Tuesday 21 December 2010

Air Itu Cinta

Tengah hari itu, matahari benar-benar di atas kepala. Terasa perit bahangnya bagaikan matahari sendiri sedang memegang ubun-ubun kepala berpuluh-puluh degree panasnya. “Bermandi peluh”, memang seperti apa yang digambarkan. Apa lagi yang hendak dihiraukan. Inilah realiti bumi mesir. Tidak hairanlah bermandikan peluh setiap hari. Terik mentari sudah menjadi kebiasaan pada hari ini. Baru terasa ada gunanya berkopiah menutupi kepala.

Amirul dan Badrul. Kedua-duanya hampir dikenali seluruh isi kuliah. Kalau tidak datang lewat, mereka pasti tidak akan datang. Adapun selang-selang masa ketibaan mereka seiring kedatangan professor, lagaknya seperti para penyambut tetamu mesra. Mereka baru tamat kuliah dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Perjalanan yang memakan masa 15 minit itu cukup bernostalgia.

Di awalnya mereka masih mampu berkata-kata, bergelak ketawa. Lawak Alif hanya mampu diberi tawa selamba, menjaga hati namanya. Man pula jarang terdiam. Ada saja selang bicara Alif, pasti dicelahi keserabutannya. Mereka berdua, dari belakang jangan tersalah sapa. Seorang tinggi, seorang lagi sedang-sedang, rambut kedua-duanya ikal mayang, jangan tegur selagi belum pandang. Silap hari, boleh jadi bahan tawa orang.

Mereka berempat berpecah. Ketawa juga turut rebah. Masing-masing dengan halatuju yang berbeza. Badrul dan Amirul tinggal di Camp Caesar, Man dan Alif menetap di Ibrahimiyyah. Suasana di tengah-tengah perjalanan menjadi makin suram. Topik-topik biasa menjadi bahan pengisi sementara. Duit rumah, kerja dan assignment, futsal, kelas tafaqquh dan bermacam-macam isu diputar belitkan.

200 meter yang terakhir. Itulah pengakhiran. Mereka berhenti bagi mendapatkan air mineral 7 liter di kedai berdekatan. Berbaloi juga harga LE 5 untuk air 7 liter. Tidak perlu berfikir untuk kali kedua, memang murah sebenarnya. Tapi, kerja mengangkat pula menjadi masalah utama. Tenaga yang berbaki, entah cukup atau tidak. Hendak saja direkrut dua lagi askar simpanan. Tapi difikirkan mereka juga penat, baru usai bertempur di medan physiotherapy, semua rancangan dicancelkan.



Tiba-tiba deringan telefon Amirul memberi suasana. Katanya panggilan dari Bro Akmal, ada hal penting gayanya. Ini mesti perihal pilihan raya, kalau tidak pun pasal akademik. Mungkin juga B.O.O.M, atau seminar itu dan ini, dan seumpamanya. Tidak sah kalau dalam tempoh sejam tiada panggilan telefon, paling kurang pun pasti akan ada meseg masuk yang ring tonenya pula panjang berjela-jela. Sakit hati telinga mendengar. Kaki yang melangkah lenguh terpaksa menongkah gagah.

Sampai juga di kaki rumah akhirnya. Malang seribu malang. Keadaan mereka yang sudah tenat dibasahi keringat, disambut dengan jerkahan si penjaga Imarah. “3ayiz fulus syahr. Talatin”. Itu sahaja yang mampu ditangkap. Baki-baki katanya dianggap sebagai bunga-bunga bahasa, tidak penting. Asalkan mesegnya diterima sudah memadai. “Ma 3andinasy fulus. Kullu fuq fi sha’ah”. Balas Amirul sambil Badrul menolaknya supaya beredar.

Pasrah. Jarang sekali lif berfungsi sebaiknya. Rosak itu dan ini, dan hari ini rosak lagi. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja Badrul menjerit sekuat hati. Geram yang teramat sangat. “Sabar, hari ini tidak boleh marah-marah.” Amirul memberi peringatan. Mahu atau tidak, setiap anak tangga dinaiki satu persatu. Terkenang zaman muda-muda dahulu. Saat mereka menjadikan anak-anak tangga tempat untuk bergurau, duduk menenangkan fikiran juga tempat berlakunya penyeksaan.

