Langit tampak sedih. Awan menggugurkan titis-titis rahmatnya, sambil diiringi kilat sabung menyabung. Tatkala itu aktiviti-aktiviti Kem Motivasi Permatang Pauh tetap berjalan seperti biasa.
Program Pecutan Akhir PMR 2010 merupakan inisiatif terakhir yang disediakan pihak sekolah bagi pelajar-pelajar tingkatan tiga yang bakal menduduki peperiksaan PMR. Pada tahun ini ia bertempat di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Sesudah tamat seisi Latihan Dalam Kumpulan (LDK), para pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang diarahkan supaya berkumpul di dalam Dewan Tun Mahathir bagi mendengar sedikit penerangan mengenai tatacara Penulisan Karya Insani.
Penerangan disampaikan oleh Encik Haji Amir Rasyid Nawawi, atau lebih mesra di kalangan pelajar-pelajar sebagai Pak Rasyid.
“Anak-anak semua hendaklah menulis sebuah karangan pendek yang berkaitan pengorbanan-pengorbanan dan jasa-jasa seorang ibu. Setiap orang wajib menulis, sekurang-kurangnya 1 karangan. Tiada sebarang salinan yang dibenarkan. Tulisan hendaklah ikhlas, dan tulus dari hati anak-anak sendiri. Faham semua sekali..?
“Faham”
Penerangan yang ringkas dan terperinci itu, nyata difahami semua pelajar. Tiada sebarang pertanyaan yang diajukan. Meraka kelihatan penat, barangkali keletihan setelah mendengar ceramah 4 jam berturut-turut di sebelah pagi.
Mereka dibenarkan bersurai, setelah selesai mendengar taklimat berkaitan aturcara aktiviti-aktiviti pada esok hari. Ada yang terus pulang ke bilik dan ada pula yang menunaikan kewajipan solat fardhu ‘isyak.
Jam tepat menunjukkan pukul 11.30 malam. Siang yang riuh pada awalnya, tunduk dengan kedatangan malam. Tenang dan sunyi. Tiada suara jurulatih yang kedengaran. Hanya Si burung hantu yang masih bersuara.
Mohd Badrul bin Zubir, ataupun lebih selesa dengan panggilan “Bad”, masih belum melelapkan mata. Berkerut dahinya umpama menahan sesuatu masalah yang tidak dapat ditanggung. Wajah bulan dapat dilihat terus dari katilnya, bagaikan sedang memanipulasi pemikiran Badrul.
“Ibu, Bad nak ibu tahu, Bad sayang ibu. Bad rindu sangat ibu. Bad nak pegang tangan ibu, nak peluk ibu, nak cium dahi ibu. Bad tak nak lepaskan ibu lagi”
Badrul bermonolog sendirian. Sesekali airmatanya mengalir, lantaran merindui ibunya. Namun dia tidak pernah menampakkan kesedihannya di hadapan rakan-rakan.
Perlahan Badrul turun dari katilnya. Seliparnya disarung kemas dan segera dia melangkah ke tandas. Selesai berhadas, dia menyempurnakan wuduk. Sudah menjadi tabiat baginya mengekalkan wuduk walaupun di luar waktu solat.
Langkahnya ke bilik dihabiskan dengan merenung ke langit. Wajah bulan suram, bagaikan turut merasai kesunyian yang menimpa badrul.
“Ya Allah ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku dan peliharalah mereka berdua sepertimana mereka memeliharaku sejak kecil..amiin”
Selesai mengerjakan solat sunat dua rakaat, Badrul menggagahkan dirinya. Dia perlu menyiapkan karangan yang diminta Pak Rasyid. Segera dia mencapai sebatang pen dan sehelai kertas.
Berbumbungkan langit suram, berselimutkan dingin malam, dan bercahayakan kalimantang kelam, Badrul menarik nafas dalam. Sedihnya dipaksa berhenti seketika. Dia harus memberanikan diri merangka perjalanan hidupnya buat insan yang bergelar “ibu”.
Jam 4.00 petang. Suasana dewan TunMahathir kecoh. Berduyun-duyun manusia berlegar di luar dewan. Padang kawad yang dijadikan lot meletak kenderaan juga penuh. Sesetengah pelajar mengambil kesempatan ini untuk berbual bersama keluarga. Barangkali sudah terlalu rindu.
Upacara penutupan bakal berlangsung beberapa minit lagi. Badrul sudah lama menunggu di dalam dewan. Baginya, tiada apa yang istimewa. Dia sekadar menanti detik tamatnya program ini. Tidak terlintas pun di hati bahawa keluarganya akan hadir.
Jam 4.30 petang majlis bermula sebaik sahaja pengarah program tiba. Ucapan demi ucapan diberikan oleh jawatankuasa yang terlibat, sambil diselang selikan beberapa rangkap pantun oleh pengerusi majlis.
