Sunday, 2 May 2010

Dunia Aku Yang Punya




Sedang mereka berjalan-jalan di pasar Cleopatra, Bakri dan Salman ditegur seorang lelaki. Susuk tubuhnya menampakkan kegagahan, keganasan dan kejahatan. Namun disebalik itu, lain pula bicaranya, lemah lembut lentik suaranya. Hiasan lemah gemalai bahasa tubuhnya. Lemah segalanya. Sumpah, cair hati melihatnya. Mata birunya ligat memerhati sekeliling. Barangkali menanti kedatangan rakannya.

Kebetulan pada waktu itu mereka sedang tawar menawar bagi mendapatkan sebuah rak buku. Sudah berkali-kali Bakri melihatnya, kali ini tergerak hatinya mahu membeli. Mana tidaknya, rak pinggan di rumahnya sudah dijadikan tempat menyimpan buku. Manakala pinggan hanya diletakkan di sink.

Dengan tidak semena-mena, Si ARAB itu pun pantas menunjukkan kepakarannya berbahasa ibunda. Alangkah bagusnya kalau semua arab di sini baik-baik sepertinya. Tidak perlu lagi bertekak panjang, senang, mudah, dan harga pun murah. Tamat berbicara, puas bergelak tawa, hanya duit yang perlu dihulur selamba.

ZAPP....!!

Dompet Bakri direntap laju dan tiba-tiba dia bagaikan dipukau, kepalanya pening. Rongganya terasa kering, panas dan berpasir. Dunia menjadi gelap seketika. Perlahan, nafasnya ditarik dalam-dalam. Hanya nama Allah yang hadir padanya masa itu. Berkat tautan hatinya kepada Rabb, semua kembali normal. Segalanya hilang begitu sahaja bagaikan mainan ilusi teknologi terkini.

Dilihat tangannya sudah kosong, hanya saki baki benang-benang dompetnya yang koyak sahaja kelihatan. Air liur pekatnya ditelan, wajah penjual rak ditatap dalam, Salman hanya berdiam. Dari kedai, dia ternampak Si ARAB tadi. Pisang, kubis dan bawang dibuangnya ke tepi. Pantas, dia harus mendapatkan kembali haknya. Langkah seribu dibuka, tenaga mudanya dikerah seadanya.

Bayangan Si ARAB kian hilang, mencelah di sebalik jutaan manusia. Tapi topinya berwarna merah menjadi petanda. Jangan dipermainkan Bakri, jaguhan sekolah menengah peringkat negeri. Ke mana sahaja Si ARAB itu pergi, dia pergi. Dari lorong pasar yang sempit, ke taman rumput hijau, ke perkarangan sekolah, hingga ke jalan tepi laut yang besar.

Di kepalanya hanya satu, duit bukan menjadi hal utamanya. Tapi kad pengenalan dan kad bank yang dikejarnya. Mana mungkin dia pulang ke Malaysia nanti kalau kad pengenalan pun tiada, kerajaan Mesir lagi tidak mahu terima. Dia berlari tidak henti, penat separuh mati. Tak sangka, pandai juga Si ARAB rupanya. Dia juga mungkin sudah penat. Tidak normal sekiranya dia masih mampu berlari seiring kenderaan di sebelahnya.

Langkah Bakri terhenti. Tenaganya sudah sampai ke penghujungnya. Tiada daya lagi yang mampu dia kerahkan. Jaguhan sekolah menengah yang dahulunya gagah, tidak semestinya kekal berdiri megah. Itulah roda putaran kehidupan. Ada masanya kita di atas dan suatu masa kita akan berada di bawah. Bakri mengalah. Tertunduk penat di hadapan sebuah lorong. Saat kepenatan itu dia terserempak seseorang.

Bawwab. Gayanya seperti seorang bawwab. Berjubah gelap, dengan sedikit kotor-kotor di bajunya. Dia duduk betul-betul bertentangan Bakri. Di hadapannya terhidang botol Red Bull. Habis, luntur semangat Bakri hendak mengejar Si ARAB. Tidak mengapalah, biarkan sahaja. Sudah terlepas, apa boleh buat. Fikirnya lagi. Lebih baik dia berhenti, menikmati sebotol Red Bull setelah ratusan meter berlari. Tambah pula maghrib hampir menampakkan diri.

