Aku hampir-hampir terlupa tentang pengalaman hari pertama aku berada di sekolah. Apa yang aku masih ingat ketika itu aku ditempatkan di kelas 1 Mawar. Aku terlupa sama ada Bahtiar ketika itu di kelas 1 Cempaka atau 1 Kekwa. Pada awalnya aku rasa kekok dan tidak selesa dengan suasana pembelajaran yang baru. Ini baru hari pertama, logiklah sekiranya aku belum dapat menyesuaikan diri.
Sudah pastilah kondisi di sekolah tidak akan sama dan tabika. Tabika hanya memuatkan kanak-kanak seramai 40 orang. Sekolah lebih besar, ada banyak kelas dan setiap kelas ada lebih kurang 30 orang murid-murid. Setiap seorang akan dapat meja dan kerusi yang tetap. Di sini ada padang, bilik guru, kantin dan perpustakaan. Paling tidak boleh dilupakan sampai bila-bila, di sekolah ada bunyi loceng. Loceng mula, rehat dan loceng balik. Suasana di sekolah jauh berbeza daripada suasana di tabika dulu.
Untuk menghilangkan rasa terasing, ibu dan ayah menunggu kami di luar kelas. Hati aku menjadi lebih tenang apabila mengetahui ibu masih berada dekat denganku. Sesekali aku akan berpaling melihat ibu, masihkah dia ada di situ ataupun sudah balik? Kadang-kadang ibu yang berdiri di tepi kelas, dan kadang-kadang ayah. Hari ini bukan aku seorang saja yang takut, bukan aku seorang saja yang baru di sekolah ini tetapi Bahtiar juga.
Pada hari itu hanya ibu dan ayah saja yang kami kenal.
Kisah yang sama berulang pada hari-hari berikutnya. Setiap pagi ibu akan menghantar aku berjalan kaki ke sekolah. Kemudian ibu akan menunggu sehingga loceng waktu rehat berbunyi. Waktu rehat ibu akan melihat kami makan. Habis waktu rehat, ibu tetap menunggu lagi dan bila waktu sekolah tamat ibu akan bawa kami pulang. Sama juga keadaannya di sekolah agama.
Ayah tidak dapat datang bersama ibu kerana dia sangat sibuk di tempat kerja. Memadailah dia menguruskan hal pendaftaran kami pada hari pertama.
Ibu inginkan yang terbaik untuk kami. Ibu tahu kami takut dan masih belum dapat menyesuaikan diri. Ibu tahu aku sedikit manja. Ibu juga kasihankan Bahtiar. Bahtiar tidak seperti kanak-kanak yang lain. Penglihatannya kurang baik, dia murid yang istimewa di sini. Untuk meninggalkan kami berdua dan mengharapkan aku menjaga Bahtiar amatlah jauh untuk ibu membiarkan.
Zaman persekolah adalah tempoh yang sukar, tak dapat dinafikan. Bukan kesukaran kami, tapi kesusahan buat ibu dan ayah. Aku langsung tidak susah, yang bermain dalam kepala aku hanya gembira. Pergi ke sekolah sememangnya seronok bagi kami. Di sanalah taman permainan tidak rasmi.
Menyiapkan dan memperkemaskan anak-anak ke sekolah tidaklah menjadi masalah yang berat kepada ibu kerana di rumah pun ibulah yang memperkemaskan kami. Sebaliknya ayahlah orang yang paling terkesan sewaktu zaman persekolahan. Kita semua tahu banyak sangat kos yang diperlukan untuk menghantar seorang anak ke sekolah. Duit amat penting untuk membayar yuran sekolah, membeli baju dan seluar sekolah, alat-alat tulis, serta duit untuk perbelanjaan harian kami di sekolah.
Taqdir menentukan aku membesar dalam keluarga yang sederhana. Duit kami tidak banyak, dan tiada lebihan untuk dibazirkan. Kesusahan mengajar kami menghormati orang yang lebih susah. Bila sedikit baru kita nampak nilainya. Aku sendiri melihat dari mana duit itu datang dan ke mana duit itu pergi. Ayah perlu berusaha ntuk mendapatkannya dan membelanjakannya adalah pengorbanan bagi ayah.
Ayah tidak selalunya memenuhi permintaan manja kami. Bukan semua permainan yang kami minta diberinya senang-senang. Bukannya ayah tidak mampu, cuma dia tidak mahu kami membesar dengan kesenangan. Terbiasa dengan kemewahan. Dia mengajar kami bahawa setiap perkara yang kita inginkan tidak semestinya kita perlu ada.
Tahun berganti tahun, Ajmain pula menjejakkan kakinya ke sekolah. Tanggungan ayah makin bertambah. Tahun ini tiada kasut baru untuk aku, tiada stokin baru. Kasut Pallas Jazz kepunyaan Kaklong itulah yang aku gunakan untuk tahun ini. Aku mengikatnya kemas di kaki. Itulah kasut yang aku gunakan untuk ke sekolah. Kasut itu juga yang aku gunakan untuk menyepak bola.
Aku yang ketika itu tidak tahu makna perkataan susah selalu mengamuk mahukan barang-barang baru. Tahun baru kenalah barang baru fikirku. Nasib baik ada ibu. Ibulah yang tolong menterjemahkan erti kesusahan yang terpapar di muka ayah kepadaku dalam bahasa yang lebih indah. Ibu fahamkan aku.
