“Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah”
Memang sudah lama aku mencari maksudnya. Bukan aku tidak faham cuma masih belum berpuas hati. Sebelum ini pandai sahaja aku berkata, hidup ini tidak lain hanyalah sebagai khalifah. Malah tidaklah diciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaNya. Hakikatnya, aku kurang tahu.
Bila terkenangkan video Ustaz Asri, memang terasa apa ertinya bahagia kepada kita? Adakah dengan mengejar harta kita akan bahagia? Adakah bahagia itu dengan memperoleh apa yang dicita? Adakah ketika dibuai cinta manusia dikira bahagia?
Tidak.
Harta menutup mata si bakhil yang kaya. Seakan-akan miskin tidak pernah wujud ungkapannya. Cita-cita dan impian. Bukan salah untuk diidamkan, tetapi boleh jadi bahan yang melalaikan kita dari cita yang utama. Sudah lepas satu, akan ada berjuta cita-cita yang kita reka. Rasa indah bila cita terlaksana. Kemudian ia hilang, ditutup pemburuan cita seterusnya.
Cinta manusia? Lagilah tak berguna. Selalu menghampakan insan yang tergila-gilakannya. Aku pun selalu jadi mangsa, malah sekarang pun mungkin ada hati yang masih terseksa. Bahagia apa cinta manusia? Kecuali cinta yang sebenarnya. Cinta manusia, atas nama pencipta. Mungkin di situ ada bahagia. Salah satu pintu ke sana.
Hari ini, aku kembali menemani laut yang barangkali merindu teman manusianya. Duduk setelah penat berlari dari jutaan langkah penuh resah. Aku kembali memikirkan isi tajuk hari ini. Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah.
Kenapa? Aku tidak nafi aku benar menjaga solat fardhu, malah turut menambah beberapa yang sunat. Cuma kadangkala kurang sempurna. Kalau aku memandang tajuk ini, aku merasa terkongkong. Aku sendiri rasa bersalah. Apakah patut wujud rasa kongkongan dalam beribadah kepadaNya. Mungkin inilah kecintaan yang palsu, atau mainan nafsu yang benci hidup sebegitu.
Betapa sempitnya pemikiran hingga aku membayangkan kehidupan untuk mencari redha Allah adalah kecil jalannya. Tanpa merasakan apa yang mereka semua rasa. Adakah mencari keredhaan Allah itu dengan beribadah sebaiknya?
Benar. Memenuhi tuntutan solat lima waktu sehari semalam. Kemudian berpuasa. Habiskan masa di hadapan Al-quran. Tanpa mendengar bisikan yang lagha. Hidup untuk mencari redhaNya dengan menggadaikan nilai hidup sebagai manusia biasa. Tidak bebas seperti yang mereka rasa.
Tadi sebelum pulang. Pada hujung kekeliruan ini, aku jumpa jalan keluar. Akhirnya aku tahu bagaimana mahu memutar. Menjadikan tujuan hidup ini lebih jelas. Untuk aku, dan mungkin untuk mereka yang masih berfikiran seperti aku. Alhamdulillah, aku cinta tuhan.
Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah. Aku yang tadi, memandang pencarian redha Allah dengan beribadah setiap masa. Walaupun sudah lama bergelar muslim, aku masih tidak mahu menjadikan setiap masa adalah untuk beribadah. Bayangkan setiap masa diperuntukkan untuk beribadah, untuk yang lemah imannya seperti aku. Ini sangatlah berat.
Aku yang sekarang. Berjaya memutarkan ayat ini. Aku tetap menggunakan ayat yang sama. Hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah, tetapi pintunya dibuka lebih luas. Keredhaan Allah bukanlah datang dari solat dan ibadah yang utama sahaja. Buka mata! Aku tidak mahu lagi buta. Tuhan tidak akan pernah salah memberi perintah, cuma hamba yang selalu salah memberi hujah.
Aku kini menjadikan hidup aku bebas seadanya. Seperti apa yang mereka semua cita. Aku juga ketawa, aku juga menyanyi, aku juga mengambil masa mengejar kecemerlangan dunia. Cuma jalannya diluruskan. Biarlah ia datang dari pintu redha Allah s.w.t.
0 comments:
Post a Comment