Malam ini malam terakhir dia di rumah kami. Entah berapa lama masa yang telah aku luangkan bersamanya, aku pun tidak tahu. Yang pastinya, dia amat tertarik kepadaku. Mungkin ada perwatakanku yang memikat perhatiannya sedang tidak kusedari. Sinar petang yang suram kian menghilang, menanti waktu pengakhiran. Maghrib pula menyusup masuk perlahan-lahan. Dan sedang kami asyik bersalam perpisahan;
“Assalamu3alaikum”
Kedengaran seperti ada suara insan memberi salam. Nampaknya dia sudah tiba fikirku. Ingatanku hanya berpaut padanya, seorang tetamu yang pernah berkunjung ke rumahku pada tahun lepas. Lantas, aku segera mendapatkan kunci dan berlari anak ke muka pintu. Dari dada pintu aku mengintai dan ternyata sangkaanku benar.
Aku menghirup nafas dalam-dalam, menghilangkan gementar dari diri. Tenang, itulah yang aku cuba cari. Di balik pintu aku memperkemaskan diri, menyisir rambut menjadi rapi, membutangkan baju hingga penuh dan ditambah pewangi. Ialah, siapa yang tidak begitu jikalau yang datangnya bukan calang-calang tamu. Lampu luar kunyalakan. Cahaya terang menerangi langit maghrib.
“Wa3alaikumussalam... Ahlan Ya Habibi. Ahlan. Shobri, kau sihat?”
Aku memberanikan diri menguak daun pintu. Secangkir senyuman ku lemparkan, salam menyambut kedatangan. Dari kaki hingga ke muka puas aku merenungnya. Wajah dia betul-betul di depan mataku. Sesaat melihat wajahnya, aku tergamam seketika. Rasa sedikit sayu pun ada. Dia turut bergenang air mata, begitulah rindu aku padanya. Kami memeluk erat sesama sendiri dan sesudah beberapa saat baru terlerai.
“Alhamdulillah sihat. Kau seorang je ke kat rumah?”
“Eh, tak adalah. Ni, ada membe aku sekali, Ismun. Dia dah lama ada kat sini, dah nak balik dah pun.”
Aku berpaling ke belakang mencari kawanku. Tetapi hairan, dia sudah tiada di tempatnya. Namun sebaik sahaja aku menoleh ke hadapan, dia sudah berada di sebelah kiriku. Meremang bulu romaku, dingin yang tiba-tiba. Nampaknya dia sudah mahu beredar. Aku hampir terlupa tentangnya sedari tetamuku sampai.
Aku memimpin tangan Shobri, menariknya masuk ke dalam rumah. Dan pada saat itu, Ismun turut berlalu keluar. Dengan serta-merta, segala gerak-geri terasa amat lambat jadinya. Terasa bagaikan ada pertembungan dua aura yang berbeza. Yang satunya gelap lagi satu bercahaya. Ismun dan Shobri berlaga bahu di muka pintu. Ismun tidak menoleh ke belakang langsung. Dia melangkah pergi tanpa sebarang kata.
“Aku ingin solat dulu ya. Sudah masuk maghrib.”
“Ooo. Ok.”
*****
Tulisan tanpa makna.
Oh, Ramadhan! Ramadhan datang lagi. Panggillah dia masuk, jangan dibiar tercegat. Marilah ke mari, aku sudah lama menanti kamu. Minta maaf ya. Persiapannya sedang-sedang sahaja. Aduh, tetamu istimewa diberi layanan biasa. Kenapa ini? Lain pula ceritanya kalau yang datang si Raja.
Hanya orang yang merindui Ramadhan akan menangisi pemergiannya. Bagaimana rasanya rindu pada Ramadhan? Apa? Kamu tidak sedih langsung? Kenapa kita sama? Maknanya...
Tuhan, jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang bermakna.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah Al Baqarah : 183)
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya di turunkan Al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah...”
(Surah Al Baqarah : 185)
0 comments:
Post a Comment