Pintu rumah dikuak layu, kelihatan Saif dan Rafiq sudah terbongkang di ruang tamu. Dari postur baring, sudah jelas tahap kepenatan yang mereka pendamkan. Meringkuk bagai cacing di mata kail. Tubuh yang penat seakan-akan terubat. Suasana rumah menghadirkan rasa damai yang memukau. Beg galasnya disimpan, dan kasut juga dilemparkan. Mereka berdua juga sudah tidak sabar menumpang sekaki. Badrul mendahului sambil baju luarnya dipecat. “Sabar, aku datang sahabat!”.

“Allahu Akbar Allahu Akbar”...

Belum sempat memejam mata. Bernafas menarik nafas lega. Belum terasa lagi nikmat karpet empuk yang tebal berhabuk. Azan Zohor berkumandang. Seakan mahu dicarik-carik sahaja karpet yang baru didudukinya. Badrul melihat jam tangan. Tepat menunjukkan pukul 12 tengah hari. Lelah menaiki tangga masih belum berhenti mengahnya. Mahu saja dia buat-buat terlena, apalah salahnya. Akan tetapi bila dia fikirkan kembali dalam-dalam... Ini bukan caranya.

“Weh, cepatlah.”

“Gagah. Bangun Bad, kau bukan budak mentah.”

Hampir lima minit berhempas pulas, bergelumang dalam mainan perasaan. Penat sudah berguling-guling di atas karpet. Nafsu akhirnya tewas juga. Ia yang pada awalnya hanya mahu bersekutukan syaitan semata, kini tunduk kepada iman. Syaitan lalu mengalah, dia sedar bukan ini masanya. Ada ubi ada batas lain hari boleh balas. Tunggu saja masa lengang, saat hati manusia bukan lagi tuhan yang menjadi paksinya.

Mereka menukar pakaian yang lebih selesa. Masing-masing dengan style yang tersendiri. Ada yang berbaju melayu, ada yang berjubah dan ada pula yang bersahaja. “T-shirt round neck sudaaa...”. Tak mengapa, asalkan tidak bersarungkan baju yang sama. Maklumlah, sudah sehari suntuk “berjalan” di bumi mesir ini. Tempoh yang cukup lama untuk menghasilkan sebaldi penuh titik-titik peluh. “Berjalan”. Sebab itulah mereka naik teksi.

Rafiq, sudah awal-awal lagi menekan butang lif. Malangnya tak berfungsi. Dia yang lengkap berjubah, terjerit-jerit dari tadi menggantikan iqamah yang belum lagi berbunyi. Padahal ketika itu, Badrul masih lagi belum berwuduk. Badrul memang selalu lewat. Gerak gerinya memang selalu lambat. Alasannya mahu menghayati setiap perilaku. Baginya, untuk mendapatkan kekhusyukan, jangan pedulikan semua gangguan.

Badrul masih terganggu. Fikirannya masih belum jauh. Tumpuannya untuk menetapkan niat dalam berwuduk, mendatangkan rasa bersedia untuk solat tidak berjaya. Dia seakan-akan dipukau, dipateri akal bersama matanya. Air yang mengalir keluar dari kepala paip pun dilihatnya seolah-olah menari. Cara pandangannya, tidak jauh umpama seorang remaja yang terpegun lama dek keayuaan gadis pujaan.



Barukan air sudah terliur, inikan bidadari bagaimana reaksinya nanti. “Hoi, cepatlah! Aku sumbat hidung kau dengan batang penyapu kejap lagi.” Dengan tiba-tiba, datang satu suara. Pincang bayangan si anak gadis. Kini suara Saif pula yang berfrequency tinggi. Badrul tidak mampu berkata apa-apa. Tidak perlu rasanya dibazirkan tenaga untuk bersuara. Dia menyegerakan wuduknya, takut-takut imam sudah memulakan rakaat pertama.

