“Aduh, lu bikin gua panas je. Kalau tak boleh buat, bagitau je la tak boleh”.
Amirul mengadu hampanya sendirian. Dikepal penumbuknya erat. Wajahnya ketika itu tiada rupa manusia lagi. Sudah berkali-kali perkara sama berulang. Amarahnya kini betul-betul memuncak. Kedengaran pintu rumah dikuak. Nampaknya Ahli Bait yang lain sudah pulang.
“Asal ni Meer? Nampak tension je. Ada orang kacau Aisyah lagi ke?
Salam tiada, khabar pun entah ke mana, Rafiq pantas mengajukan soalan. Sejak kebelakangan ini, Amirul sering kelihatan suram, adakalanya marah tidak tentu pasal. Badrul dan Saif turut merasai perubahan dalam diri Amirul.
“Ni mesti kes orang ketiga ni, kan? Takpe Meer, banyakkan sabar. Time puasa ni kita kena tahan marah Meer. Nanti balik Malaysia nanti kita settle sama-sama. Manusia ni kalau tak bagi pengajaran sikit, tak akan sedar Meer. OK?”
Saif cuba menenangkan keadaan. Takut-takut perkara yang tak diingini berlaku. Bimbang perasaan marah Amirul, bercampur frust exam yang semakin dekat ditambah pula dengan cuaca negara ini yang panas, ada kemungkinan laptopnya melayang keluar tingkap.
“Camni lah Meer, kau pergi la ambik wudu’ dulu. Zikir-zikir sikit. Jangan study. Bawa bersabar je, manusia ni memang macam tu. Kitorang nak solat dulu, pastu kita makan sama-sama.”
Kini Badrul pula bersuara, sekadar melengkapkan kitaran perbualan. Amirul sedikit terubat dengan kehadiran teman serumahnya. Ada secubit syukur yang bertandang di hatinya. Harap-harap persahabatan mereka teguh, akrab di dalam ukhwah islamiah kerana Allah. Amin.
Perasaan marahnya sedikit-sedikit beransur pergi. Perlahan, dia mengangkat mukanya yang dari tadi muram. Wajah-wajah teman serumahnya ditenung satu persatu. Hanya satu saja respons yang diberikan.
“HAHAHAHAHAHAHAHAHA”
Rafiq, Saif dan Badrul saling berpandangan. Terdiam seribu bahasa, masing-masing dengan muka penuh kehairanan. Merasa seakan dipermainkan, Saif merangkakan sesuatu. Dalam kalangan kami, Saif dikenali dengan wajah bengis buatannya. Lantas waktu itu, dagunya diherotkan ke hadapan. Matanya memberi isyarat kepada Rafiq dan Badrul.
Badrul dan Rafiq memegang tangan kanan dan kiri. Sementara itu, Saif mengaut kolar baju Amirul. Muka mereka berempat saling bertentang.
“Apa masalah kau sebenarnya hah?”
Amirul masih belum berhenti ketawa. Geli di hatinya amat dalam. Tak sangka sampai begitu pemikiran kawan-kawannya terhadap masalahnya. Mukanya yang putih tampak kemerahan saat bergelak tawa.
“Terima kasih la atas keprihatinan korang semua. Serius, korang memang terbaik ar. Tapi takpe lah. Kalau aku nak pukul, nanti aku mintak tolong korang. Haha. Masalah sekarang ni takde kaitannya dengan Aisyah. Takde kaitan langsung. Ni masalah lain”.
“Lah, masalah apa plak ni? Tak pernah aku tengok kau marah kalau bukan sebab Aisyah. Dah banyak kali kau mintak tolong aku, kali ni memang aku on je kalau kau nak suruh aku pukul. Cuba citer sikit”
Saif menampakkan muka seriusnya yang palsu. Senyumannya berselindung di sebalik kerut-kerut dahi. Baginya paling kurang pun, seorang doktor yang berjaya perlu mendengar masalah pesakitnya dengan penuh perhatian walaupun kita ada masalah peribadi. Subjek Community Medicine kalau tak silap.
