Thursday, 20 October 2011

Mutiara: Hanya Untuk Yang Mencarinya

Perginya kerana percaya.
Akan apa yang diimpikannya
Dia keluar juga walaupun dia tahu
Hasilnya belum pasti.

Di lautan luas inilah dia mencari.
Ratusan mutiara.
Atau mungkin hanya satu saja bilangannya.
Untung dan rugi yang masih tergantung.

Boleh jadi yang satu itulah yang paling hampir dengannya.
Namun belum tentu dia jumpa.
Boleh jadi yang satu itu duduknya jauh.
Mungkin esok lusa baru tiba hari tuahnya.

Teruskan mencari.
Dia tahu di hujung pencariannya pasti akan ada

Rezeki orang
Kadang-kadang yang tertutup itu dinampakkan.
Mungkin untuknya belum lagi, tapi untuk orang lain hari ini.
Pencarian yang berhari-hari jadi setengah hari

Untungnya kepada siapa?

Dia dan Mereka.
Mereka yang cepat dan dia yang lewat.
Mereka yang mudah dan dia yang susah.
Masing-masing dengan hasil yang menggembirakan
Ada mutiara yang digenggamnya. 

Cuma, rugi untuk mereka.
Mereka yang tidak keluar mencari.
Yang hanya terduduk
Menanti laut surut dengan sendiri.

Entahkan bila masanya?
Masa surut itu tiba.
Lupakah mereka?
Tentang masa umur mereka.


Allahumma arinal Haqqa haqqan


Saturday, 15 October 2011

Bandingan Pokok : Cinta

Muhammad, pelajar tahun satu UITM Puncak Alam. Sudah dua hari dia tidak mandi, dan genap seminggu dia tidak berkata apa-apa. Makan tengah harinya juga tiada selera. Dia mengalami kemurungan yang teruk. Remaja itu kini sudah hilang pemacu dirinya. Gara-gara putus cinta.

Dia singgah lagi ke sini. Seolah-olah ada tarikan yang mendesaknya ke mari. Selalunya di taman inilah dia akan duduk bersama-sama. Kawan yang juga teman rapatnya, Nurul. Kenapa setelah 3 tahun mereka saling memahami, baru kini timbulnya masalah tidak serasi? Apakah faham itu hanya pura-pura semata?

“Aargh..” Dia menumbuk lagi pehanya. Geram dengan keadaan yang tiba-tiba mahu membunuh jiwanya.
“Kau penipu. Perempuan macam kau memang tak tahu menghargai.”

**********

“Pak cik, apa pandangan Pak cik tentang cinta?”

“Cinta. Cinta itu ibarat pokok.“
“Semakin kita beri baja dan air, semakin besar pokok akan tumbuh.”

“......”

“Kerja Pak cik cuma berusaha saja. Pak cik suka tengok pokok-pokok yang pak cik bagi baja, yang Pak cik jaga tiap-tiap hari hidup. Tumbuh membesar. Tapi Pak cik tak pernah lupa, yang memastikan pokok ini hidup bukan kerja pak cik.”

“Kalau kita baja macam mana sekalipun, bila tuhan kata tidak, takkan hidup juga. Tanah yang mati. Kalau tak ada benih sekalipun, tak diberi baja dan air. Bila tuhan mahu, hutan pun mampu tumbuh.”

“Cinta. Semakin kita sayang, makin kita beri segala pengorbanan. Semakin besarlah harga cinta kita. Tapi, itu bukannya tiket untuk kita beli hati manusia.”

Nama, watak dan cerita hanya rekaan.


Thursday, 13 October 2011

Memori (1)

Naiklah ikan, kesianlah dekat Kori.” Kata ibu sambil tersenyum kepadaku. Ibu tidak biasa menggunakan joran. Kebiasaannya dia hanya menggunakan gulungan tali pancing yang disangkut mata kail.

Itulah, tukang pancing pun busuk tak nak mandi. Ikan pun tak nak naik lah.” Aku membalas gurauan ibu. Ketika itu aku sedang memasang umpan di mata joran.

Tiba-tiba joran yang aku pasang tadi mengena.

Kori, ikan makan tu. Tunggu dia tarik sekali lagi.” Ibu mengingatkan aku sebaik melihat joran yang disentap ikan.

Wush, ikan besar ni! Siakap-siakap. Jenahak-jenahak.” Kataku lagi dengan riak yang terlalu gembira.

Kili digarau sederhana laju. Takut perambut putus, biasalah ikan besar menyentap kuat.

Ada ikan. Ada ikan.” Aku takjub, seronok dapat bermain dengan ikan.

Wah, ikan duri lagi. Boleh tahan besar jugak ni. Dia tak sempat nak telan umpan habis-habis. Tersangkut dekat mulut.

Jadilah, daripada.....

Segalanya terhenti. Warna-warna itu menjadi semakin putih. Gelak tawa ibu, dan saat-saat itu meninggalkan aku dalam keadaan yang kaku.

5.00 pagi Iskandariah. Ibu tiada. Aku bermimpi lagi. Walaupun aku sedih, tapi cukuplah tuhan memberikan aku peluang untuk duduk di dalam mimpi.

Ditemani.