Sunday, 24 October 2010

Khas Untuk Nur Atiqah Bte Zainal


Pagi itu betul-betul nyaman. Ayam yang selalunya jaguh bersuara masih belum mencuci mata. Kabus pula belum sempat melarikan diri. Hanya Subuh sahaja yang benar-benar menepati masa. Betul-betul seperti yang dirancang, mereka bertolak meninggalkan Kuala Lumpur. Kota yang sesak hampir setiap masa, mula merindui tenang desa.

“Makan angin”. Tema yang cukup luas untuk bergembira. Tetapi sering disempitkan dengan hanya dua nama. Kuala Kangsar atau Permatang Pauh. Lebih sempit, rumah nenek atau rumah tokwan. Itu saja pilihannnya. Hala tuju masih belum ditentukan. Ibu sedar. Walau sejauh mana pun perancangan, kuputusan itu hanya di tangan ayah. Pasrah.

Tidak sampai 20 minit bertolak, habis gelap isi dunia. Walaupun subuh baru kunjung tiba, mentari juga masih belum menggarang, namun apakan daya. Ibu yang dari paginya berjaga mengemas susun atur benda, terlena walau hanya berbuaikan jalan berturap tidak rata. Mudahnya lena, mungkin keletihan agaknya. Tapi itulah ibu, rajinnya tidak terhingga.

Ayah leka memandu. Tapi matanya memang tumpu, ialah veteran askar katakan. Habis segala yang sukar diperhatikan kita ditenangnya biasa. Matanya asyik memerhati. Leka dengan dusun kiri dan kanan. Durian di sana, rambutan di sini, lagi-lagi yang sudah siap di jual di tepi-tepi. Fikirnya boleh di buat bekal untuk kerabat yang sedang tunggu menanti.

Pejam celik, pejam celik. Tiba juga akhirnya. Ibu yang baru saja sedar dari lenanya terkejut. Udara yang dihirupnya bukan lagi berbau Permatang Pauh, malah tidak sedikit pun menyerupai Kuala Kangsar. Mereka di Gerik rupanya, rumah kakak sulung ibu. Adil bukan ayah? Itulah, kan sudah diberitahu, keputusan di tangan ayah.

Along menyambut baik kedatangan mereka. Hendak ditegaskan, Along merupakan seorang kakak yang sangat baik. Dari cara layanannya memang ketara wujudnya rasa sayang yang dicurahkan untuk adik-adiknya. Begitu juga adik beradik ibu yang lain. Kalau bab makan, memang semua yang lazat-lazat dihidangkan. Entahlah, kadang-kadang lauk biasa sahaja. Tapi mungkin berkat yang menjadikannya lebih lazat.

Beberapa hari berlalu. Ayah harus pulang. Ada urusan di pejabat katanya. Esok 18 Oktober adalah hari pertama mesyuarat ketua-ketua negara Komanwel atau dalam bahasa lainnya, Commonwealth Head Of Government Meeting  1989 (CHOGM). Mesyuarat yang kali ini bertuan rumahkan Malaysia akan berlangsung di Putra World Trade Centre (PWTC). Selaku orang yang masih berada di bawah tadbir, arahan terpaksa dipatuhi.

Persidangan berlangsung seperti biasa. Pemimpin-pemimpin dari seluruh negara Komanwel hadir. Masuk dewan dan keluar, berdiri duduk dan bersalaman, akhir sekali baru tandatangan. Ayah rajin bekerja. Dari pagi hingga ke malam. Hari demi hari, minggu ke minggu. Hari-hari bekerja tak kenal jemu. Kalau nak cerita hobi dulu-dulu, memang penuh tiket komuter dalam laci. Sebab nak elak sesak naik kereta, lagi senang naik komuter.

Ayah dan kerja memang tidak boleh lekang. Maksudnya, perkataan ayah itu, sinonim dengan perkataan kerja. Bukannya ayah terlalu mementingkan kerja. Tetapi kerja itu sangat penting. Pintu rezeki. Biarlah apa jenis kerja yang kita usaha, yang penting perlu ada rajin dan tabah. InsyaAllah, senang datang selepas susah. Susah? Allah tak beri kesusahan melainkan yang termampu.