Diringkaskan cerita, petang sudah hampir menutup kisahnya. Para Muazzin mungkin sudah mematikan bacaan radio bagi memberi izin laluan untuk azan berkumandang. Lima minit lagi, hari esok akan bermula. Keempat-empat mereka semua sedang lalai membuang masa. Facebook masih lagi terbuka, ada juga yang sibuk membalas YM orang-orang di Malaysia. Rafiq pula tidak kurang kontranya, daripada Ustaz Azhar Idrus hinggalah Ustaz Hasrizal. Ustaz-ustaz yang berbeza, tetapi paksinya sama.



“Allahu Akbar Allahu Akbar”...

Azan yang pertama berkumandang. Azan dari Muazzin Mekah, merdu suaranya. Datangnya dari software laptop Badrul. Selang beberapa detik, azan dunia nyata pula bergema. “HAHAHAHAHA...” Masing-masing melonjak hatinya ketawa, menandakan sangat gembira. Mahu dizahirkan apa yang dirasa, takut tampak seperti empat monyet yang bersaudara. Betullah seperti yang terkata, kegembiraan orang yang berpuasa terletak ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

Hebatnya perasaan ingin mengawalkan berbuka, hinggakan mampu menghentikan semua kerja-kerja yang tadinya sibuk melalaikan mereka semua. Bajetlah. Padahal masing-masing lapar, dahaga yang tak terkira. Tidak mengapa, InsyaAllah pahala tetap dikira. Dari lemah terus bertenaga, dari perlahan terus tergesa-gesa, dari nasihat-menasihati terus mampu bergerak sendiri. Itulah kuasa, mahu berbuka.

Amirul, Badrul, Saif dan Rafiq. Masing-masing meluru ke dapur, walaupun tiada sebarang lauk untuk berbuka. Keadaan air yang tidak menentu alirannya, kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada. Tidak mengizinkan mereka memasak pada hari itu. Tak mengapa, memadailah berbuka dengan air mineral sahaja. Itu sudah biasa bagi mereka. Selalunya air mineral yang dibeli akan disimpan di dalam tong khas. Bekas simpanan air khas dalam rumah mereka.



Azan masih berkumandang dan masih belum sampai pun pada pertengahannya, tetapi mereka berempat sudah siap dengan cawan masing-masing. Amirul, Badrul, Rafiq dan Saif. Semua duduk mengelilingi tong air. Pusat berbuka rumah mereka. Ternampak kemanisan ukhwah yang cuba dipaparkan. Dari situ muncul kegembiraan yang tiada siapa tahu. Bukan senang menyatukan semua wajah-wajah bersama.

Maklumlah kelas tidak sama. Sekejap dia ada di rumah, kejap yang ini pula tiada. Semua sibuk dengan kerja masing-masing. Ada yang menjadikan mesyuarat sebagai hobi, ada yang sibuk dengan urusan musyrif sana sini, ada yang keluar menyelesaikan masalah batch sendiri, ada juga yang menyibukkan diri dengan social networkingnya membawa diri. Tapi hari ini, semua duduk berkumpul pada waktu dan tempat yang sama. Gembira dan sangat menarik untuk dibuat cerita dalam entry blog kali ini.

Mata mereka saling memandang memerhati gerak-geri masing-masing. Semua masih belum berbuka. Lima minit berlalu dengan hampa. Akhirnya seorang dari mereka bersuara, “Dahaga”. Akibat lama sangat menanti, Rafiq akhirnya mengalah dan mendahului yang lain mengambil air. Dia tekad menjadi yang pertama berbuka. Sebaik saja melihat tindakan Rafiq yang terburu-buru ingin mendapatkan air, Badrul lebih awal menghulurkan tangannya. Senyum dia kepada Rafiq.

Inilah yang dikatakan dengki, sengaja mahu cari pasal. Tadi yang lengang tidak mahu ambil air, sekarang pula mahu berebut. Saif tidak mahu kalah, ditempisnya semua tangan-tangan yang menghulur. Dengan muka bengisnya yang tersendiri, Saif Bangkit mengasari. Amirul juga sudah tidak tahan. Dia yang dari tadi diam mula berdiri. Diangkatnya tong air dan dibawa masuk ke biliknya. Pandai.

