Tuesday 28 September 2010




Ayat pertama dalam Al-Quran meletakkan “Allah” sebagai permulaan, walhal terdapat kata ganti nama seperti “Rabb” ataupun “Ilah” yang bermaksud tuhan. Kenapa?

Membaca Al-Quran adalah interaksi dua hala. Menjiwai Al-Quran adalah dengan membaca, memahami, berkomunikasi dengannya. Dan komunikasi itu bermula dari ayat pertamanya. Di sini, peggunaan nama “Allah” pada awal surah adalah untuk menimbulkan pertanyaan dalam diri kita, sejak dari mula kita membaca Al-Quran, siapakah Allah, dan kenapa Allah?

Amatlah penting bagi seluruh umat manusia memahami, siapakah yang dimaksudkan dengan Allah? Permulaan bagi segala perkara. Segala perkara yang merangkumi segala-galanya. Gagal kita memahami Allah, bermakna kita telah gagal dalam semua perkara. Amalan kita, gaya hidup kita, pemahaman kita, dan paling penting adalah pegangan aqidah kita.

Kalaulah anak-anak kecil bertanya kita mengenai Allah.

“Ayah, ayah. Allah tu apa yah?”

“Erm, Allah tu Allah lah nak. Tuhan. Cikgu tak ajar lagi ke?”

Habis! Gagallah kita menjadi seorang ayah, kalau akidah kita pun tak tentu arah. Ingat! Membawa diri ke lembah pernikahan bukanlah semudah mendayung perahu di air tenang. Sebaiknya, kemudilah sebuah kapal yang besar. Seteruk mana pun badai menghurung, kapal yang engkau teguhkannya dengan syariat, InsyaAllah tetap gagah. Usah takutkan karam.

“Ibu, ibu. Adik nak tanya. Kenapa ibu selalu sebut Allahu Akbar?”

“Allahu Akbar tu, maksudnya Allah maha Besar. Kalau ibu sakit, ibu sebut Allahu Akbar, sebab Allah itu, lebih besar dari segala rasa kesakitan. Kalau ibu sedih, ibu sebut Allahu Akbar. Sebab Allah itu lebih besar dari pelbagai kesedihan. Kalau ibu takut, ibu sebut Allahu Akbar. Sebab Allah itu lebih besar dari rasa ketakutan. Kalau kita percaya benar-benar kepada Allah, sakit pun Allah hilangkan, Allah bagi pula gembira, Allah lindung kita setiap masa.”

Apabila kita tidak tahu, dan sering tertanya-tanya mengenai Allah, maka bersykurlah. Naluri ingin mengetahui, sedang keinginan pula tak sabar mencari. Berbaliklah kita kepada Al-Quran. Bukankah Al Quran itu amanah daripada Rasulullah? Lupakah kita pada dua perkara yang Rasulullah tinggalkan? Dan ketahuilah bahawa orang yang paling baik adalah mereka yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.

Mengaku islam bukan? Mengapa jauh dari Al Quran?

Pada mulanya Allah menimbulkan tanda tanya dan membiarkan kita berfikir “siapa Allah dan kenapa Allah”. Tak perlu kita mencari jauh-jauh kerana di situ juga sudah diberitahu. Allah sendiri yang telah menyimpulkan jawapannya hanya dalam dua perkataan. Dan ia adalah Ar Rahman dan Ar Rahim. Allah itu adalah satu-satunya Rabb yang Maha pemurah dan Maha mengasihani.

Bertuahkah kita? Beruntungkah kita? Bahagiakah kita?

Benar. Kerana dengan kasihNya kita masih bernyawa.

(Tazkirah Ramadhan Surau At Taufiqiah, Taman Medan Cahaya)

Hiruplah udara sedalam-dalamnya. Ambil sementara masih berupaya. Rasakan bagaimana ia masuk perlahan-lahan melalui hidungmu. Dan turun masuk ke dalam paru-paru. Hingga penuh ruang paru-paru, baru dihembuskan, perlahan. Udara masuk dan keluar dengan alur yang sama. Berulangkali kita kerjakan, dan terasa aneh bagi mereka yang menghitung bilangannya.

Sedar atau tidak, kita ini lemah dan tak berdaya, kerana bukan kita yang mengawal pertukaran udara. Tanpa kita berharap walau sesaat pun, Allahlah yang memerintahkan udara yang masuk adalah oxygen. Dan Dialah yang memenuhkan kembali udara yang keluar adalah Carbon Dioxide. Walau terkadang kita terlupa, tapi tak pernah Allah lupakan kita.

Kembalilah kepada Allah. Jom.


*****

Al-Quran itu sudah terang suatu mukjizat, dan kita sering mendengar orang berkata tentangnya. Namun hakikatnya, sejauh manakah kita menyedari bahawa Al-Quran itu benar-benar mukjizat rasul kita, Muhammad S.A.W. Pernah tengok video ni tak?

Video ni aku sedari kewujudannya sejak berbulan-bulan yang lalu. Hebat tak? Al-Quran ini hebat pada ayat-ayatnya, bukan sekadar pada pembacaan yang semata-mata. Punyalah mukjizat Al-Quran ini, sampai boleh membuka hati seseorang yang memahaminya. Tidak pula dikhaskan mukjizatnya bagi muslim sahaja. Itu kisah zaman sekarang, zaman jahiliyah moden.

Zaman Rasulullah dulu pun sudah ada. Amirul Mukminin, Saidina Umar Al Khattab. Seorang yang terkenal dengan kegagahnnya. Kalau kat dalam kampung, memang Umarlah yang paling digeruni. Tatkala mendengar bacaan Al-Quran adiknya Fatimah, cair hati Umar dan terus Umar berjumpa Rasulullah dan memeluk islam.

Semoga Allah menjadikan hati kita selembut Umar. Malah mencontohi kegagahannya.

“Katakanlah (Muhammad), ‘Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?’ Maka mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka katakanlah ‘Mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya)?’”

Surah Yunus : 10, 31

“Dan (Al Quran) ini adalah penjelasan (yang sempurna) bagi manusia, agar mereka diberi peringatan dengannya, agar mereka mengetahui bahawa Dia adalah tuhan yang maha Esa dan agar orang yang berakal mengambil pelajaran.”

Surah Ibrahim : 14, 52


0 comments:

Post a Comment