Sunday, 25 July 2010

Pencarian Nafas Cinta

Perlukah aku bersedih untuk seorang wanita? Entah lah. Kadang-kadang aku masih tertanya-tanya, adakah benar tindak tandukku? Tapi, mulut sudah melafazkan, bukannya boleh ditarik lagi kata yang diungkapkan. Serius, walaupun dalam proses membaiki diri, mencari kelemahan yang perlu diperbaiki, banyak lagi lubang-lubang yang perlu ditampal. Tapi hari ini tewas lagi. Gara-gara seorang kawan yang telah lama dikenali.

Benar. Ini semua salah. Aku yang memulakan dahulu. Gara-gara nama manusia tidak habis-habis nafsu bertuhankan begitu sahaja. Ialah, akulah antara satu daripadanya. Memang, aku jahil. Aku tidak mengerti. Darah muda mengalir dalam tubuhku ini diusap racun-racun kawan yang sebarisku. Dia dan aku sama sahaja. Buruk baiknya aku juga yang menilai.

Entah aku rasa dia ini lain ceritanya. Dalam puluhan jiwa yang turut serta, gayanya lebih menarik minatku. Tidak terlalu menonjol, dan tidak pula terlalu terasing. Berbaju kurung sahaja, kadang-kadang kebaya. Entah, aku cukup senang memerhati gelagatnya. Manis orangnya, biarlah orang kata apa. Janji bagiku dia itu istimewa.

Aduh, kalau asyik merenung dari jendela. Merpati takkan datang dengan sendirinya. Cukuplah bisikan-bisikan teman. Aku nekad, jadikan ini sebagai cubaan. Ah! biarkan segala iman dan amal diketepikan. Ingat, ini sekadar cubaan. Belum cuba belum tahu. Taringku disimpan, muka cuba memaparkan sinar kebaikan yang kononnya paling beriman.

Betullah. Dia memang lain dari yang lain. Seperti yang ku sangka. Teguranku tidak menggugat fitrah wanitanya, malah dibalas endah tak endah begitu saja. “Tiada telefon”, alasan yang membuatkanku kaku. Bungkus, aku perlu segera mengatur langkahku. Berhari mataku pinar, kaki hanya berjalan dengan sendirinya. Sedang otak melayang fikirkan dia. Entah, belum ku tahu siapakah nama.

Mari, siapa yang mahu datang ke mari. Hairan dengan suasana bingit aku melangkah mendapatkan khabar. Dari jauh ku tangkap ucapannya sepatah-sepatah. Terdengar, sayup-sayup ~yaya~. Serupa kenal nama ini. Bukan silap telingaku mendengar, itu tidak lain nama si dia. Orang yang aku ingin kenali. Tertera tiga nama di situ. Satunya Dini, dua Lili dan tiga Yaya. Di sebelahnya ada disertakan nombor telefon.

Senang kalian mendapatkannya. Konfius. Mengapa begitu mudah mendapatkan nombornya? Ah, tak mengapa yang penting ambil dulu apa yang di depan mata. Save. Hari di kem beransur sudah. Maktab menanti aku di penghujung. Bas dari Melaka meninggalkan sejarahnya di sana. Sedang yang lain sibuk mengimbau memori 5 hari, aku pula mencorak masa depan. Bagaikan tuhan, aku yang cuba mengatur segala urusan perkenalan.

Ternyata, gangguanku tidak terjawab pada awalnya. Habis dua tiga kali, pun masih tiada respon. Tak mengapalah, nanti-nanti dia balas, hati kecil menyedapkan suasana. Putus asaku masih belum berteriak. Tangan pantas mengatur ayat, alim-alim kucing lagaknya. Cuba mencairkan hatinya yang keras pada pandanganku. Dan tanpa sangkaan yang diharapkan, cubaanku berbalas.

Dia mengingatiku sedari aku pertama kali memberanikan diri. Nombor siriku juga tidak lupa dari ingatan. Dan langsung dari itu, aku cuba mencari titik rapat yang menjauhkan jurang aku dengan tuhan. Dari bualan kosong, aku sedaya upaya membuang kisah-kisah lama. Berharap hati tidak laku jika dihidang kisah-kisah biasa.

