Segalanya bermula dari tarikh ini, 15/11/1991. Lebih kurang 20 tahun yang lalu. Aku masih belum mampu bernafas sendiri. Melalui placenta, aku minta sedikit ihsan daripada ibu. Ketika itu ibulah kawanku yang paling rapat. Dialah yang mengisi perutku, memberi minum dan segala keperluan untuk aku meneruskan hidup. Terus membesar.
Sudah masuk 7 bulan aku di sini. Aku semakin besar. Saiz badan dan beratku juga sudah tidak mampu dikandung ibu. Tubuh ibu makin sakit menanggung beban. Derita melahirkan anak adalah kesakitan yang kedua perit selepas mati. Ayah risau, ibu sedang kesakitan berjuang untuk melahirkan kami.
Hari yang getir berlalu juga. Kami berdua selamat dilahirkan.
Ibu melihatku dengan senyuman walaupun ketika itu dia sebenarnya sedang sakit. Ibu memang seorang yang pandai menyembunyikan kesakitan. Dia tidak mahu orang lain bimbangkan keadaannya. Bermula dari saat lahirnya aku, ibu dan ayahlah orang yang paling banyak berkorban untuk aku.
Tanggungan ayah makin bertambah. Jumlah kami pada waktu itu adalah seramai 6 beranak selepas lahirnya aku dan kembarku. Ibu dengan peranannya sebagai seorang ibu. Khabarnya apabila seorang ibu selesai menyusukan anak, dia akan berasa lemah dan penat. Kasihan ibu. Selesai susukan aku, dia perlu susukan adikku pula. Walaupun penat, dia tidak sesekali membiarkan kami kelaparan.
Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Ibu kini perlu makan untuk mengisi perut tiga orang. Satu untuknya, dan dua lagi untuk anaknya. Dia perlukan lebih makanan. Makanan penting untuk penghasilan susu dan penghasilan tisu-tisu lemak. Jika ibu tidak berbuat begitu, kami mungkin tidak akan dapat makanan.
Kerja-kerja ibu juga semakin bertambah. Aku cuba membayangkan bagaimanakah caranya ibu hendak memandikan kedua-dua orang anaknya ini? Aku tiada kudrat langsung untuk berdiri ketika itu. Duduk pun belum mampu. Aku perlu diampu ibu dengan sebelah tangannya, manakala sebelah lagi tangannya akan menggosok-gosok badanku. Sudah pasti, ibu tidak dapat memandikan kami berdua pada satu-satu masa.
Setelah dimandikan, dibedakkan dan dilampinkan barulah tiba giliran Bahtiar. Adakalanya mungkin dia dulu kemudian baru aku. Bergilir-gilir.
Ayahlah orang yang kedua merasai kesusahan ketika itu. Walaupun ayah terlepas dari derita melahirkan anak, tetapi sebenarnya dialah orang yang paling banyak berkorban ketika itu kerana tanggungjawab mengemudi keluarga kami adalah di atas bahunya.
Dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga, jumlah keperluan juga semakin bertambah. Baju, tilam, bantal, susu tepung, ubat-ubatan dan sebagainya. Kos makanan juga. Elektrik dan gas, semuanya memerlukan duit. Bukannya percuma. Duit pula takkan datang dengan sendiri. Ayahlah yang berusaha mendapatkan duit dengan menjual kudratnya.
Moga segala peluh yang mengalir dari usaha ayah, segala urat yang terkesan pada tangan ayah, dan segala masa yang ayah habiskan untuk bekerja sampai ke hari ini, Qari doakan berkat semuanya.
Dulu di rumah kami ada dua buaian. Satu untukku dan satu lagi untuk kembarku. Bayangkan, untuk tidurkan seorang bayi pun adakalanya susah. Inikan pula kembar. Selalunya Ibu akan dodoikan kami berdua, tapi ketika masak atau terlalu sibuk, ibu tidak mampu melakukannya pada satu-satu masa. Nasib baik ada Kaklong dan Nyah masa itu. Walaupun umur mereka masih setahun jagung, adakalanya merekalah yang tolong buaikan kami sampai kami tertidur.