“Tak, camni. Sekarang dah pukul 3.00 kan? Semalam kan kita dah telefon Mahmoud, dia cakap dia nak datang pukul 1.00. Dia siap kata Insya Allah lagi. Tunggu punya tunggu, tak datang pun. Mana tak panas aku. Pastu aku tepon la. Dia cakap “ana gai, ana gai”. Gai, gai. Sejam tunggu, tak gai pun lagi. Pastu call dah tak dapat. Hiiisssh!”
Amirul masih marah. Dia tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah masyarakat arab yang memang lumrahnya tidak dapat menepati masa. Entahlah, kalau janji melayu pun orang persendakan. Inikan pula janji orang arab yang dipersendakan orang melayu, yang juga selalu mempersendakan janji. Fikirlah sendiri.
“Kepala dia! Cancelkan je lah Mahmoud ni. Punyalah lama kita tunggu dia ni. Nak buat, buat je la. Kalau tak nak, buatlah macam tak nak sudah. Ni cakap nak buat, tapi tak buat, masih cakap nak buat, nanti orang dah tak nak baru nak buat. Itupun belum tentu siap lagi.”
Saif makin lantang bersuara. Nampaknya dia juga sudah terbaham amarahnya.
“Ana gai, ana gai. Jemu aku dengar! Nak je aku cabut telinga aku ni, sakit hati kau tahu tak. Dalam banyak-banyak arab kat sini, dia lah yang aku jumpa paling teruk. Kalau jumpa, cakap lembut nak mati. “Aiwah, bakhallas kulli hagah. Ba’din ana gai, Insya Allah” –Aku habiskan semua jap, lepas ni aku datang-. Kalau setakat sehari dua takpe, ini dah seminggu bai. Asyik-asyik, “Sa’ah arba’ah, ba’da Isya’, bukrah, bukrah, ana gai”.
Badrul pula melemparkan bencinya. Dia sudah betul-betul putus asa dengan Mahmoud. Pemilik cafe berinternet yang juga pembekal internet di kawasan rumahnya.
“Camni lah, nanti kita telefon dia lagi sekali. Tanya dia nak buat ke tak. Kalau dia nak, suruh dia datang sekarang jugak. Kalau dia nak, tapi dia cakap, “Ba’da sa’atin ana gai”. Ada hal itulah, hal inilah. Kita cakaplah kat dia tak payah susah-susah. Cancelkan je, kan senang.”
Perkataan yang keluar dari mulut Rafiq sedikit menenangkan. Masing-masing mengangguk setuju. Nasib baiklah masih ada manusia seperti Rafiq. Kalau tidak, rugilah Mahmoud.
Sejurus selesai menunaikan solat fardhu Zohor, Amirul mencapai telefon bimbitnya. Nombor Mahmoud yang tertera di skrin telefonnya dihubungi.
“Tolonglah dapat. Tolonglah dapat. Angkat Mahmoud, tolonglah angkat!”
“Hah, dapat!”
Amirul menghulurkan telefon bimbitnya kepada Saif. Saif pula menyerahkan kepada Rafiq dan dia memberikan pula kepada Badrul. Kemudian kembali semula kepada Amirul. Telefon sudah berkali-kali bertukar tangan. Masing-masing tidak mahu bercakap. Bimbang tak faham, biasalah bahasa arab pelajar tahun satu.
“Takpe lah, bak sini aku try cakap. Bismillahirrahmanirrahim”
Badrul memberanikan diri.
“Halu, salam alaik. Amirul izayyak?”
-Amirul, apa khabar?-
“Haaa, alaikas salam warahmatullah. Lak, Badrul ma’ak. Alhamdulillah kuwayyis”
-Tak, ini Badrul. Sihat-
“Tamam?"
-Serpurna?-
“Aaa, tamam. Mahmoud, izay internet?”
-Sempurna. Macamana internet-
“Internet? Aaa, ana gai, ana gai.”
-Internet, aku datang, aku datang-
“Enta gai? ‘endak sa’ah?”