Namun, dari hari ke hari. Minggu ke minggu. Bulan ke bulan. Dan cecah ke tahun. Hidangan biasa bertukar selera. Jika dulu aku sekadar disuapkan nasi. Tapi kini aku sudah besar, nasi saja tidak memadai. Aku perlukan lauk, sedikit sayur dan sepiring kuah. Bilamana sekali berpuasa, tibanya masa berbuka dengan sajian yang tak terhitung bilangannya. Penamatnya, nasi masih di pinggan, lauk sudah dibuang dan kuah dipanaskan untuk hari esoknya. Jemu melihat nasi masih di depan mata. Tapi itulah nasi yang kau kempunankan masa tiada.

Sudah. Aku ingin melangkah ke dunia baruku. Aku sudah hampir menjangkau 19 tahun. Tuhan, aku cuma harapkan kebaikan dari bumi yang kau sediakan untukku. Tanah Kinanah dipijak, tapi aku masih melihat langit yang sama. Hanya lantainya yang berbeza. Mindaku berubah sejak di sini. Lebih terbuka agaknya. Sungguh, kesempatan aku di sini bagaikan satu kebetulan yang ditetapkanNya. Alhamdulillah.

Hati aku terpetik untuk menjadi seorang dari mereka. Mereka yang mengamalkan ajaran agama yang sempurna. Tidak, dia bukannya seorang yang baik. Dia cuma mengamalkan agama sebaiknya. Ilmu yang turun, dipergunakan. Ilmu itu ajaib sangkaanku, kerana berjaya merubah dari jahil kepada arif, dari kejam kepada zalim, dari keras kepada lembut. Inilah hasil ilmunya. Aku sedikit tertarik dengan mereka.

Credit to: Salam Abdullah

Menjadi satu keanehan bagiku melihat mereka yang mengamalkan apa yang aku sedang anuti. Benar, dia adalah islam. Sama sepertiku. Adakah aku sesat, atau dia terlampau syadid? Tidak, kamu yang masih belum sempurna. Lihat dirimu, lihat hatimu, lihat pakaianmu. Kosong. Hatimu kosong dari Dia. Mungkin pernah satu ketika kau menyebut nama Dia. Hadir dalam pertanyaan yang tak disengaja. Ah, aku bagaikan seorang yang baru kenal islam.

Sedikit sebanyak aku cuba mendekatkan diri padaNya. Dengan tiada siapa disebelahku, melainkan teman yang turut terduduk di kerusi yang sama. Kami hanya berbekalkan semangat dan sedikit ilmu lampau. Yang aku tahu, Al quran dan Hadith adalah jiwa manusia. Matinya kita dari ketidakhadiran pada kedua-dua perkara.

Kau pun turut merasa bukan? Rasa kosong dan pudar yang merimaskan. Bebanan yang menggunung jatuh menimpa. Yang terus mendatang tidak tahu mahu letak di mana. Itulah, impak dosa kita. Hati kosong yang tak bertuhan. Ditambah perasaan tidak mahu mencariNya. Ditutup pula dengan benci kepada ibadah berpanjangan. Sampaikan hati ini dikunci dengan kegilaan membuat dosa malah tidak terasa lagi bahang pedih neraka.

Alhamdulillah. Bilamana tiba satu saat kita tersentak. Aliran dosa yang kita bermandikan hilang sejenak. Mujur, tuhan masih cinta pada kita. Bilamana syaitan mula berkurang dari diri, hati pula senang tersentuh menginsafi diri. Kadang-kadang bertaut juga soalan, tuhan apakah yang kita sedang persembahkan? Soalan ini bukan bala yang Allah turunkan. Bagiku ia nikmat yang Allah nak tunjukkan. Siapakah tuhan?

Dari kecil aku akui tuhanku adalah Allah. Ibu bapa mewariskanku ilmu yang aku sendiri tidak menyedarinya. Itulah ilmu mengenal tuhan. Sains di luar pengetahuan, psikologi di sebalik pemikiran, barangkali boleh gila jika difikirkan. Tapi ia logik yang masuk akal tafsiran. Malangnya, aku tidak mengetahui di mana tumbuh akarnya, tapi aku sudah memperoleh buahnya. Itulah aku, mendapat islam dari pewarisan. Alhamdulillah.

Umur kanak-kanak adalah zaman riang yang tak terhingga. Sampaikan aku terasa ingin kekal kecil selamanya. Tapi masa diatur supaya terus berlalu, lalu si anak akan menjadi remaja, kemudian berubah dewasa dan akhirnya tua. Hebatnya yang merencana, membolehkan kita semua merasai zaman kanak-kanak dengan adilnya. Tiada yang tua selamanya, tiada yang kekal kanak-kanak selamanya.