Diam. Dia berfikir kali kedua. Membuat keputusan yang sebaiknya. Botol Red Bull ditenungnya tajam. Muka bawwab penuh kehairanan. Kalau tiada dompet, tiadalah kad pengenalan dan kad bank. Kena pergi Jabatan Pendaftaran Negara, kena keluar duit lagi. Mana mahu dapat duit kalau tiada kad bank. Lagipun Si ARAB mesti kepenatan sekarang. Maghrib pula boleh dikerjakan di mana-mana. Tidak, biar susah dahulu baru rasa senang kemudian.

“Ya ‘ammu. Hatli wahid Red Bull. Hagilak ba’da Maghrib ‘asyan dilwakti ma ma’isy fulus. Meshi?”

Bawwab diam. Kepalanya hanya mengangguk tanda bersetuju. Mulutnya terlopong, menampakkan barisan giginya yang separuh hilang. Barangkali kagum melihat Bakri berbicara arab. Bukan senang mahu berjumpa mereka yang pandai berbicara arab selain pelajar-pelajar universiti. Bakri teruja, dan berasa bangga. Sedikit penghormatan baginya.

Bergaya gah bagai seorang hero, dia melangkah laju sambil meneguk botol Red Bull di tangannya. Diharap dengan nama Allah, akan datanglah kekuatan. Mengalir lebihan-lebihan air yang keluar dari tepi mulut membasahi lehernya. Tenaganya kembali di saat air masuk ke usus kecilnya. Bagaikan mendapat jiwa baru. Botol dicampaknya ke tepi hasil pengadaptasiannya dengan masyarakat arab. Pantas, kaki melonjak laju mengejar bayang Si ARAB yang tidak jauh di hadapannya.

Si ARAB penat akibat dari larian yang tidak berhenti. Gugur semua lemaknya bersama titisan-titisan keringat yang berbau. Dia tahu, dia tidak mungkin berhasil meloloskan diri. Semangat Red Bull meresap serata tubuh Bakri. Hampir benar dia di belakang Si ARAB, dan dengan tiba-tiba, dompet yang terhayun di tangan Si ARAB terjatuh dengan sengajanya. Itu usaha terakhirnya bagi menyelamatkan diri.

Langkah Bakri perlahan. Cukuplah dia mendapatkan dompetnya kembali. Lepaskan saja Si ARAB, biar Allah sahaja yang menghukumnya. Dia memungut dompet dan segera membukanya.

“Tidak...What the...”

Perkataan pertama yang keluar dari mulut Bakri. Tiada duit di dalamnya. Enam keping wang kertas bernilai 300 pound, lebur. Bakri sukar menerimanya. Dompetnya dibelek berkali-kali, dihentak dan digoncang-goncang, namun masih tidak keluar. Apa boleh buat, rezeki Si ARAB nak merasa kaya sekejap.

Bukan ini yang hendak ditujukan sebenarnya. Kisah di atas hanyalah sekadar muqaddimah. Namun kesimpulannya adalah panjang, amat sukar untuk dikisahkan.Beginilah kita manusia, tujuan kita adalah mengejar kejayaan akhirat. Dalam perjalanan kita mengejar akhirat, akan ada dunia yang menjadi persinggahan. Akhirat itu indah, dunia juga indah.

Bagi mereka yang bijak, mereka menjadikan dunia hanyalah sebagai tempat lonjakan bagi mereka untuk mencapai kejayaan yang besar di akhirat. Namun bagi mereka yang kurang berusaha, kurang pengetahuannya, mereka akan berasa cukup dengan keindahan dunia yang baginya indah tak terkira. Kejarlah dunia dan akhirat yang sebaiknya. Kalau dikhuatiri dunia mengagalkan kita, tinggalkanlah dunia.

Inilah manusia, bila susah bukan main kita sebut nama Allah. Tapi bila senang, nama Allah kita buang caci maki kita cakap berulang-ulang. Kalau sesama manusia, bukan main pandai lagi membodek, cakap itu cakap ini. Nak kan itu, nak kan ini. Bila sudah ada depan mata, yang betis mahukan peha silap-silap yang atas dari peha juga kita pinta. Ingat, kita bukan membodek manusia, kita memuji Allah yang Esa.

Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristiriehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan”

Hadith riwayat Tarmidzi

3 comments:

panjang gle...
 
best2!
ni kisah benar ke rekaan ni?
bakri kena rompak ni betul ke?
 
haha...rekaan...70% rekaan..
 

Post a Comment