Salam Alaik wbt. BuDaK nampaknya sudah ketandusan idea untuk menulis. Kalau dulu mungkin BuDaK ada inspirasi untuk menulis, tapi sekarang tak ada lagi. Entahlah, semangat untuk menulis tu dah hilang, tak datang lagi.
Hari ini BuDaK nak korek balik khazanah blogging draft yang dah lama save tapi tak siap-siap sampai hari ini. Pertama kali tulis cerita ni lebih kurang 2 tahun yang lepas. Akhirnya di post hari ini, walaupun tergantung. Haha, semoga bermanfaat.
(gambar ihsan google)
“Terima kasih ustazah”, ucap Badrul sambil diikuti rakan-rakannya. Badrul segera menggalas beg dan bergegas keluar dari kelas. “Cek Pah, balik hati-hati tau”. Badrul berpesan kepada penolongnya, Nur Afifah. Nur Afifah hanya berdiam, merah padam mukanya.
“Ish, comelnya Cek Pah, kalaulah aku dapat kahwin dengan dia kan seronok. Cek Pah mesti pandai masak, sebab dia kan perempuan. Orang perempuan semua pandai masak”. Badrul berangan jauh, matanya langsung tidak berkelip.
Badrul murid tahun akhir, Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun. Walaupun tampak kebudak-budakan, namun Badrul adalah orang yang paling dipercayai oleh guru-gurunya. Kata-katanya tidak pernah dusta, tanggungjawabnya selaku ketua kelas 6 Jujur dijalankan sebaiknya.
“Aduh, kenapalah Ustazah Maimunah bagi kerja rumah yang susah-susah...? Patutlah dia suruh kita balik awal. Man, kau dah ada idea ke untuk kerja yang dia bagi tu..? Aku tak tahu la nak tulis macam mana sebab aku tak pernah dengar pun”.
“Yelah tak tahu. Nanti dia yang hantar dulu” Hazman bermonolog luaran. Sengaja membiarkan Badrul mendengar.
“Ok lah Bad, aku balik dulu ni. Kalau kau tak tahu sangat, ada masa nanti kita bincang lah sama-sama. Tak pernah aku tengok kau macam ni. Hairan jugak aku. Petang ni main bola tau, lawan budak darjah 5. Jangan lupa. Bye..!!” Mereka berpisah di persimpangan berdekatan Kedai Cik Chah. Kedai runcit yang cukup sinonim di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah.
Hazman adalah ketua pengawas di sekolah. Orang nombor satu dalam carta organisasi sekolahnya. Dia dan Badrul amat rapat sejak tahun 1 lagi. Tidak pernah berpisah kelas, waktu makan pula jarang tidak semeja. Kadang-kadang Hazman belanja Badrul dan begitu juga sebaliknya. Dialah teman bermain, teman belajar, dan kawan yang paling Badrul percaya.
“Tulis sebuah karangan yang menerangkan tentang “JIHAD”. Panjang karangan mestilah tidak kurang dari 80 patah perkataan. Badrul, esok ustazah masuk je, dah ada semua karangan atas meja ustazah.. Faham? Kerja rumah yang diberikan oleh Ustazah Maimunah masih bermain di kepala Badrul. Selaku ketua kelas, dia dipertanggungjawabkan untuk mengutip semua karangan.
“Apa tu ‘JIHAD’. Selalunya ustazah bagi karangan yang senang-senang je. ‘Pen Saya, Rumah Saya, Ibu Saya, Sekolah Saya’ Tapi kali ini pasal Jihad. Apa sebenarnya jihad ni?” Kaki Badrul melangkah laju, hatinya gusar bercampur gembira. Aiskrim berperisa anggur yang disimpan di dalam peti sejuk semalam menjelma di fikirannya.
