Friday, 14 September 2012

Lidah; Si Pendiskriminasi

Assalamualaikum wbt

Dan mereka berkata, “Ya tuhan kami, sesungguhnya kami telah menaati para pemimpin dan pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).

Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar.”

Wahai orang-orang yang beriman!  Janganlah kamu seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Allah bersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka lontarkan. Dan dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar,

Niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa menaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh, dia menang dengan kemenangan yang agung.

(Surah Al-Ahzab : 67-71)

 
BarakAllahulakum Wabarakah 3alaikum Wajama3a Bainakum Fi Kheir.

Pertamanya aku ingin memohon maaf kepada kawan-kawan, abang-abang dan kakak-kakak senior SMAPL, RMC & Alex yang baru saja bergelar pengantin baru + yang bakal juga. (Wan Zul & Adhiyah, Saddam, Afiq fahimy, Farhan, Anas, Sarah suraya, hamizan , Seha ,etc). Barakallahulakum! Aku berhajat nak pergi tapi tak berpeluang sebab aku kena hadir majlis yang lebih utama.

Alhamdulillah, selesai sudah majlis pernikahan kakak aku, Nur Hidayah dengan suaminya Wan Muhamad Izham. Kini barulah ada masa untuk kami sekeluarga bernafas macam biasa. Sebelum ini ibu dan ayahlah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan perkahwinan. Aku dan adik-beradik yang lain cuma menyumbangkan tenaga sahaja. Bahagian pengurusan ini kami biarkan bos yang buat.

Sudah menjadi adat resam orang melayu, menjadikan pernikahan itu bukan hanya sekadar menuturkan lafaz akad nikah tetapi harus disusuli dengan majlis keraian. Oleh itu kami yang juga bergenetik melayu 80% + 20% (mamak dan minang) turut meraikan pernikahan kakak sulung/cun/kesayangan kami ini dengan beberapa majlis yang lain. Ada majlis doa selamat, ada pernikahan, majlis keraian, dan ada majlis kesyukuran.

Aku yang tidak banyak menolong pun turut berasa letih. Penat kot berkenduri. Penat berdiri, berjalan, bercakap, bersalaman,  dan penat makan. Ada 4 majlis yang berlangsung pada hari yang berbeza:

31/8/2012-          Tahlil, doa selamat & Akad Nikah (Perempuan)
1/9/2012-            Keraian & Kesyukuran (Perempuan)
7/9/2012-            Keraian & Kesyukuran (Lelaki)
8/9/2012-            Keraian & Kesyukuran (Lelaki)


Walimatul ‘urus, menghubungkan jalinan yang tiada, mengeratkan yang ada.

Bila ada kenduri macam inilah baru kami berpeluang nak berjumpa sanak saudara. Bukan senang nak mengumpulkan semua saudara sebelah ayah dan ibu dalam satu majlis. Kalau rumah terbuka hari raya pun belum tentu kita dapat berjumpa semua pakcik makcik kita. Kadang-kadang bila kita sampai, orang lain belum sampai lagi. Bila orang lain sampai, kita pula sudah balik. Tak sempat berjumpa pun.

Tapi bila ada kenduri macam ini, berbondong-bondong orang datang ke rumah kita. Adalah peluang nak berjumpa dengan semua orang. Paling kurang pun, sebelum makan tentu mereka akan bersalaman dengan tuan rumah. Kalau yang extra rajin itu, mereka akan bersalaman dengan anak tuan rumah sekali. Banyak kot pahala bersalam-salaman.

Pada hari itu, semua adik-beradik sebelah ibu dan ayah ada. Kaum tua terdiri daripada; Tok Wan, Tok Su, Tok Ngah, Nenek Esah, Nenek Sham. Kaum muda; Sepupu belah sana, sepupu belah sini. Budak-budak kecil, abang-abang dan kakak-kakak saudara. Seronoknya bila dapat berjumpa macam ini. Paling seronok sekali bila dapat berjumpa dengan jiran-jiran lama rumah kami yang dulu. Aku dah bertahun-tahun tak jumpa mereka.

Mana tidaknya, aku tinggal di asrama. Mereka pun kadang-kadang sahaja balik. Bila ada cuti, masing-masing duduk rumah. Adoi, tak boleh tahan! Dulu masa kecil main bersama-sama. Sekarang ini bila semakin meningkat dewasa, macam-macam dah berubah.  Anak-anak bujang dah jadi hero-hero yang macho, anak-anak dara pun bukan lagi manja-manja hingusan.

Malam kenduri di rumah pengantin lelaki, 7/9/2012 – Bukit Saga, Shah Alam. Ceritanya bermula di sini.