Petang itu, suasana bagai tidak kena dengan rasa. Ayah tidak senang bekerja. Resah dari tadi menghurung ayah. Asar tadi, dia menerima panggilan dari Gerik. Tapi terputus pada awal percakapan. Mulalah gelisah mencucuk-cucuk, bagai cacing kepanasan. Akhirnya terhenti segala penantian, telefon berbunyi sekali lagi. Dan tidak terputus untuk kali kedua.

“La dah selamat bersalin!”

Ayat yang tidak sedar pucuk pangkal dan akhirnya. Hanya ucapan tengahnya yang di highlight kan. Berkali-kali ia berpusing di fikiran ayah. Membuatkan ayah hampir tidak sedar kewujudan insan yang sedang berbicara bersamanya di talian telefon. Ternyata, ayah sudah terbang bersama khayalannya.

Bagaimana rasanya seorang ayah muda, yang separuh harinya sudah dipenuhi letih penat bersangatan, tiba-tiba jadi bersemangat dipenuhi tenaga. Magik? Tidak. Itulah penawar rumah tangga. Selaku orang muda, kita tidak mampu berbicara lebih tentang itu. Tidak wujud lagi rasa energetic yang luar biasa. Tunggulah bila tiba giliran kita.

Ayah meminta kebenaran untuk pulang ke kampung. Bos yang tidak lain hanya tahu mengarah, akhirnya mengalah. Arahan dikeluarkan, ayah diberi izin pulang. Belajar dari bos, dalam tegas perlu ada kasihan. Tegas perlu untuk mendidik, kasihan perlu untuk ikatan. Ayah meluru pulang dan bersiap untuk ke Gerik.

Kali ini kereta yang dipandunya sunyi. Tiada ibu di sisi, tiada tangisan kak long menemani. Tapi, sedikit terisi dengan khabar yang diperolehnya tadi. Toyota Corolla BAS 8844 berwarna biru rasanya. Itulah kereta pertama yang ayah miliki. Kereta itu jugalah yang membantu ayah sampai ke Gerik. Sepanjang perjalanan, perasaan tenteram bagaikan sudah dicabut seketika dari dada ayah. Dicampakkan pula rasa gembira yang hanya ayah sendiri yang boleh menilainya.

Alhamdulillah, selamat sampai. Risau dan rindu akhirnya terubat juga. Selama ketiadaan ayah, Alonglah yang menjaga dan menemani ibu setiap waktu. Hinggakan Along juga yang menanam uri, tali pusat dan seantara dengannya. Itu mungkin kisah dulu, yang kita tidak pernah tahu. Atau mungkin lupa.

Tapi jika kita sudah lupa jasa orang terhadap kita, tidak perlu tunggu masa untuk ingat kembali satu persatu jasa untuk satu bakti.

Kalau diikutkan perancangan, ibu akan bersalin di Kuala Kangsar. Di sana terletaknya rumah yang tidak asing lagi. Rumah nenek yang kita kunjungi hari ini. Tapi nak digambarkan kuasa tuhan, perancanganNya lebih dari penilaian kita. Taqdir yang tertulis untuk Nur Atiqah bte Zainal, lebih menginginkan dia lahir di Gerik. Selamat hari lahir yang pertama!

Sungguh teranglah kuasa Allah bagi mereka yang mengambil pengajaran.

Nyah seorang yang pembersih dan kemas. Dari siapa dia warisi sifat itu pun tidak diketahui. Ayah? Ibu? Mungkin ada cross linking antara chromosome mereka berdua. Kalau sudah mandi, baju mesti bertukar. Pagi lain, petang lain dan malam pun tukar lagi. Habis warna-warni rumah jadinya. Ceria. Bersih sangat, baguslah untuk diamalkan dari kecil. Sampai sekarang ke? Wallahu a3lam.

Zaman sekarang, apa jenis pakaian pun nak singkat. Trend? Sampai stokin pun nak disingkatkan? Kurang ajar si pembuat baju. Dulu kalau nak pergi sekolah, nak pakai stokin pun ada rule sendiri. Citarasa Nyah sendiri. “Banyak songeh”. Stokin yang belang-belang melintang, warna jalur-jalur memang terkeluar dari list favourite. Nak yang garis-garis lurus je, selari sampai ke hujung. Baru kemas. Itu dalam bab stokin.