Program Pecutan Akhir PMR 2010 hampir menutup tirainya. Sajak “Kuasa Minda” hasil penulisan Pak Rasyid megah dideklamasikan oleh Hamizan, ketua Badan Dakwah Kepimpinan mereka. Seterusnya acara dewan diteruskan lagi dengan majlis penyampaian hadiah.
“Mengakhiri majlis kita pada hari ini, saya menjemput pemenang pertandingan Penulisan Karya Insani tampil ke hadapan untuk memperdengarkan karangannya. Untuk pengetahuan hadirin, dia adalah sorang pelajar yang cemerlang bukan saja dalam pelajaran malah begitu juga dari sudut sahsiah. Dengan ini saya menjemput Mohd Badrul bin Zubir. Pelajar tingkatan 3 Al-farazdaq.
“Gila lah, Bad menang woi. Aku dah agak dah ni”
“Bad, aku dah cakap kau memang ada bakat jadi penulis terkenal”
“Cepatlah, dia dah tunggu lama tu. Bad..!”
Badrul tersentak, hairan dengan kelakuan rakan-rakannya. Diam seribu bahasa. Lamunannya sebentar tadi hilang tiba-tiba. Dia hanya tercengang dan terpaku. Tiada sebarang emosi diluahkan, malah dia kembali merenung ke luar jendela.
“Bad, kau menang Penulisan Karya Insani lah, pergilah ambil hadiah”. Ternyata Badrul tidak mengikuti perjalanan dewan. Syazwan menjelaskan kepada Badrul, memandangkan dia yang paling dekat dengannya pada masa itu. Sebaik sahaja diberitahu, Badrul bingkas bangun, dikemaskan bajunya terlebih dahulu, kemudian membuka langkah ke hadapan.
Mukanya pucat, tidak dapat ditafsir emosi di wajahnya. Sekali pandang bagai orang yang gentar, ada juga seperti orang yang kehairanan, paling ketara di wajahnya terpampang sedih yang cuba disembunyikan. Sederhana langkahnya, tunduk, dan diam. Mikrofon digenggamnya kemas. Matanya merayau serata sudut dewan.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak, sama ada ahli jawatankuasa, para pelajar, mahupun ibu bapa sekalian. Insya Allah, berdirinya saya di sini hanyalah untuk memperdengarkan hasil tulisan saya dengan sebaiknya.”
Dia memang sudah lali tampil ke hadapan. Baginya, tiada apa yang patut dimalukan. Senyumannya manis walaupun kelihatan palsu. Dilipatnya helaian karangan, lalu disarungkan di dalam poket kemejanya. Tanpa berlengah, dia segera memulakan kisahnya.
“Ibuku yang amatku sayang, namanya Nor Laila Bte Abd Rahim. Lahirnya di Permatang Pauh pada tanggal 4 September 1965. Ya, tidak ragu lagi memang di sinilah tempat mainnya, tempat jatuhnya, sejarahnya, berlari ke sana ke mari. Hanyut ditenggelam masa, kini usia ibu hampir 45 tahun. Uban sudah mula tumbuh di ubun kepala ibu. Sedar ataupun tidak maut itu mendekatimu.
Wahai ibu, gagahnya engkau melahirkan. Sabarnya engkau melayan. Lembutnya lisanmu mengatur ucapan. Membuatkanku tenang dalam pelukan. Kini aku rindu saat kemanisan. Saat tawamu menceriakan, saat senyumanmu mendamaikan. Saat engkau erat menggenggam tangan, saatku ketakutan kau tenteramkan.
Ibu, kulihat dirimu tidak pernah lekang dari menguruskan perihal rumah. Selesai satu kerja, kerja lain pula kau uruskan. Dari pagi hingga ke petang. Dari petang hingga ke malam. Dari membasuh dan mencuci, hingga memasak tak pernah henti. Tak pernah ku dengar istilah “penat”, “tak larat”, ataupun rayuan “ibu nak rehat”.
Sungguh, pandai pula kau bermuslihat disebalik senyumanmu yang memikat. Walau kau cuba rahsiakan, tapi diri ini tahu bahawa kau juga manusia biasa. Kau juga bisa jemu dan wujudnya istilah penat. Kenapa kau begitu baik terhadapku? Kenapa kau perlu berkorban? Kenapa kau buat semua itu?
Ibu, tiada insan yang ku sayang lebih daripadamu. Tiada cinta murni yang ku damba selain cintamu. Tiada kasih yang mendamaikan selain kasihmu. Tiada pengorbanan yang berharga setanding pengorbananmu. Tiada seorang pun wanita yang selembut pekertimu. Tiada seorang lelaki pun yang segagah ketabahanmu.
