“Aarrghh... Haaaa... Salam Alaikum.”
Aku masuk ke dalam rumah tanpa dipelawa. Rumah sendiri. Tambahan pula, pintu rumah kami memang sentiasa terbuka. Aku tercungap-cungap. Penat menaiki tangga yang hanya satu tingkat masih belum hilang. Nasib baik ada lif, kalau tiada tentu lebih menyeksakan. Kasut ditanggalkan dan kemudian aku terus masuk ke dalam bilik. Penat.
Dua minggu yang lepas, kami (Badri dan Kashfi) membuat sedikit perubahan terhadap susunan perabot-perabot di dalam bilik. Di dalam pelan susunan yang terbaru, katil perlu berada betul-betul di depan pintu bilik. Rasionalnya, ini akan memudahkan kami melompat terus ke atas katil sebaik saja tiba di muka pintu bilik. Satu lagi susunan yang perlu diambil kira, susunan meja dan katil. Dua ciptaan manusia ini tidak boleh duduk bersebelahan. Ingat petua ini.
“Them!”
Aku baru teringat, hari ini adalah hari rabu. Kalau bukan Kashfi tentulah aku yang sepatutnya memasak. Kami telah digandingkan bersama untuk tugasan memasak pada hari rabu dan ahad. Selalunya kami akan masak bersama-sama. Tapi bilamana keadaan tidak mengizinkan kami akan masak berseorangan. Misalnya jika Kashfi ada study group dengan kawan-kawannya.
Jadi ketika saat itu akulah yang paling berkuasa ke atas dapur. Kalau nak makan, datanglah hari rabu dan ahad. Tapi kena bayar sikitlah.
Selalunya aku akan mengeluarkan ayam dari peti ais 4 jam lebih awal dari waktu memasak. (approximately). Tapi hari ini kelas aku sampai ke petang. Aku tidak sempat untuk mengeluarkannya. Anyway aku terpaksa juga masak sekarang sebab ada orang kata, semakin malam semakin surut nafsu makan.
“Nice. Nice.” Aku sangat gembira kalau kerja yang sepatutnya lama, jadi sekejap. Syuraim selalu bancuh air teh. Dia rajin masak air. Nampaknya masih banyak lagi air panas yang berbaki. Tak perlulah aku bersusah-susah menjerang. Aku pun segera mencari periuk, mengeluarkannya dari dalam almari. Nasib baik tak ada lipas dalam periuk. Kalau tidak kena basuh, tambah satu kerja lagi. Kemudian aku tuangkan air panas ke dalam periuk.
Salah satu kesilapan orang yang nak cepat ketika mencairkan ayam. Mereka terus tuang air panas ke atas ayam dengan harapan ayam akan cair. Natijahnya, ayam itu akan jadi separuh rebus. Inilah cara amateur, jangan sesekali cuba melakukannya melainkan ingin mendapatkan pengalaman.
Hari ini, masak kari pun ok lah. Kari merupakan lauk yang paling senang di masak. Baik di bumi Mesir atau di Malaysia. Senang! Ayam tak perlu digoreng, kuahnya tak perlu dikacau selalu. Paling stylo, kalau ada bawang besar dan perencah kari saja pun sudah boleh jadi kari. Tapi, itu resepi tentera. Diorang kan rajin berperang. Mana boleh makan sedap-sedap. Itu juga resepi untuk orang yang sangat malas.
Kari, kari dan kari. Hari ini kari, esok pun kari, lusa pun kari. Ah, gila kari! Jadi untuk tidak digelar pemalas, aku tambahkan sedikit halia, bancuh sebungkus santan, tabur sedikit bunga lawang dan kayu manis, dan tambah kentang. Ubi kentang kena banyak. Baru nampak macam makan mewah. Kari kentang ayam. Lepas ini, Adabi kena cipta serbuk kari kentang pula.
Selalunya bila nak tunggu ayam masak kita kena tunggu lama. Tempoh masa menunggu yang ada inilah kita kena banyakkan bersabar. Kita semua tahu yang perut masing-masing semua dah lapar. Lagi-lagi kalau ada housemate yang kuat menjerit. Marah menjerit, gembira menjerit, makan pun nak menjerit. Segala kata-kata hamun keluar. Kalau kaki karaoke, tak mengapa juga. Marah sikit, menyanyi.