Kalau nak cerita yang lagi ketara, dengar betul-betul. Ini memang satu Malaysia punya masalah. Memang lumrah wanita akan spend masa yang lama dalam bab ini. Yang tua, atau yang muda, tak pun yang masih kebudak-budakan. Semua suka duduk depan cermin lama-lama. Dua tiga kali keluar masuk bilik tidur ke bilik air. Cari cermin punya hal. Cermin sana penuh, cermin sini gelap. Sebab apa?

Sebab nak betulkan tudung. Yang lelaki jangan hairan, lelaki selalunya memang akan marah. Tapi apakan daya, dia isteri kita, anak-anak kita, ibu kita. Kita kena ingat, tudung ni mahkota depa. Kena bagi perhias lawa-lawa. Baru suami boleh senyum lama-lama dalam kereta. Kalau lelaki marah pun, tak lama mana pun. Kejap lagi senyum tiba-tiba.

Nak cerita sebenarnya, Nyah memang nak kemas betul-betul tudung dia. Masa sekolah rendah dulu dapat jadi pengawas. Tudung kena bawa masuk dalam baju, entah fesyen arab mana entah. Ibu, memang ibu. Jururawat pun dia, chef pun dia, driver sementara pun dia, pendandan pun ibu. Ibulah yang nak kasi lawa anak-anak dia. Pakai cantik-cantik, bubuh bedak lawa-lawa. Bab tudung Nyah, kena lebih sikit. Orang cakap dah lawa dah kemas, dia cakap tak. Haish!

Suatu petang, Nyah baru pulang dari sekolah. Dia amat penat dan tidak bermaya, langkahnya perlahan sekali. Kiri dan ke kanan. Sampai sahaja rumah, dia terus meluru masuk tanpa ucap sepatah kata. Ibu yang dari pagi sibuk mengemas rumah turut merasa hairan dengan sifat Nyah. Apalagi, mulalah sesi tarbiyah.

“Amboi dia, kenapa masuk tak bagi salam? Hantar sekolah keling baru tahu.”

“Tak nak. Suara Nyah tak sedap. Tak nak bagi salam.”

Haha. Rilek lah Nyah. Takut sangat suara tak sedap. Suara Nyah kan sedap. Bukan orang, tapi nenek sendiri yang cakap.

“Inikan Dayang Senandung nenek. Intan terpilih. Sedap je dia baca Al-Quran.”

Haa...kan! Nenek sendiri dah bagi penghargaan. Jangan marah. Ini cerita dulu-dulu kala. Sebenarnya banyak lagi. Hidup bertahun-tahun, nak cerita dalam satu post. Memang kerja luar tabiat. Nak diringkaskan cerita yang lebih-lebih, bacalah sendiri kat bawah (orang dah malas nak tulis, hahaha).
1)     
Tauke ke kedai Cik Chah
 Ketua rondaan keliling rumah jiran, ceruk-ceruk dan longkang
Partner Kak Long, ganti ibu enjut buai budak-budak kembar
Dalam membeli, orang lain selalu ada baki. Ini tak, minta tambah lagi
Muhawarah, ana enti

Cukuplah.

Ini kisah kakak saya yang kedua. Nur Atiqah bte Zainal. Bangga rasanya ada dua orang kakak. Sebab housemate yang lain semua nak bangga jadi anak sulung. Bukan senang nak jadi adik yang baik, inikan pula kakak-kakak yang mithali. Ampun Nyah, andai ada mengguris hati. Kisah ini bukanlah kisah yang benar-benar berlaku. Ini kisah edit dari yang sebenar. Sorry lambat pos, sibuk sana sini.

Selamat hari lahir yang ke 21. Semoga murah rezeki, berjaya dunia dan akhirat, fi madhatillah.

2 comments:

kori..terima kasih.^_^
org baru balik umah hari ni pun, x lmbat lagi.
bersyukur sbb ada adik laki 3 org yang unik stiap satunya, pojun yg memg comel dan kaklong yg memahami..semua best la.
 
moga kekal bahagia selamanya..amin,
 

Post a Comment