Ibu, aku ingin kau dengar kata-kata ku ini. Aku ingin kau tahu yang aku amat menyayangimu. Aku ingin kau tahu betapa aku sangat menghargai jasa dan pengorbananmu. Tidak ternilai harga setitik peluh, setiap detik yang kau luangkan bersamaku. Sungguh, aku tidak pernah mengukir kata-kata cintaku kepadamu, kerana malu yang bukan pada tempatnya. Betapa bersalahnya diriku ini.
Ibu, aku berharap untuk berjumpamu lagi. Biarlah takdir yang menentukan segalanya. Kerna Dialah yang mengatur segala benda. Dialah yang memisahkan kita, dan Dialah juga yang akan mempertemukan kita. Aku terima perpisahan kita dengan sebaiknya, kerana engkau yang mengajar aku untuk sentiasa percaya dan redha dengan kehendakNya.
Ibu. Terima kasih untuk segalanya. Pertamanya untuk kesakitan semasa melahirkanku, juga untuk ketabahan dalam membesarkanku. Untuk kemaafanmu selama ini andai ada terguris hati, untuk hiba tangisanmu tatkala melihatku meraung kesakitan. Untuk air mata yang sanggup kau bazirkan kerana keharuan atas kejayaanku, untuk segala nafas yang kau berikan dalam meniup semangatku.
Ibu. Andai engkau bisa mendengar bicaraku hari ini. Alangkah tenangnya hatiku. Alangkah bahagianya diriku. Sekurang-kurangnyanya hatiku ceria. Puas. Dapat juga aku lepaskan takungan kerinduan selama ini.
Ibu. Alang dah besar sekarang. Alang akan menduduki peperiksaan bulan depan. Alang tak pernah rasa sunyi, tak pernah rasa muram, tak pernah kecewa denganNya. Sebab Alang tahu, ibu sentiasa dekat dengan Alang. Membisikkan Alang kata-kata semangat. Alang ingat lagi, ibu pesan. “Alang kalau nak berjaya, tak boleh jauh dari tuhan. Sayang tuhan, sayang rasulullah, sayang ibu ayah. Alang kan nak jadi anak soleh”.
Manis sungguh wajah ibu. Dari sayu matanya yang redup. Menyejukkan mata yang memandang. Dari mulutnya pula terpacul kalam-kalam indah. Nasihatmu tak pernah ku endah. Adakalanya kau tegas dalam mentarbiah. Rindu saat-saat itu, masa-masa yang berlalu, kenangan-kenangan yang dulu.
Ibu. Terima kasih yang tak terhitung kalinya. Masih tak terbalas segala pengorbananmu. Ku tahu nilai kasihmu amatlah jauh jika dibandingkan dengan segala usahaku. Juga maaf ku pinta andai selama ini ada terketuk perasaanmu. Aku berjanji di atas helaian yang ku catatkan kasihku padamu ini, akan aku berusaha sebaiknya untuk menjadi anak soleh yang kau impikan. Kerana anak soleh meliputi segalanya.
Cukuplah sampai di sini Alang bertamu. Semoga ibu tetap hadir dalam diri Alang membisikkan kata-kata semangat hingga ke akhirnya. Untuk wanita yang paling mulia dalam hidupku. Aku sayang kamu. Sayang selamanya.”
Seluruh dewan senyap. Mata mereka menuju tepat ke arah Badrul bagaikan terpukau dek kepiluan kisahnya. Badrul hanya mampu tertunduk, dia tidak sanggup mengangkat muka. Perlahan air matanya bergenang membasahi pipi. Ternyata rindunya kepada ibu amat mendalam. Dia hanya mengharapkan keajaiban, agar ibunya dapat hadir bersama ibu bapa yang lain.
Kakinya tiba-tiba menjadi kejang. Dia tidak mampu bergerak walaupun selangkah. Lama-kelamaan dia merasakan kakinya semakin ringan dan semakin hilang. Tangannya memaut tiang pemegang mikrofon, sebaik sahaja lututnya menggeletar. Lemah, Badrul tidak dapat mengawal dirinya dan akhirnya rebah. Belum sempat tersungkur ke lantai, lantas Badrul dipangku erat.
Badrul merupakan seorang anak yatim. Dia kini tinggal bersama ayah dan dua orang abangnya. Ibu sudah lama hilang darinya. Hanya kenangan sahaja yang tinggal untuk dirakamkan. Ibulah insan yang paling rapat dengannya. Teman mainnya, teman guraunya, teman senang dan susahnya, teman untuknya mengadu, temannya yang paling setia.
Ketahuilah bahawa setiap manusia akan mati dan yang kekal abadi hanyalah Allah. Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih tuhan apatah lagi.
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari kiamat"
-Surah Ali Imran ayat 185-
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Masa mengandung sampai menyapihnya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh aku termasuk orang muslim”
-Surah Al Ahqaf ayat 15-
Sayangi ibu anda ye...
4 comments:
ad kaitan skit2 je..
ku sayu bakal mninggalkan UMMI..
Post a Comment