Kalau tidak mahu baca, boleh terus skip untuk lihat video di bawah!
“Alhamdulillah”
Itulah kalimah yang paling sesuai untuk diucapkan setelah selesai menunaikan solat sunat tarawikh yang pertama pada malam ini. Gara-gara mendengar khabar dan cerita dari mereka yang pernah merasai manisnya tarawikh di sini, Badar tekad menjadikan Qa3ied Ibrahim sebagai pilihan. Benarlah kata mereka, orang-orang Mesir menjiwai solat dengan memahami maksudnya. Dia bersyukur kerana tergolong dalam kalangan beberapa orang yang diberi kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadhan.
Bekerjalah kamu umpama kamu hidup selama-lamanya, beramallah kamu umpama kamu akan mati esok hari.
Pagi ini, seorang dari sahabatnya baru saja diambil semula nyawanya. Dia (sahabatnya) terlebih mulia kerana dipertemukan dengan tuhan di usia yang muda. Dia adalah rakan Badar semasa di kolej persediaan. Mudah-mudahan redha Allah sentiasa bersamanya. Rasa sedih menular di hati Badar. Terkadang manusia itu lupa, maut bukan hanya tertulis pada yang sakit sahaja.
Adakah kamu merasa aman semasa kamu sihat?
Badar keluar dari rumah setengah jam lebih awal dari waktu Isyak. Turut bersamanya adalah Cekpi, Paru, Abe dan Raja. Dia melangkah laju, bergegas untuk mendapatkan tempat solat yang selesa. Adakalanya jubah yang dipakai mengganggu langkahan kaki. Disebabkan itu dia terpaksa mengangkat jubahnya sedikit ke atas. Walaupun nampak seperti mangsa banjir, tetapi itu lebih selesa baginya.
Nasib mereka baik. Banyak Tramco yang kosong. Tramco boleh dikatakan sebagai salah satu pengangkutan yang utama bagi rakyat Mesir. Van yang mampu memuatkan sehingga 15 orang termasuk pemandu pada satu-satu masa ini hanya mengenakan tambang maksimum sebanyak LE 1.25. Dengan pengudaraan yang semulajadi, Tramco boleh dikelaskan sebagai sebuah medium pengangkutan yang selesa. Ia mampu mencapai kelajuan 140 km/j, tertakhluk pada kemampuan pemandu dan keadaan jalanraya.
Dari rumah mereka ke Qaied Ibrahim hanya mengambil masa 3-4 minit sekiranya trafik lancar. Sebaik sahaja tiba di kawasan masjid, mereka melihat ramai orang berada di merata-rata tempat. Banyak susuk-susuk tubuh yang sedang menuju ke perkarangan solat. Jemaah lelaki masing-masing membawa sejadah. Ramainya mengalahkan solat jumaat pada hari-hari biasa. Jemaah perempuan juga tidak kalah jumlahnya.
Dalam kabut-kabut keadaan, mereka segera mengambil tempat duduk. Bila mana ada sahaja tikar yang baru dihampar, ia terus diserbu oleh para jemaah. Badar turut menyerbu. Akhirnya dia mendapat tempat disebelah warga Mesir. Rakan-rakannya yang lain turut mendapat tempat yang berdekatan. Mereka duduk sambil menanti masuknya waktu solat fardhu Isyak. Sejenak Badar menoleh ke belakang. Tidak sampai lima minit dia duduk, saf-saf dibelakang semuanya telah penuh.
Azan Isyak berkumandang. Suasana senyap seketika. Orang ramai masih lagi bergerak bagi mendapatkan tempat solat masing-masing. Kelihatan sekumpulan jemaah pelajar melayu (akhwat) melintas di hadapan mereka. Badar tertarik untuk melihatnya. Dalam ribuan rakyat Mesir yang bertubuh besar, ada juga rakyat melayu yang keluar dicelah-celahnya. Kasihan, mereka terpaksa menyelinap ke kiri ke kanan. Ruang solat “Sayyidaat” terletak di sebelah lainnya. Mereka terpaksa melintas kawasan jemaah lelaki untuk segera sampai ke ruang solat wanita.
Solat Isyak didirikan seperti biasa. Bacaan Syeikh Hatem memang menggetarkan jiwa. Walaupun tidaklah seindah bacaan qari-qari yang lain, tetapi bagi Badar itulah yang terbaik. Alunannya amat sesuai untuk difahami dan dihayati. Lebih baik baginya dari mendengar bacaan yang indah tapi sukar untuk ditangkap maksudnya, maka susahlah untuk dihayati pengisiannya. Selesai solat Isyak, Imam memberi masa untuk jemaah Masbuq menyelesaikan solatnya. Jemaah yang lain pula sibuk dengan solat sunat ruwatib.
