cafe, di tambah lagi dengan asap rokok rakan di sebelah. Pergh!
Bila nak balik semula ke sekolah, aku yang tak merokok pun jadi takut. Mana tidaknya, baju yang dah terkepung dengan asap rokok lebih dari 8 jam, diguna semula sewaktu hendak masuk asrama. Kalau kantoi dengan Ustaz Hassan, konfem-konfem aku kena rotan. Ini salah! Ini bukan salah saya. ‘Fitnah terhadap member’.
Itulah, kan orang dah bagitahu. Kalau berkawan dengan penjual minyak wangi, even kalau kita tak membeli pun kita pasti akan dapat bau wangi-wangian. Kalau kita kawan dengan tukang besi pula, kita akan dapat bau besi. Macam mana tu? Kita akan dapat bau arang-arang. Silap haribulan boleh terbakar baju. Kawan dengan perokok, hah... Alamatnya bau rokoklah baju kau! Silap haribulan kena tuduh merokok.
Untuk menjadi seorang individu muslim yang sebenar, sebaiknya kita hidup dan tinggal dalam suasana yang membina, suasana yang dapat mendidik kita menjadi muslim yang sebenar. Keadaan sekeliling memberi pengaruh yang besar dalam pembentukan akhlak dan peribadi kita. Hah! Program WARM berhasrat membina bi’ah solehah dalam kalangan pelajar. Aku sokong 100% idea ini. Kadang-kadang ia membuatkan aku menjadi rindu.
Terkenang saat-saat dahulu. Bilaman perkataan “akhi”, “usrah”, “ukhwah” segalanya menjadi bahan bualan harian. Ada sesuatu yang istimewa yang aku tak dapat nak lupakan keindahannya. Betul tak? Kamu yang tahu pasti boleh merasainya.
“Iklim Deeni”.
“Bi’ah Solehah”.
Perjuangkannya, hidupkan ia bersama!
Untuk menjadi individu muslim yang sebenar, terkadang kita juga terlupa. Iman manusia seperti kita sentiasa menaik dan menurun tak tentu hala. Berada dalam situasi muslim yang sebenar tak akan kekal untuk selamanya, tetapi usaha untuk mengekalkannya perlu sentiasa ada. Jangan sesekali berhenti berusaha ke arahnya. Biarlah apa pun kondisi kita semasa kita jatuh, usaha untuk bangkit perlu sentiasa ada. Sebab nilai kita bukannya pada kedudukan tapi dengan usaha untuk meningkatkannya.
Teguran yang berhemah.
Dengan menjadikan diri sendiri sebagai ukuran, aku mengaku. Apabila aku mula jauh, secara tidak sengaja aku akan terjatuh. Pada waktu itu, jatuh datang dengan sengaja, aku yang mendekatinya. Kepedihan terjatuh itu tidak pernah membuatkan aku menyesal, walaupun sakit sehingga berdarah merah sekali pun. Aku tidak endah. Aku layan kesakitan, aku buat-buat tidak gagah untuk bangun. Siapakah yang dapat memberikan pertolongan ketika itu? Semestinya bukan aku.
Hanya dari Allah segala kebaikan datang.
Aku terjaga setelah berkhayal lama. Tidurku diganggu rakan-rakan. Mereka bilang aku tidak kuat, mereka bilang aku tidak gagah. Mereka sering berkata, “beginikah satria yang Islam ingin bina?”. Aku tersentak, dengan tiba-tiba. Lukaku menjadi sakit yang teramat sangat. Aku yang dahulunya tidak derita olehnya mula terasa ia mencucuk-cucuk. Terbit pula bayangan anak-anak air mata. Mula terasa takutnya bahang neraka.
“Jangan biarkan dirimu terbiar, terbiasa dengan dosa!”
Aku makin tercucuk dengan kata-kata mereka. Inilah yang mereka ungkapkan sebagai teguran yang berhemah. Kawan, aku tahu nilai seorang yang hina. Aku juga sentiasa berada dalam luka-luka dosa. Luka yang tidak mahu dirawat oleh sesiapa. Kesakitan yang berganda. Semakin dibiar, semakin menjadi-jadi deritanya. Begitu lantarannya dosa. Penyakit yang menyerang hati jika tidak dirawat hanya mendatangkan parah yang lebih menyeksakan.
Tolonglah kawan, aku perlukan ihsan kalian!