“Duit tinggal lagi 50 sen, cukup nak beli 5 aiskrim. Boleh la simpan satu, tiga lagi untuk mak, ayah dengan abang. Lagi satu untuk... untuk .... hahaaa” Badrul terfikirkan sesuatu. Jauh di sudut hatinya terbayangkan Afifah. Dia tahu, Afifah amat menggemari aiskrim.
“Assalamualaikum, Cik Chah”
“Waalaikumussalam, oohh, Badrul..nak beli aiskrim lah tu..kan..? Mek Aisyah, atau lebih mesra digelar sebagai Cik Chah dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah. Mesra orangnya, hampir semua murid-murid sekolah dikenalnya. Wanita yang berlingkungan 40-an itu tinggal bersama suami dan empat orang anaknya. Dia membuka kedai runcit sejak 10 tahun yang lalu gara-gara ingin membantu suaminya mencari rezeki.
“Nah, pegang elok-elok! Jangan bagi jatuh, nanti tak dapat makan pulak. Kirim salam kat mak ye”. Cik Chah mengusap kepala Badrul, dia menganggap Badrul bagaikan anak sendiri.
“Jap. Badrul ada benda nak tanya Cik Chah la. Ustazah ada bagi kerja sekolah, tapi Badrul tak tahu nak buat sebab tak pernah dengar. Kot-kot Cik Chah tahu ke? Boleh suruh Cik Chah ajar kejap. Ustazah suruh tulis karangan pasal Jihad. Jihad tu apa?” Badrul membuakkan persoalan yang dari tadi bermain di fikirannya.
Soalan direct dari seorang budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Baginya erti kalimah jihad itu mungkin nilainya setaraf “buah pelaga”, atau sebarang rempah yang tidak diketahuinya ketika membeli. Lafaz jihad itu tidak ditekankan, selari saja nadanya semasa mengajukan.
Cik Chah tergamam sebaik mendengar pertanyaan dari seorang budak belasan tahun. Soalan yang barang kali tidak pernah diajukan kepadanya sebelum detik itu, akhirnya terpacul keluar dari mulut Badrul. Kenapa Badrul? Perasaannya hairan berbaur kagum. Murid tahun enam yang sedang berdiri di hadapannya itu masih tidak tahu apa-apa. Dia merasakan anak ini istimewa.
Rasa bersalah memuncak di hati Mek Aisyah. Adakah patut dia ceritakan hal yang sebenarnya? Atau patutkah dia membiarkan sahaja hingga suatu masa nanti Badrul sendiri yang akan membongkarnya. Sememangnya hal ini tidak patut hinggap di fikiran budak-budak, fikirnya lagi. Manusia seawal usia ini sebaiknya menghabiskan zaman indahnya tanpa sibuk memikirkan hal sedemikian rupa.
“Apa Badrul sebut tadi, Jihad? Kenapa Badrul tanya?”. Jawab Cik Chah ringkas setelah hampir 10 saat terkaku, namun masih belum memberikan intro untuk jawapan Badrul. Hanya berbuahkan soalan sampingan untuknya.
“Tak, sebenarnya Ustazah Maimunah yang suruh kita orang buat karangan pasal Jihad ni. Badrul tak pernah dengar pun sebelum ini. Tapi yang peliknya, hari ini Ustazah bagi kita orang balik awal. Entah-entah Ustazah sendiri pun tak tahu maksud dia kot. Tapi takpe, Badrul ada Cik Chah sekarang. Yeeaah... Cik Chah mesti tahu lagi banyak dari ustazah, dari pagi duduk kat kedai sampai malam asyik tengok tv je. Kan? Cepatlah, cepatlah bagitahu.”
Badrul menarik baju kurungnya berkali-kali. Ceria. Ada kesempatan, ditariknya pula anak tudung yang dipakai. Badrul dan Cik Chah memang selalu bergurau senda setiap kali berjumpa. Memang tak dinafikan, sesetengah orang boleh menyalah tafsirkan hubungan mereka sebagai anak beranak.