Malam itu ibu dan ayah aku diberikan tempat duduk khas untuk makan bersama mempelai di meja makan beradab. Kakak sulung (pengantin) duduk di meja pengantin, manakala kakak yang kedua pula masih belum pulang dari kolej (PMC). Masa itu akulah abang yang paling tua dan hanya aku seorang saja yang tinggal untuk dipertanggungjawabkan melayan lagi dua orang adik yang lebih muda. Bahtiar; adik kembarku dan Nur Fauzul Azim; adik bongsu.

Makan; Perintah Allah yang kita taat sampai bila-bila.

Menu utama pada malam itu ialah nasi bersama ayam masak kurma. Wah, sedap gila kot! (Tolong cubit qari. Ibu kan tak bagi cakap gila.) Selain itu terdapat juga di dalam pinggan kami; kuah dhal, sayur entah apa nama masakannya, dan sambal belacan. Juga di dalam pinggan yang lain; buah tembikai dan sedikit kuih. Ada kuih Kelantan itu nama dia Akok. Tahu? Ada pula makanan sampingan lain yang memenuhi meja; satay, kueh tiaw, cendol, dan coklat.

Aku sengaja ambil awal-awal segala jenis makanan yang ada pada malam itu, baik pembuka selera ataupun pencuci mulut. Kadang-kadang rasa tensi juga bila kita tengah makan-makan, tengah melahap mentekedarah, ada pula yang nak benda lain, nak buah lah, satay lah. Nak kena bangun lagi 2, 3 kali. Macam ini kan lebih senang. Adik-adik aku tak perlu lagi nak meminta-minta, semuanya dah ada di atas meja. Tunggu masa saja nak dihabiskan.

Sangatlah kenyang kami pada malam itu, hinggakan satay yang masih berbaki di atas meja pun, aku paksa Bahtiar habiskan. Walaupun dia cakap dia dah kenyang, dah tak mampu makan, aku masih paksa dia. Aku tahu kemampuan dia. Dia ini diibaratkan macam ‘mesin pra-tong sampah’. Sebelum makanan mencecahkan kaki  ke dalam tong sampah, lebih baik aku humbankan saja dalam perut Bahtiar.

(Kuluu: Fi’il Amar bagi kalimah ‘kul’ yang bermaksud ‘makanlah’ yang ditujukan kepada dhomir antum)


Aku yang ketika itu sedang cuba merenggangkan otot-otot anterior abdominal wall tiba-tiba ditegur ibu dari meja makan pengantin, “Qari nak ni?”. Em, aku dengan makanan yang masih tersangkut di celah kerongkong cuba mencari ruang untuk diisi lagi. “Tak mengapa bagi orang muda makan berlebihan kerana mereka banyak menggunakan tenaga.” Aku beralasan lagi.

“Nasi dah, ayam dah, satay dah, cendol dah, coklat dah.”. Tak sempurna pula kalau tak merasa udang goreng berempah. Pergh! Aku yang malas nak berfikir kali kedua, terus mengambilnya dari meja pengantin dan meletakkanya di atas meja makan kami. Semasa makan udang inilah baru aku terfikir tentang  satu nikmat yang sejak lahir aku pandang sebelah mata ~jer. Walhal dialah penyebab aku berbahagia dengan makanan-makanan ini. Lidah!

Biar tidak bergigi asalkan kita berlidah.

Secara amnya lidah adalah salah satu organ yang termasuk di bawah sistem penghadaman dan juga sistem saraf. Lidah membantu kita menolak makanan semasa menelan, malah yang lebih utama dia membolehkan kita merasa rasa yang ada pada makanan. Amat tidak patut jika ada orang yang menolak kenyataan bahawa lidah itu adalah nikmat. Jika dibandingkan lidah dengan gigi, lidah itu lebih besar fungsinya.

Kenapa orang tua sinonim dengan fizikalnya yang tidak bergigi?

Orang-orang tua adalah golongan yang sepatutnya lebih teliti menjaga pemakanan. Pada masa tua inilah datangnya penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, gout dan macam-macam lagi. Tapi mereka ini degil. Makan sentiasa nak, kesihatan tak mahu jaga. Dikhuatiri jika mereka dibiarkan, penyakit-penyakit ini pula yang menjadi penyebab kematian mereka, bukannya usia. Jadi perlu ada sesuatu yang dapat mencegah mereka makan sesuka hati.

Mematikan deria rasa. Kenapa tidak di-degenerate-kan saja taste bud? Tak boleh! Orang tua adalah orang yang paling lama makan garam, paling banyak pengalaman. Memori yang mereka simpan lebih banyak daripada kita termasuklah memori rasa. Walaupun deria rasa sudah ditarik, tetapi mereka mungkin akan terus makan kerana sudah terbiasa (habit) dan mereka masih tahu dan ingat tentang rasa yang ada pada makanan tersebut.