Dari kecil, aku diajar agar mentaati Allah dan rasulnya. Sudah tentu pada usia itu aku sering tertanya-tanya “mengapa?”. Ibu hanya mampu berkata, “Sebab Allah bagi kita makan dan minum”, jawab ibuku sambil tersenyum. Jawapannya mudah, sesuai dengan usiaku yang masih tidak tahu apa-apa. Waktu itu akalku mampu menerima dengan mudahnya. Pemahamanku ringkas, “Allah memberi makan, kita memberi taat”.

Kini, aku dan kau sudah dewasa. Masing-masing hanya mahu mendominasi alam remaja. Memberi alasan mencari kepuasan, bahkan hidup gembira dengan persekitaran. Minda juga berubah seiring suasana. Kalau dulu seorang anak kecil hanya memerlukan separuh pinggan untuk puas makan, tapi kini sepinggan belum tentu dapat menghilangkan nikmat kelaparan. Samalah juga hati dan perasaan. Jika kini kita merasa kosong dari tuhan, sedarlah sebenarnya kita juga memerlukan pencarian yang lebih. Insya Allah, Allah mencari akan kita lebih dari itu.

Begitulah manusia. Jika dulu hati mudah menerima “Tuhan memberi makan, kita memberi taat”, tapi kini tidak lagi. Jiwa yang kian tahun kian membesar merayu-rayu agar diberikan santapan yang lebih. Mahu atau tidak, kita wajib memberinya makanan yang lebih. Sekiranya tidak mencukupi, pasti ia akan mati kebuluran. Mungkin saat ini ada insan yang kekurangan makanan. Lapar adalah perasaan, makanan adalah akidah kita kepada tuhan.

Allah adalah tuhan sekalian alam. Yang maha satu, yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Yang hidup dan yang mematikan. Yang kaya dan memberi kekayaan. Yang lembut dan pemaaf. Namanya jelas menceritakan perihal kuasa yang tidak ada setandingNya. Dia yang memberikan mata dapat melihat, yang membolehkan telinga mendengar, yang melembutkan jari-jari untuk menulis, yang mengurus segala tadbir diri kita yang tidak mampu kita mengawalnya.

Gunalah akal sebaiknya, kerana akal juga membesar seiring dewasa kita. Hanya mereka yang mahu mencari pasti akan memperolehi.

“Ya Allah, bantulah aku mencari redhaMu, teguhkanlah pendirianku kepadaMu. Sungguh hambaMu ini lemah dan lalai setiap waktu. Kau hilangkanlah tangan-tangan yang menarikku jauh dariMu, yang menghalangi mataku dari melihat kebesaranMu, yang menutup telingaku dari mendengar kebenaranMu. Ya Allah, bantulah umat Islam. Bangunkanlah umat islam dari mimpi yang dahsyat. Pinjamkanlah kami sedikit dari kekuatanMu. Untuk melawan nafsu”.

Sudahlah Yaya. Kesat air mata itu. Aku tak layak ditangisi. Pada Rasulullah pun kita tak dapat bermuram durja, inikan aku yang jijik kau sanggup berlelehan air mata. Tolong, jangan buat sesuatu yang tak berguna. Tolonglah, julanglah martabat kau sebagai wanita. Kuatkan diri melawan derita yang tidak sebesar mana. Sebaliknya menangislah kerana dosa. Dosa yang kita sendiri tak sangka.

Aku tahu mana silapku, tapi aku tak tahu mana jalan putusku. Adakah benar penyelesaianku? Atau tindak-tandukku terlalu terburu-buru? Sudah puas aku menghitung setiap perilakuku, hingga yang mendatang pun aku cuba melakar. Terkadang aku sendiri rasa tertipu. Putar sana, putar sini dan akhirnya aku bertemu ruang yang aku cuba larikan. Sungguh, rupanya aku terlalu jauh dengan tuhan.

6 comments:

book2...
da nak kawen ke??
 
godio shrek..??haha
 
may Allah ease everything for you..
insyaAllah.
^_^
 
haha...thanks nyah. kamu juga, amin
 
you deserve better
 
yaya xpakai kebaya..
 

Post a Comment