“Eh kamu ni! Manalah Cik Chah tahu. Bukan Cik Chah yang cakap-cakap dalam tv tu, Cik Chah tengok je. Betul ke jihad ni? Entah-entah Badrul tersalah salin ke? Ustazah suruh lain, Badrul dengar lain. Haa, cuba konfemkan balik dengan ustazah.”
Mendengar jawapan yang kurang memuaskan hati, Badrul terus tertunduk. Mulutnya dimuncungkan kehadapan tanda merajuk, dahinya berkerut menampakkan sangat tidak berpuas hati. Lebih menghampakan, Cik Chah tidak mengendahkannya langsung. Dia buat-buat sibuk mengisar ais batu, sengaja memekakkan telinga tidak mahu memberi jawapan sambil mulut terkumat-kamit menyebut sesuatu.
“Cik Chah, Bad balik dulu lah. Dah lambat ni, nanti mak marah. Assalamualaikum, bye.”
Badrul berpaling dan mengatur langkahnya keluar. Cerianya ketika melangkah masuk tadi bertukar hambar. Sudah hilang “mood” agaknya. Dia kecewa kerana soalannya masih lagi tergantung malah Cik Chah tak menghiraukannya pula. Petang masih terang, Badrul tidak bercadang untuk terus pulang. Dia masih belum berpuas hati, kepalanya masih kosong tentang jihad.
“Kenapa tiba-tiba ustazah bagi karangan yang susah macam soalan SPM? Pastu suruh orang balik awal? Kenapa Cik Chah tiba-tiba je buat ABC padahal mana ada orang order? Sengaja buat-buat sibuk lah tu. Aku takkan balik selagi tak dapat jawapan.”
Dalam kepalanya hanya tertulis satu nama, Pak Hamid. Harap-harap dia dapat membantu. Kali ini dia benar-benar bersungguh-sungguh. Dia perlu tahu apa itu jihad? Siapa yang tidak kenal Pak Hamid? Seorang pesara tentera darat yang dahulunya selalu menenang senjata, kini seorang penebar roti canai di taman ini. Gerainya memang laku, sibuk setiap masa. Baik yang membeli roti canai mahupun yang ingin mencari ilmunya.
Selama separuh abad hidupnya di dunia, banyak pengalaman dikaut, disimpan dan dikongsi kepada semua. Petah mulutnya berkata, banyak mulut pun sesuai sebagai gelarannya. Wikipedia itu bagaikan dia yang cipta. Hanya orang yang arif sahaja tahu menilai betul ataupun salah setiap kata-kata yang keluar daei mulutnya.
Satu fakta umum untuk makluman semua. Hampir semua yang bergelar tentera, kalau dalam bab bercerita merekalah yang layak menang tempat pertama. Kalau tak percaya? Harus percaya. Tiga sahsiah utama seorang tentera. Gempak Dalam Bercerita, Banyak Auta Dari Fakta, dan... yang terakhir tak perlu saya beritahu. Rahsia.
~sigh~
Badrul mengeluh sendirian. Kelibat orang ramai yang mencelah keluar masuk ke gerai Pak Hamid tidak putus-putus. Sesak. Teruk, hampir-hampir waktu maghrib beginilah ramai orang datang. Tak hairanlah masyarakat kita ini bermasalah. Ramainya orang di gerai Pak Hamid waktu ini.
Gambaran suasana sesak ketika itu umpama berada di dalam sebuah gerabak komuter, ketika orang pulang dari kerja. Di kiri dan kanan ada tangan-tangan bergayut. Muka akan berada betul-betul di axilla orang sebelah. Yang di dalam ingin ke luar danyang di luar ingin ke dalam. Sedangkan pintu masuk komuter hanya selebar peti ais? Ya Rabb.
Badrul hanya mampu merenungnya dari seberang jalan, dia tercengang. Habis luntur semangatnya untuk berjumpa Pak Hamid. Orang separa abad itu sibuk menebar roti canai sambil melaung-laung meminta orang ramai bersabar. Ada juga pembantunya yang dimaki kerana “terhegeh-hegeh”. Bila emosi sudah berkuasa, mulut pun boleh menjadi senjata.