Ruang dapur selalunya tak ada kerusi. Sejak aku tahun satu, semua rumah yang aku pernah duduki tak pernah satu pun yang sediakan kerusi meja dekat dapur. Logiknya, kadang-kadang bila duduk pun kita boleh terleka. Lagi-lagi yang belajar medik, kuat betul semangat tidur mereka. Semangat pemuda. Hatta atas kerusi pun mereka boleh tidur. Lauk pun boleh hangit kalau macam itu, kuah kari pun boleh kering.
Disebabkan penat yang tidak surut-surut, aku pun duduk di satu tempat yang aku masih boleh nampak dapur. Tak adalah hangit kari aku nanti. Bau kari merebak ke seluruh penjuru rumah. Syuraim yang menjerit-jerit lapar dari tadi pun terdiam. Aku terfikir, dapur sudah ada saluran udara namun tidak cukup untuk memastikan semua udara itu keluar.
Aku melihat tingkap yang menjadi saluran udara keluar di dapur. Ada yang tidak kena dengannya. Lama aku merenung.
“Apa yang tak kena ni? Ooo..”
Baru aku perasan, corak yang ada pada tingkap itu tidak sama. Sebelahnya terang dan sebelah lagi gelap. Aku teringat bahawa sebelum ini hanya sebelah saja dari tingkap itu yang dibuka. Manakala yang sebelah lainnya dibiarkan tertutup. Hampir 6 bulan juga tingkap dapur kami dibiarkan terbuka sebelah. Baru sekarang ada pihak yang membuka sebelah lainnya.
Bahagian tingkap yang dibiarkan terbuka sebelum ini sudah penuh dengan kotoran minyak-minyak, dan habuk. Gelap dan melekit. Mana tidaknya setiap hari memasak, tengahari dan malam. Manakala bahagian tingkap sebelum ini tertutup masih putih dan kurang berhabuk.
Oh, aku teringat. Kesan tingkap itu, tidak jauh bezanya dengan kisah permaidani kami. Aku masuk sebentar ke dalam bilik. Sibuk memerhatikan permaidani yang merentangi seluruh ruang bilik. Aku kini sedang berdiri di atasnya. Kasar, bagaikan tar yang berbulu. Mana tidaknya, di sinilah kami duduk, di situlah tempat tumpahnya milo, terjatuhnya domino pizza. Hujan dan panas pun turut menyimbahnya.
Aku menyelak bahagian permaidani yang terlindung disebalik katil. Bersih, dan ‘hidup’ lagi warnanya. Masih seperti yang baru. Bulunya tidak tumpah seperti bulu kucing Muhsin, cuma nipis sedikit saja. Warnanya juga masih seperti asal, tidak luntur dek matahari. “Pergh, masih suci.”
Aku terbayang lagi. Terbayang-bayang kesan kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Teringat zaman sekolah dulu. Kawad pagi, kawad petang, kawad malam. Setiap hari perlu berkawad. Paling sakit sekali kalau diarahkan kawad ditengah panas. Cukup dua minggu, hitamlah semua. Aku yang gelap, makin gelaplah jadinya.
Tak kesahlah, cuma masa itu baru kita akan nampak beza warna kulit yang cerah dengan kulit yang terdedah kepada matahari. Keseluruhan muka kecuali kawasan yang ditutupi beret akan gelap. Di bahu juga akan ada beza kesan kulit yang cerah dan gelap.
Macam beli baju juga. Selalunya kita akan minta baju yang baru, yang masih bersarungkan plastik. Walaupun baju yang ditayangkan coraknya cantik, tapi warnanya sedikit pudar. Getah kolarnya pun mungkin sudah longgar kerana sudah berkali-kali disarung pakai dan ditanggalkan. Kadang-kadang ada bau pula. Bau india, bau cina dan bau melayu. Bangla? Semua ada.
Kalau nak buat kesimpulan yang lebih jauh. Cuba kita ambil contoh seorang perempuan. Seorang yang menjaga dirinya dengan batasan agama, dan seorang lagi yang suka bergaul bebas. Orang kata yang tertutup itu indah.
Hah, nilailah!
2 comments:
Post a Comment