Gigi. Setahu aku, tiada reseptor rasa pada struktur gigi. Tugas gigi cuma memotong, mencengkam, mengoyak, dan menghancurkan makanan. Kalau tak ada gigi, apa yang nak dikunyah? Sebab Allah masih lagi nak bagi manusia rasa nikmat makanan, dicabutNya gigi. Kalau tak, manusia tak berhenti-henti nak makan. Tua-tua pun mengidam lagi. Ini andaian aku sahaja. Allah lebih tahu. Zaman sekarang ini ada pula pembekal gigi palsu dengan pelekat dia sekali. Matilah orang tua dek tak jaga makan.

 
Semasa kecil, demi makanan Allah bagi gigi susu. Apabila tua, demi makanan Allah ambil semula gigi.

Lidah; Antara ada dan tiada, mengapa perlu ada?

Dari segi histology (kajian tentang tisu & sel), lidah merupakan tempat yang paling banyak reseptor rasa. Reseptor ini boleh mengesan 4 jenis rasa yang ada. Manis, masin, masam, dan pahit. Kewujudan reseptor rasa inilah yang membolehkan kita merasa rasa setiap makanan.

Cuba bayangkan kalau taste bud kita rosak, atau kita sememangnya dilahirkan tanpanya. Adakah kita akan mati? Adakah kita akan sakit? Tidak! Kita masih boleh hidup seperti biasa kerana kita mendapat nutrisi-nutrisi yang secukupnya dari makanan. Tetapi bekalan nutrisi sahaja tidak mampu untuk menjamin kita terus hidup.

Lidah diperlukan untuk mengenalpasti makanan mana yang selamat makanan mana yang tidak. Masin atau tawar itu soal kedua. Tanpa merasa, kadang-kadang kita tahu makanan itu berbahaya ataupun tidak, hanya setelah ia habis dimakan. Bila dah sakit perut, cirit-birit, baru tahu semalam kita terminum air sabun bukannya air oren. Tidak, kita tidak boleh hidup tanpa deria rasa!


Apabila 1 daripada ∞ nikmat Allah hilang, manusia menjadi rugi.

Lemahnya kita! Kita perlu bergantung kepada Allah 100%. Cuba bayangkan sebuah dunia yang tiada deria merasa. Roti potong kosong dan ayam masak merah rasanya sama. Air oren Sunkist dengan vanilla milkshake pula akan jadi sama harga. Kinder Bueno tidak akan diimport ke Malaysia kerana kita sudah ada roka Apolo.

Manusia akan menjadi tidak tahu bagaimana hendak membezakan air kelapa muda dengan air tebu. Tidak wujud rasa pahit, masam, manis dan masin. Tidak perlu ada sesedap rasa dalam masakan. Kita tidak perlu masakan kari, kurma ataupun sup. Cukuplah dengan merebus ayam dalam air kosong dan terus makan.

Oleh sebab itu Allah biarkan manusia merasa setiap rasa yang ada di dunia ini. Allah bagi itu dan ini. Ada yang kena dengan citarasa, ada yang langsung kita tidak suka. Pada hari ini kita boleh lihat bagaimana manusia itu terlalu suka dengan nikmat deria rasa ini hinggakan mereka sanggup merentas lautan semata-mata untuk memuaskan nafsu makan.

Dengan nikmat yang mereka suka pun, manusia boleh kufur. Inikan pula nikmat yang mereka lupa.

Lidah; Wujudnya membezakan rasa.

Sebelum mengakhiri entry pada kali ini, aku ingin membawakan satu persoalan yang ada hubungkaitnya dengan lidah. Alangkah indahnya kalau kalian dapat sama-sama berfikir dan berkongsi idea tentang satu lagi ‘benda’ yang tugasnya mirip seperti lidah bahkan lebih besar.

‘Benda’ ini menerima pelbagai jenis input, termasuklah input rasa dan ia perlu membezakannya. Ia menerima apa yang didengar, dibaca dan dilihat. Kemudian ia cuba memahami, menilai dan mentafsirkan input-input ini kepada beberapa pecahan. Ada pujian, tohmahan, kebenaran, dusta, fitnah, teladan, tauladan, gembira, duka, suka, benci, baik dan buruk. Ia bukannya organ dan ia tidak bertempat. Ia adalah AKAL.

Akal; ……….?

Silakan berkongsi idea. Jangan malu dan jangan segan. Mungkin ada pakar psikologi yang ingin membantu, ataupun ada ustaz yang boleh terangkan perihal akal dari sudut agama. Minta maaf di atas entry yang panjang. Pesanan umum daripada penaja kepada semua.

Jangan hanya buka mata pada laluan yang terang, kerana duri itu lebih berbahaya pada laluan yang gelap.

Sama ada ia telah hilang fungsi, ataupun rosak itu dua sifat yang berbeza. Akal yang rosak masih boleh diperbaiki. Namun yang telah hilang fungsinya, sudah terlepas dari tanggungjawab seorang mukallaf. Selamat berfikir.

