Bilamana dia mendapati keputusan peperiksaannya tidak mampu melayakkannya medapatkan biasiswa, mata yang berkaca jernih mula bertukar merah. Hatinya remuk bagai dihimpap awan berat yang gelap. Terbayang jutaan beban. Saraf di kepala tidak lain hanya bertambah seliratnya, bingung dan keliru. Saat itu, kata-kata hanya berlegar di luar gegendang telinga. Ia tidak mampu mengaktifkan impulse ke otak untuk mentafsir sebarang stimulus luar.
Nasihat dirasakan tidak berguna. Teman bagaikan sudah hilang kuasa magisnya. Ibu dan bapa pula berusaha sepenuh tenaga menggoncang tubuh anak itu sekuat-kuatnya. Membangkitkan “rohnya” dari lena yang tidak menyenangkan. Tiada daya tanpa dari tuhan yang memberi kuasa. Hampa, itulah keputusan akhirnya. Berhempas pulas tidak kenal lelahnya, namun jawapannya masih sama. Anak itu tenggelam dalam pemikirannya.
Dia menghampirkan diri ke ruang jendela. Melonjak untuk melihat dunia buat terakhir kalinya. Itulah kemuncak imannya dan itulah kemuncak sadisnya. Jarang sekali otak berfikir untuk kali kedua. Mungkinkah dihidupkan ke dunia semula? Tidak, bagi mereka yang mengetahui amaran dari tuhannya. Kaki segera menongkah keluar, berpijak hanya di angin rata. Akhirnya, kebuntuan menutupi jalan penyelesaian. Jatuhlah dirinya, gugur bersama imannya.
Tidak,
Belum sempat untuk itu. Nyawanya tidak bernoktah pada pertengahan. Syukur, ada juga insan yang menghalangnya dari jatuh bersama dosa. Kekesalannya yang nyata, bakal mengundang murka tuhannya. Bunuh diri bukan penyelesaian yang berguna, tetapi pemberat mizan percuma untuk pencari dosa. Mujur, ada yang sedar akibatnya bunuh diri dalam agama.
Mereka yang saling berpandangan, berpelukan dan akhirnya mencapai kehangatan percintaan. Jelas bukan dalam ikatan pernikahan, bahkan jauh pula timbal balik antara nikmat dan amalannya pada tuhan. Bukan tidak tahu, tetapi tidak mahu endahkan. Cinta yang ditinggikan dari cinta kepada tuhan, hanya cinta yang melalaikan dan pasti tidak akan kesampaian. Dan mereka ini tidak lain hanya menempah satu lohong dari lubang-lubang neraka.
Bukankah ia juga bunuh diri yang nyata? Dan kenapa tiada siapa yang menghalangnya?
“Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangannya, maka sekiranya dia tidak mampu maka cegahlah ia dengan lisannya, dan sekiranya kamu tidak mampu maka cegahlah ia dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.”
Hadith riwayat Imam Muslim
0 comments:
Post a Comment