Bagi menampung kos pembelajaran dan sara hidup kami, ibu dan ayah ingin mencari ruang rezeki tambahan. Memandangkan kami semua sudah besar, ibu kini tidak terlalu sibuk untuk menjaga kami seperti dulu. Ada lebihan masa yang dia boleh manfaatkan. Ibu dan ayah bercita-cita untuk membuka sebuah gerai nasi lemak. Harapnya ia dapat membantu memenuhi keperluan kewangan kami.
Rutin harian ibu dan ayah berubah selepas kami mula berniaga nasi lemak. Hanya orang yang pernah menjual nasi lemak tahu bagaimana keadaan ibu dan ayah. Awal-awal pagi lagi mereka sudah sibuk di dapur. Bukan senang, mereka perlu tanak nasi, tumis sambal serta goreng ayam dalam kuantiti yang banyak. Ada juga sesetengah barang yang mereka perlu siapkan bermula dari malam sebelumnya.
Kebiasaannya aku dikejutkan oleh ibu untuk bersiap-siap ke sekolah. Ada juga hari-hari yang aku akan terbangun dengan sendiri. Kalau terbangun awal aku akan melangkah keluar dari bilik dan berjalan perlahan-lahan ke dapur. Masih mamai. Seronok juga dapat tengok ibu dan ayah tengah memasak.
“Tak ngantuk ke Qari? Pergi tidur pergi.”
Ibu mungkin takut aku tidak cukup tidur, sebab itulah dia tanya. Tapi aku tak ingat sebenarnya macam mana dialog kami berlaku. Cuma yang aku tahu, aku bangun pagi dan aku lihat ibu ayah ketika itu tengah masak. Aku ingat lagi ada dapur besar seperti dapur yang selalu orang gunakan waktu kenduri.
Aku nak bagitahu yang aku sebenarnya rasa sangat simpati atas usaha ibu dan ayah. Mungkin aku tak dapat nak tolong mereka masa itu. Kudrat pun belum kuat, otak pun kurang cerdik lagi. Jadi untuk memuaskan hati, aku nak reka jawapan untuk soalan itu sekarang.
“Tak apa Qari suka tengok ibu dan ayah masak. Seronok sangat!”
Bila tengok ibu ayah bangun awal, aku pun selalu terbangun awal jadinya. Bila nak pergi ke kelas, aku akan bawa bekal cekodok. Selain nasi lemak, ibu ayah juga ada menjual sedikit kuih. Ada yang mereka buat sendiri dan ada yang jiran tolong buatkan. Rakan kongsi. Nak katanya cekodok ibulah yang paling sedap di alam semesta.
Aku siap bawa sebagai bekal lagi, kadang-kadang 2 atau 3 cucuk ke kelas. Panas dan ada rangup-rangup sikit. Waktu itu aku ambil sekolah agama pada waktu pagi. Aku selalu keluar rumah awal, kadang-kadang langit belum terang lagi aku sudah bertolak dari rumah. Nasib baik ada Kaklong, bolehlah kami berjalan sama-sama ke kelas.
Jarak sekolah agama dari rumah kami sangat dekat dan di sepanjangnya terdapat rumah-rumah jiran. Sebab itu ibu kurang risau. Aku berbangga bila menjadi orang yang pertama sampai ke kelas. Ataupun mungkin nombor 2 selepas Kaklong. Kamilah yang menggantikan ustazah membuka lampu-lampu di kantin, dan koridor setiap tingkat. Aku lagi suka kalau semua kelas dibukakan lampu.
Itulah rutin kami sewaktu ibu ayah menjual nasi lemak. Pada hujung minggu ibu ayah akan keluar ke pasar untuk membeli stok-stok bahan mentah dan keperluan gerai. Pembalut nasi lemak, plastik, gelang getah, ayam, santan, bawang dan macam-macam lagi. Bilangan gelang getah mungkin mereka lebihkan.
Biasalah hobi budak-budak. Gelang getah boleh digunakan untuk melastik cicak, bermain tembak-tembak, membuat sarang labah-labah dan bermain gusti bekas pensel.
Walaupun ayah sibuk dengan kerjanya di pejabat ayah akan tolong ibu selagi mana dia mampu. Sebelum ke tempat kerja, dialah yang menjaga gerai menemani ibu. Masa itu, budak-budak sibuk hendak ke kelas. Tangan ibu seorang belum tentu cukup untuk melayan semua pelanggan. Ayah juga akan membuat kira-kira perjalanan duit keluar masuk setiap minggu. Aku tak pernah pun tanya ayah tentang keuntungan jualan mereka waktu itu.
Paling aku tidak boleh lupa, bila di sekolah kawan-kawan akan memuji keenakan nasi lemak kami. Siapa yang dapat tempiasnya? Akulah!
Aku tak ingat ibu dan ayah berniaga nasi lemak selama berapa lama? Apa yang aku tahu, berniaga sebegini memang memenatkan dan untungnya mungkin tidak terlalu tinggi. Selang beberapa tempoh selepas itu, kami berhenti berniaga. Hanya meja yang kami gunakan ketika berniaga masih diletakkan di depan rumah. Setiap hari bila aku pulang dari sekolah aku pasti akan terkenangkan saat ibu dan ayah berniaga.
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibubapa..." (17:23)
(Bersambung...)
2 comments:
moga terus suksed di dunia dan akhirat akhi..
meshi, shukran ala ziarah
Post a Comment