*2 gambar yang teratas sahaja benar, yang lain hanya hiasan. Tolong doakan kejayaan aku.

Siapa yang baca ayat alquran awal-awal tu, insyaAllah dapat pahala. Akhir kalam, assalamualaikum wbt.

Monday, 3 September 2012

Surat Kepada Dia

Assalamualaikum wbt.

Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal.
(Surah Ali Imran : 159)

Saudara yang dihormati,
Saya dahulukan surat ini dengan kalamullah. Moga-moga apa yang saya akan nyatakan dalam suratan ini tidak akan menyinggung mana-mana pihak.

Saudara,
Saya bahkan seluruh warga Alexandria khususnya kami di tahun 3 telah lama meneliti, memerhati segala notifikasi yang telah saudara cetuskan. Malah saya tahu saudara sendiri pun sedia maklum dengan ‘kepanasan’ yang lahir daripada satu-persatu isu yang saudara cetuskan.

Kami faham dan sentiasa menerima apa-apa pesanan dan nasihat yang saudara berikan, baik pada ‘wall’ Situasi sendiri ataupun  pada wall orang-orang yang tertentu. Segala apa yang saudara katakan itu tidak salah satu pun. Tiada apa yang kita letakkan pada sesuatu nasihat itu melainkan hanya kebaikan.

Malah tersangat berbahagia bagi orang-orang yang melalui perantaraannya, orang lain menerima hidayah.

Malangnya pada pemikiran saya, ada sedikit cacat dan kekurangan pada cara pendekatan saudara. Saudara mungkin boleh lihat pada wall saudara sendiri, betapa orang yang berkaitan/yang terkena berasa kurang senang dengan nasihat yang diberikan. Boleh jadi inbox saudara mungkin sudah penuh dengan lontaran balas dari orang ramai. Maaf.

Saudara,
Ada masanya mungkin sesetengah tulisan yang saudara sampaikan itu terlalu sakit untuk hati-hati kita menerima. Hinggakan yang melihat pun akan merasai kejengkelannya. Maaf. Bila hati manusia ditutup dengan kebencian bagaimana ia hendak berjinak-jinak untuk menerima?

Bertadabburlah kembali dengan ayat alquran di atas. Untuk makluman saudara, ayat ini pernah ‘mengajar’ saya untuk menegur dengan lebih berhikmah.

Ada masanya kita tidak sedar yang kita sebenarnya sedang menyampaikan ‘emosi’ dan 
bukannya peringatan. Dan ketika itu mungkin orang ramai akan memandang kita sebagai orang yang bertindak melulu, bertindak tanpa berfikir, bukannya orang yang cuba menegakkan kebenaran.

Saudara adalah orang yang berilmu, dan sepatutnya orang yang berilmu itu didekati. Tapi ada sesetengah orang yang tidak mahu menerima ilmu, dan golongan inilah yang seharusnya kita dekati. Malangnya bagaimana kita ingin mendekati mereka sekiranya mereka ini membenci dan menjauhkan diri daripada kita?

Saudara,
Saya juga sedikit kesal dengan tindakan saudara yang tidak meletakkan nama sebenar pada akaun tersebut. Kalau ianya adalah akaun bersama, saudara sepatutnya menyatakan siapa ahli-ahlinya. Dikhuatiri ia akan menjadi fitnah kepada golongan-golongan yang turut menjalankan aktiviti amar ma’ruf nahi mungkar yang lain. Secara tidak langsung jalinan antara da’I dan mad’u akan renggang.

Tidakkah saudara merasa keburukan yang lahir dari penubuhannya lebih banyak daripada kebaikan? Dan kebencian yang lahir melebihi “Hub” cinta yang terbina. Sekiranya saudara bersetuju dengan saya, maka adalah lebih baik jika akaun ini ditutup dan hilanglah nama Situasi dari sebarang enjin pencarian. Mungkin juga boleh beralih kepada alternatif lain, seperti blog dan twitter.

Saya kagum dengan semangat saudara yang bencikan keburukan. Bencilah kepada kekufuran bukannya kepada individu, kerana apabila hilangnya kekufuran hilanglah kebencian kita. Tetapi jika kita benci kepada individu, kita akan terus membencinya walaupun kekufuran sudah hilang daripadanya.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al Hujurat : 10)

Astaghfirullahal Azim Li walak. Assalamualaikum wbt.

**********

Lagu Bingkisan Rindu ini pula ditujukan buat Cahaya Petunjuk @ akak saya. Hari-hari sebelum kawen kaklong asyik nyanyi lagu ni je. Kak Long still kakak orang jgak tapi lain sikit lah. Dah jadi isteri orang kan. Qari dah dapat Abg Long...uhuk2. Ok, barakallahulakuma wabaraka alaikuma wajama'a bainakuma fi kheir