Angin baru je reda. Maklumlah baru lepas solat asar di Gami3 Ibrahim. Tadi memang panas. Kalau bab bayar tambang teksi, Badrul auto lari awal-awal. Malas nak cakap banyak-banyak. Tapi kali ni naik sorang-sorang. Aduh, memang dia jungkit-jungkit bahu, buka mulut luas sikit, sambil kelip-kelip mata. Geleng-geleng kepala dan final “ana ma fahimtush” (aku tak faham). Tiga genih pun settle. Malas nak gaduh punya pasal. Teksi itu berlalu dan hilang lima meter kemudian. Hanya tayarnya yang ditinggalkan. Hairan.
Hari ini hari Rabu. Hari MTD sedunia. Dia meraikannya dengan sarungan stokin baru. Akibat terlalu sayang dan tidak mahu berpisah, stokin dibawa bersamanya dalam poket seluar. Entah kenapa, kasut seolah-olah dianak tirikan. Ketika solat kasut ditinggalkan betul-betul di belakangnya memandangkan ada tiang besar di situ. Bagi memastikan kasut selamat kadang-kadang ada yang terlalai dalam solat. Ruku3 dan sujud. Mata dan kasut.
Tidak indah solat sekiranya tidak disertai zikir dan doa. Alhamdulillah, pujian bagi Allah disertakan pada awal doa memandangkan kasut masih ada. Habis je urusan menghadap tuhan, terus dia sarungkan stokin. Ada lagi bau kedai yang tertinggal walaupun dah separa hari guna. Paling je ke belakang, jemaah semua dah hilang. Inilah ironinya bumi Mesir.
Seluruh ruang masjid lengang tidak berpenghuni. Rasa seram mula meresap ke dada. Dia penuh hairan memerhati seluruh penjuru masjid. Apa yang dilihatnya jauh berbeza dari masa dia tiba. Karpet yang melintangi lantai lusuh dan berlubang merata-rata. Mashaf yang berbaki semua sudah tertanggal kulitnya, penuh debu bagai lama sudah tidak dibaca. Bajunya dimasukkan ke dalam, sambil lipatan seluar dijatuhkan. Sekali lagi dia berpaling ke belakang, dengan kasut-kasut dia pun hilang!
Ya Rabb. Masa tu, kalau dia tak waras memang awal-awal lagi dia koyakkan stokin. Macam tiada function. Apalah gunanya stokin yang selesa, kalau kasut nak disarung pun tiada. Kasut di sini bukan seperti di sana. Kalau tidak di rak, tak hairan solat bertemankan selipar. Paling jarang jumpa di Malaysia, tapi selalu praktik di sini solat sambil kasut di hujung kepala. Bagi pelajar Malaysia, rumah kasut yang paling selamat dan selesa hanya dalam beg, atau “syanthah” dalam bahasa arabnya.
Tapi hari ini dia terlupa. Nak buat macam mana? Dia bukannya perancang yang paling berkuasa.
Badrul bukanlah orang yang gagah. Hari ini dia tewas. Mulanya dia masih berharap ada insan yang tersalah sarung, atau mungkin meminjamnya untuk melepaskan hajat. “Tak mengapalah, nanti kasutku akan tiba.” Berbisik untuk diri sendiri lebih baik dari maki-memaki. Cukup lima minit, masih belum tercium lagi bau kasut inikan nak terlihat kelibatnya. Mata mula jemu, asyik merenung kawasan peninggalan kasut yang tidak berpenghuni kembali.
Waras masih lagi bersamanya. Boleh saja dia sarungkan selipar dan berlalu pergi. Lagipun itu selipar wakaf, tidak bertuan. Mujur bayangan dosa menghalangnya. Terbayang dalam kepalanya, takut-takut setiap langkahnya diheret dosa bersama. Syaitan tidak berjaya kali ini. Cukuplah tebal stokin menjadi alas kaki. Marahnya belum reda. Sejak dari bangku sekolah, dia cukup pantang kalau kasutnya hilang. Mana tidaknya, semua kerja akan terbatas.
Dia tanpa berfikir panjang terus berlari mendapatkan teksi. Teksi yang menuju ke rumahnya terletak di jalan bersebelahan. Apakan daya, matanya yang sering gagah menangkap tubuh litup wanita, dysfunction ketika itu. Sebuah keretapi yang besar pun terasa kecil, malah dia sendiri pun tidak tahu yang keretapi itu bergerak lebih laju dari langkah kakinya. Walaupun dia cuba mengelak, tapi dia merasakan keretapi itu mahu mendekatinya dan menariknya. Semuanya sudah terlambat untuk itu. Detik yang berbaki hanya membolehkannya bertashahhud. Malang, dia benar-benar dirempuh. Dunianya berubah menjadi gelap, dan alam makin hilang bunyi-bunyinya satu persatu.
Sedar-sedar dia sudah terbaring di katil. Sahutan kawan yang menggerakkan. “Hidupkah aku? Matikah aku?” Dia sendiri pun ragu-ragu. Yang benar-benar pasti, ini rumahnya. Juga katilnya. Otak cuba memainkan kembali peristiwa terakhir yang menimpa. “Oh tidak! Rupa-rupanya aku..”. Terus dia menyelak selimut yang menutupi kakinya, apakah ia masih ada? Alhamdulillah.
“Itulah tidur lepas asar lagi.”
0 comments:
Post a Comment