Wednesday, 29 June 2011

Perumpamaan Dunia


Perumpamaannya bagaikan seorang pemuda di dalam hutan. Sedang dia berjalan, datang seekor singa dari belakang dan mengejarnya. Maka pemuda itu berlari untuk menyelamatkan diri.

Ketika pemuda itu berlari, dia ternampak sebuah telaga yang berdekatan. Untuk menyelamatkan diri dia terus terjun ke dalamnya. Hampir saja dia terjatuh, namun dia berjaya berpaut pada tali yang ada pada telaga tersebut.

Dia memerhati keadaan sekeliling untuk mencari jalan keluar. Apabila melihat ke atas, kelihatan singa tadi masih lagi menantinya. Apabila melihat ke bawah, terdapat seekor ular yang besar pula sedang menantinya dengan mulut terbuka.

Dia hanya mampu bergantung pada tali yang dipautnya sahaja. Malangnya selepas beberapa ketika, muncul pula dua ekor tikus. Satu berwarna putih dan satu lagi berwarna hitam. Mereka duduk di atas tali tempat pemuda itu berpaut. Kedua-dua ekor tikus itu kemudian menggigit tali pautannya perlahan-lahan.

Dalam cemas suasana, tiba-tiba pemuda itu ternampak sarang lebah yang penuh dengan madu. Dia termenung melihat madu yang terhidang di depannya. Dia menyentuh sarang lebah dengan jarinya, kemudian memasukkan ia ke dalam mulut. Nikmat.

Hanya dengan sedikit kemanisan madu, dia terlupa akan singa yang sedang mengejarnya. Dia lupa pada ular yang sedang menunggu dia jatuh. Terlupa tikus yang sedang cuba memutuskan talinya.

Singa itu ibarat maut yang sentiasa mendekati. Ular pula bagaikan kubur yang akan kita masuk ke dalamnya. Tali itulah nyawa. Manakala kedua-dua ekor tikus adalah siang dan malam. Dan madu itulah dunia.

2 comments:

subhanallah
 
dari imam ghazali...
 

Post a Comment