Badrul tidak mahu berfikir panjang, langkahnya diatur ke rumah. Tiada gunanya menanti orang ramai berkurang. Mungkin masa itu waktu maghrib sudah habis. Dia terus berjalan, tidak mahu terlepas maghrib berjemaah di rumah. Ketika sedang melintas di hadapan sebuah kedai yang berdinding kaca, Badrul terhenti. Matanya tepat memandang sebuah televisyen di dalamnya. Saiz televisyen itu hampir satu depa. Kagum.
Ia satu-satunya televisyen yang terbuka ketika itu. Dia memerhati setiap penjuru televisyen itu. Seluruh badannya dihiasi iklan-iklan dan berbagai-bagai tampalan tentang info televisyen tersebut. “Flat screen LED, 1 year warranty, adjustable screen size, foldable, 20 % discount, water resist, high tempered glass...etc”. Bagus, tapi tanda harganya terlalu kecil. Mungkin televisyen itu malu untuk menunjukkan harga dirinya kepada orang ramai.
“Hari ini masuk hari kelima tentera Amerika menjalankan serangan mereka ke atas Gaza. Serangan udara kali ini memusnahkan hampir keseluruhan besar masjid At-Taqwa. Orang ramai ketika itu baru selesai menunaikan solat subuh....”
“Sebaik ditanya, menteri pertahanan Amerika memberi penjelasan bahawa serangan yang bermotifkan “Search and Secure” itu bertujuan mencari sekumpulan pengganas yang dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di dalam masjid tersebut. Serangan terbaru pada hari ini mengorbankan 49 orang rakyat palestin. Lebih menghairankan, tiada sebarang senjata dijumpai bersama mereka.”
Badrul tercengang sebaik mendengar berita tersebut di kaca televisyen. Aiskrim anggur yang berada di tangannya cair dan tumpah setitis demi setitis membasahi lantai. Dia merenung tumpahan aiskrim itu tadi dalam-dalam. Bagaikan darah yang tertumpah. Rasa tidak puas hatinya datang lagi. Ini bukan yang pertama kalinya.
“Suka hati dia je buat macam itu?” Hatinya bersuara.
“Bila kau bom sekolah, kawan-kawan dia mati. Bila kau letupkan hospital, mak dan ayah diorang pula mati. Bila kau ceroboh rumah, habis semuanya mati. Apa yang kau nak hah? Apa meseg yang cuba kau sampaikan melalui semua kematian ni?
Badrul amat tidak suka kalau perihal Palestin dipermainkan. Memang dari kecil dia dibesarkan dalam buaian Al Quds. Kisah pertumpahan darah di negara itulah yang selalu menjadi tajuk ceritanya sebelum tidur.
“Kenapa tak ada orang nak tolong dia? Bukankah Islam itu hebat, tapi di mana umat-umatnya yang gagah? Mana waris-waris Mu3tasim yang pernah bangkit menentang penghinaan seorang muslimat? Mana mereka yang betul-betul ikhlas pengakuan syahadahnya, yang sayangkan saudaranya?” Rontanya lagi.
“Kalau tak nak tolong pun, bagilah diorang makan.” Jauh monolognya berjalan. Tanpa disedari seorang yang asing datang mendekatinya. Dia menyebut nama Badrul berkali-kali seakan-akan mengenalinya. Orang itu membongkokkan badannya sedikit ke arah Badrul. Badrul bertanya, “Jihad itu apa?”.
Bayangkan jika kita berada di posisi orang asing itu. Apakah jawapan terbaik yang dapat kita berikan kepada Badrul? Faktor umur, daya pemikiran, kefahaman perlu diambil kira dalam memberikan jawapan. Luahkan.
1 comments:
Post a Comment