Aku ingin memetik sebuah coretan seorang Syeikh yang cukup terkenal di YouTube. Namanya Syeikh Zahir Mahmood. Aku tertawa tatkala mendengarnya berbicara perihal menjadi seorang peribadi muslim yang sebenar. Dia menjelaskan definisi ayat:
““wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab (alquran) yang diturunkan kepada RasulNya, serta kitab yang diturunkan sebelumnya. Barangsiapa ingkar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, dan hari kemudian, maka sungguh orang itu telah tersesat jauh.” Surah An Nisa : 136
“Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah...”
“Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah...”
“Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah...”
Bagaimana seorang yang telah beriman, disuruh untuk beriman? Apakah yang Allah cuba perintahkan dalam petikan surah ini? Adalah perkara yang amat mustahil untuk kita mencapai sesuatu yang sudah pun berada di dalam genggaman kita. Untuk memahami maksud yang terkandung di sebalik ayat ini, Syeikh Zahir Mahmood telah memberikan penjelasan yang mudah untuk kita memikirkannya.
A person sees a guy who is a little bit feminine, and then he said to the guy “Bro! Be a man!”.
Inilah reaksinya apabila kita terjumpa dengan seorang lelaki yang kurang sifat kelelakiannya. Hakikatnya dia adalah seorang lelaki, tetapi dek kerana kelembutannya bercakap dan lenturan badannya yang luar biasa membuatkan kita pula menjadi tidak suka.
“Cuba keras sikit!”
Situasi keadaan yang diberikan oleh Syeikh amat mudah untuk kita fahami. Sebagai seorang yang sememangnya muslim, Allah turunkan ayat ini untuk memberi peringatan kepada kita, mengajar kita menjadi sebenar-benar muslim. Allah tidak memerintahkan kita untuk masuk kali kedua ke dalam agama, tetapi Allah memanggil kita untuk kembali semula kepada Muslim. Seorang muslim yang hanya bergantung pada nama, Allah tegaskan mereka agar benar-benar membawa agama sebagai amanah mereka.
Penegasan ayat ini boleh diringkaskan kepada tiga tujuan yang utama.
Pertamanya atas dasar mengajar manusia memperbetulkan ibadah mereka yang selama ini salah, ataupun ibadah yang mereka lalai semasa mengerjakannya.
Kedua, untuk memberitahu orang-orang yang beriman supaya beramal dengan amalan yang mereka belum beramal dengannya sedangkan hukum perlaksanaannya sudah pun wujud.
Ketiga, ayat ini digunakan untuk mengingatkan orang-orang yang beriman agar sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam melaksanakan ibadah mereka.
Jadilah seorang muslim yang sebenar-benarnya.
Secara kesimpulannya, untuk menjadi seorang yang benar-benar muslim kita perlu ada pemahaman dan pengetahuan yang benar tentang islam. Kemudian beribadahlah dengan sebetul-betulnya. Muslim yang sebenar memerlukan kita sentiasa merujuk dan mencontohi idola peribadi Muslim yang terunggul. Pembentukan Real Muslim juga memerlukan kondisi dan suasana yang membina. Peringatan yang berterusan setiap masa. Dengan itu pada waktu kita terjatuh, akan ada kekuatan yang menolong kita untuk bangun semula. Biarlah di akhirnya kita semua saling ketawa dan ceria, sebagai satu kelompok Muslim yang sebenar-benar muslim.
Wallhu A3lam.
Untuk itu, apabila ada di antara mereka yang bertanya, mengapa kita perlu membawa islam dengan sebenar-benarnya?
(...untuk memeriahkan program WARM...)
Tanamkan dalam hati:
Aku bercita-cita untuk mengejar redhaNya. Aku ingin bangkit dan segera merebut apa yang dikatakan Allah, “Semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih taqwanya di antara kamu”.
Katakan kepada mereka:
Aku adalah seorang Muslim dan aku berbangga dengan agamaku. Katakanlah dan serulah kepada mereka, “Islam itu tinggi dan tidak ada agama yang lebih tinggi daripadanya.”
Katakan kepada diri anda:
Oleh kerana aku adalah penganutnya, akulah yang akan membawanya dan akulah yang memberi imej kepadanya.
4 comments:
memang terbaik! seperti selalu.
[hasil yg trbaik utk hati2 yg dahagakan peringatan]
Post a Comment