-Kau nak datang? Kau ada jam ke?-
“Aaa, ana gai, Insya Allah. ‘andi sa’ah. Leeh?
-A’ah, aku datang. Aku ada jam kenapa?-
“Kam sa’ah dilwakt?”
-Pukul berapa sekarang?-
“Sa’ah talat wannusf.”
-3.30-
“Aaa, tab’! Enta ‘arif ellenta mutaakhir khalas dilwakt. Embareh, enta ul enta gai fi sa’ah wahdah, sah?”
-Ooo, OK! Kau tahu tak yang kau dah lambat sekarang. Semalam kau cakap nak datang pukul 1.00 kan?-
“Aiwah, sah. Ana ‘arif. Ma’alisy. Sorry, sorry. Ana masyghul awie dilwakt. Insya Allah ana gai ba’da ‘asr.”
-Ya, betul. Aku tahu. Sorry. Aku sibuk sangatlah sekarang. Aku datang lepas ‘Asar-
“Ba’da ‘asr? Bigad?”
-Lepas ‘Asar?-
“Aaa”
-A’ah-
“Meshi, khalas. Kabbaruh! Miskin alaik. Ehna ‘arif kaman ellenta masyghul awie dilwakt. ‘asyan kida ehna musy ‘aizzin enta khalas. Meshi, syukran. Salam Alaik.”
-Ok, cukup. Cancelkan! Kesian kat kau. Kami tahu yang kau sibuk sangat sekarang. Sebab tu kami tak nak kau dah. Ok, terima kasih-
“Istanna, istanna. Istanna ya kabten!”
-Tunggu, tunggu-
Tuut...tuut...tuut.
Telefon dimatikan. Jawapan sudah dikeluarkan. Kini mereka sudah tiada pertalian lagi dengan Mahmoud. Mereka berpuas hati, walaupun masih tiada internet tapi sekurang-kurangnya hati mereka tenang tanpa marah-marah. Masa juga boleh dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran. Harapnya begitulah.
Keesokan harinya Rafiq menghubungi seorang kenalan arab yang kerjanya menyambung kabel internet. Tunggu punya tunggu, akhirnya dia datang. Walaupun terlewat sejam, tapi si arab ini berjaya datang. Satu perkara yang amat luar biasa. Nak dijadikan pengajaran, bukan semua manusia teruk. Serius, bukan calang-calang arab kita nak jumpa macam ni, buat kerja terus siap. Kalau boleh nak je tangkap gambar dengan dia. Tapi dia tak nak, takut.
Hampir 3 minggu mengasingkan diri. Dari musim peperiksaan modul hinggalah berpindah ke rumah baru, rindu untuk berinternet makin mencucuk-cucuk. Yelah, siapa yang tak rindukan ibu bapa, kan? Petang itu, barulah mereka dapat merasai nikmat internet. Nikmat?
Itulah, bila kita jauh dari ibu bapa. Sedih je rasanya, macam ada yang tak kena. Lebih kuranglah cerita internet ini dengan perihal kita. Bilamana hati dah jauh dari Al-quran dan Al-hadith, tuhan yang ada di mana-mana pun kita akan rasa jauh. Kenapa pula masa itu, kita tak mercari-cari, meminta-minta agar dibekalkan “internet”. Na’uzubillah.
Sudahlah merapu panjang. Lama tak menulis. Pengajaran, kalau dah berjanji kita wajib menepati. Ingat, salah satu tanda orang munafiq adalah apabila dia berjanji dia mungkir. Jangan jadi macam sesetengah melayu, atau pak arab ni. “SESETENGAH” perlu ditekankan. Kat mana-mana tempat pun, ada orang baik, ada yang kurang. Kita jangan sibuk-sibuk nak menilai orang. Sebaliknya kita cuba perbaiki diri kita sebaiknya. Ola...
“Wahai orang-orang yang beriman! penuhilah janji-janji...”
(Surah Al-Maidah 5:1)
“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya”
(Surah Al-Isra’ 17:34)
2 comments:
Post a Comment