Dulu ayah susah. Selepas berhenti berkhidmat sebagai askar, ayah diterima untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat. Ayah bermula dari peringkat bawahan. Ayah gigih bekerja dari pagi sampai ke malam. Kalau tak salah, Ayah keluar pukul 8 pagi dan sampai ke rumah pukul 7 malam. Adakalanya ayah bekerja shif malam, dan kadang-kadang ayah ambil overtime. Pukul 10, pukul 12 malam baru pulang.
Aku masih ingat, ketika ayah nak pergi kerja sebelum sampai di hujung jalan ayah akan mengangkat tangan keluar tingkap dan melambai ke arah ibu dan kami yang berada di depan rumah. Setiap pagi.
Kalau diikutkan hati, ayah tidak perlu membanting tulang berlebih-lebihan. Duit yang ada sudah memadai dengan keperluan harian. Tapi untuk memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak, ayah memerlukan duit lebih dari sekadar keperluan. Ayah perlukan duit untuk simpanan, dan dari duit simpanan itulah ayah akan membaiki kekurangan kami.
Semakin hari, ada saja yang perubahan yang ditambah. Dari dinding kayu ke rumah batu, dari kereta lama ke kereta baru.
Hujan dan panas silih berganti. Hari demi hari berlalu. Aku semakin besar. Beberapa tahun selepas itu Ajmain pula dilahirkan. Kami sekarang sudah menjadi 7 orang semuanya.
Rumah kami sudah seperti rumah asuhan kanak-kanak. Ianya rumah asuhan yang percuma. Menjadi lumrah pada diri budak-budak untuk bergurau sesama mereka, bergelak tawa, bergaduh, menangis, berlari-lari, menjerit, meminta-minta dan bermanja dengan ibubapa.
Bagi kita yang berdarah muda ini, ia merupakan beban. Tapi untuk ibubapa, inilah irama rumahtangga mereka. Televisyen dan radio mereka.
Aku sedih bila terkenangkan susahnya ibu mengurus rumah. Kami ramai, dan kami bergantung sepenuhnya kepada ibu ketika itu. Basuh baju, sidai baju, lipat baju, gosok baju, dan jahit baju untuk 5 orang anak. Ada masanya mesin basuh rosak. Aku kasihan melihat ibu membasuh baju dengan tangan. Namun waktu itu aku tidak terfikir langsung betapa susahnya ibu.
Usia aku sekarang mencecah 6 tahun. Tahun ini aku pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah. Tabika Kemas, itulah tempat pendidikan kedua aku selepas rumah. Setiap pagi ibu tolong kemaskan baju dan sapukan bedak. Stokin juga ibu tolong sarungkan. Perginya kami dihantar dan baliknya kami dijemput.
Teringat jam pertama yang ayah belikan untuk aku. Ia berwarna kuning dan aku sangat kagum waktu pertama kali melihatnya. “Dapat jam”. Aku pakainya dengan penuh gembira dan bangga. Baru sekarang aku terdetik untuk menghargai. Rupa-rupanya dalam susah-payah ayah mencari rezeki sempat lagi dia belikan jam untuk kami.
Sesetengah orang apabila ditanya mengenai pengalaman pahit dalam hidup mereka. Mereka menjawab, “terjatuh basikal”. Apakah? Bagi aku, terjatuh dari basikal sepatutnya menjadi pengalaman yang manis kerana ia mengingatkanku saat pertama berbasikal.
Jadi apabila aku teringat kisah basikal, aku akan teringat ibu dan ayah. Sebab kerana mereka, aku hebat berbasikal. Bermula dari basikal beroda empat, dicabut satu tayarnya kemudian dicabut satu lagi sehingga pandai mengayuh.
Umur bertambah lagi. Hari ini aku akan menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Walaupun kelihatan seperti aku dan Bahtiar yang beriya-iya untuk ke sekolah hari ini, sebenarnya ibu dan ayahlah yang paling sibuk menguruskan hal pendaftaran. Mereka yang terlebih risau tentangnya kerana di sinilah bermulanya masa depanku.
"Allahumma Ighfirlana dzunubana wa liwalidaina warhamhuma kama rabbayani saghira"
(BERSAMBUNG...)
0 comments:
Post a Comment