“tuk” “tuk” “tuk”. Orang ramai berdiri dengan tiba-tiba sebaik menerima isyarat mikrofon. Barulah Badar tahu, di sini tiada selawat seperti kebiasaannya di Malaysia. Rasanya pengalaman bersolat tarawikh di Mesir perlu dicatatkan dalam sejarah hidupnya. Inilah kali pertama dalam hidup Badar solat dengan bacaan satu rakaat bersamaan dua muka alquran. Seperti yang dia sangka, solat di sini sedikit panjang dari Malaysia.
“Raja, macam mana ni? Nak stay ke nak balik?”
“Isyh, kalau dia sambung sampai 20 aku nak baliklah.”
Pertanyaan itu keluar dengan sengaja sebaik saja selesai menunaikan lapan rakaat solat tarawikh. Badar cuba mengambil pendapat rakan-rakannya yang lain. Dia rasa, bukan dirinya sahaja yang merasainya. Rasa lemah dan tidak tahan untuk berdiri setelah selesai lapan rakaat. Dalam hatinya, kalau beginilah sehingga rakaat ke-20, memang benarlah orang-orang Mesir ini kuat. Badar pula, kakinya sudah bergetar-getar akibat berdiri lama.
Tamat doa, Imam memberikan isyarat mikrofon sekali lagi. Para makmum kemudiannya berdiri. Ada sebahagian dari mereka yang berjalan keluar dari saf. Sebahagian inilah yang memberi inspirasi kepada Badar untuk turut keluar. Badar memberi isyarat mata kepada Raja. Abe yang disebelahnya juga membalas isyarat matanya. Akhirnya mereka sepakat untuk tidak meneruskan solat tarawikh, cukuplah 8 rakaat untuk hari ini. Mungkin esok, atau mungkin lusa mereka akan bertahan hingga rakaat ke-20.
“sabbihisma rabbikal a’la”
“allazi khalaqo fasawwa”
Bacaan surah Al-a3la kedengaran di setiap genap ruang solat. Ini menimbulkan tanda tanya kepada mereka. Badar terfikir, selalunya surah Al-a3la akan dibaca sewaktu rakaat pertama witir. Adakah orang-orang mesir juga melakukan tarawikh 8 rakaat? Untuk mendapatkan kepastian, mereka menunggu imam menghabiskan solat. Mereka hanya “menunggu”. Sambil-sambil itu, Abe sempat bergambar berlatarkan ribuan jemaah yang sedang solat.
“Lah, diorang solat witir ke? Adui ruginya. Kalau aku tahu tadi, baik aku stay je. Dah habis dah pun.”
“Agaklah. Ini kau punya idea lah ni, nak sangat keluar awal.”
“Ah, takda2. Jangan nak salahkan orang lain. Kalau korang tak puas hati, esok kita solat lagi kat sini. Duduk saf paling sekali. Dekat jalan Tram. Nak?”
“Jom. No hal la bro!”
Badar merasakan kerugian yang amat besar kerana tidak menghabiskan solatnya. Silapnya juga yang terlalu menuruti nafsu. Walhal, kalau tidak larat untuk berdiri pun, boleh sahaja dia solat sambil duduk. “Badar, esok-esok jangan buat lagi macam ni.”
Hari-hari yang seterusnya di Mesir bertambah meriah. Baru Badar tahu bagaimana rasanya menyambut Ramadhan di sini. Orang ramai lebih tertumpu untuk menghias Ramadhan, berbeza dengan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus untuk meninggalkan Ramadhan. Bilangan jemaah di Mesir meningkat sebaik sahaja Ramadhan sampai ke penghujung. Jemaah di Malaysia juga meningkat bilangannya sebaik sampai dihujung Ramadhan, cuma berbeza tempatnya. Di mana itu? Di Carrefour, di Tesco dan di Giant.
Ramadhan. Bulan yang dilipat gandakan pahala amal kebaikan. Syaitan pula dibelenggu. Ditutup pintu neraka dan dibukakan pintu syurga. Ada ribuan malaikat-malaikat yang sentiasa berdoa agar diampunkan dosa. Bulan yang setiap harinya dimerdekakan penghuni-penghuni neraka. Sedarkah kita bahawa inilah bulan, yang ‘jalan-jalan’ untuk memperoleh maghfirah (keampunan) dibuka seluas-luasnya.
Di sini BuDaK sertakan, video ringkas suasana di Gamie (masjid) Ibrahim pada bulan Ramadhan. Sedikit sebanyak menyerupai suasana semasa Badar sedang solat, cuma wajah Badar tidak kelihatan. Disebalik Firaun, Mesir juga terkenal sebagai negara yang berulama. Kalau ada masa, datanglah Mesir.
2 comments:
next year stay la egypt..awal ramadhan x ramai mcm mlm2 akhir..doa kn ako slamat pg blk umrah ok :)
Post a Comment