Amirul ketawa seorang diri. Dia dengan bangganya berdiri di muka pintu biliknya, sambil mencekak pinggang. “Berebut lagi, tengok siapa yang hero! HAHAHAHAHA”. Mereka yang lain terdiam seketika. Tak sangka, begini rupanya. Bukan disebabkan terpegun dengan tawa Amirul. Sebaliknya mereka hairan, bagaimana Amirul mampu mengangkat sebuah tong air selebar screen laptop 15 inchi dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Badrul mendekati Amirul dan berlalu sebelahnya. Dia merapati tong air dengan wajah yang penuh bingung. Terlintas dalam hatinya bayangan air yang dibelinya petang tadi. Apakah... Saat itu jarum saat berlalu dengan sangat perlahan. Kelipan-kelipan mata yang memerhati gelagatnya tidak bergerak sementara. Hanya kedengaran bunyi degupan jantung yang laju bekerja. Badrul duduk dan meletakkan cawannya di lubang buangan air. Sebaik ditekan,

“Aaarrrrggghhh...”

Hanya titis-titis air yang keluar. Terkesima dengan keadaan yang menyeksa, Saif segera menyarung seliparnya dan beredar keluar dari rumah. Rafiq tahu ke mana hala tuju Saif. Amirul yang tadinya berlagak paling berkuasa cuba meraih simpati Saif. Dia bertanya ke mana hala tuju Saif namun tak dijawab. Rafiq kemudian membalas “Taimiyah”. Badrul yang bersungguh-sungguh cuba mendapatkan baki-baki air yang tersangkut di penutup tong berputus asa kemudian turut serta ke Taimiyah.

Usai mengerjakan solat fardhu maghrib. Badrul sempat mencuri masa melapangkan fikirannya. Dia menjadikan tiang sebagai sandaran, sambil sendi-sendi kakinya direnggangkan. Ruang masjid kini kosong berikutan hampir keseluruhan jemaah sudah pulang. Ini menjadi peluang terbaik untuknya mengumpul sepenuh tumpuan menjana fikiran. Sambil memerhati seluruh penjuru ruang solat, tiba-tiba datang satu idea berlegar-legar di kepalanya. Tidak lain topik layaran mindanya hari ini adalah berkenaan “air”. Terbang!

**********

Dari cerita Badrul, aku ternampak satu perkara. Perkara yang sebenarnya utama dan jarang-jarang kita simpan dalam kepala, bahkan kita anggap ia sia-sia, malah selalu kita melupakannya. Ia merupakan salah satu dari cabang-cabang rahmat yang kita semua rasa. Mungkin akan ada yang terlepas pandang jika mereka hidup dalam hujanan kemewahan, dan timbunan gunung-gunung harta.

Air. Itu akar idea yang utama. Hanya tiga huruf, pendek dan mudah untuk menyebutnya. Sepatutnya, lebih ringkas perkataan itu lebih mudahlah untuk kita menterjemah dan lebih kecillah topik perbincangannya. Tapi ini tidak. Kurniaan Allah ini terlalu lebar untuk diterangkan dan terlalu besar untuk diperincikan. NikmatNya sangat banyak untuk diperhitung satu-persatu. Air adalah nikmat yang terlalu besar jika kita fikirkan sebetul-betulnya.

Bukankah dalam segala penciptaan itu ada tanda-tanda kebesaran tuhan bagi mereka yang berfikir? Maka tugas kita hanyalah berfikir. Aku juga sedang berfikir dan kamu juga perlu berfikir, aku tidak mahu menghurai panjang. Mencoret kisah pun sudah cukup susah apatah lagi menghuraikan nikmat yang luasnya tidak diketahui penghujung tintanya.

~Daripada air, bermulanya kehidupan. Malah dengan air kehidupan terus berjalan.~

Dan kami turunkan dari awan air hujan yang tercurah dengan hebatnya. Untuk kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tanam-tanaman. Dan kebun-kebun yang rendang.
Surah An Naba : 14 - 16

Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah kami yang menurunkannya? Sekiranya kami menghendaki nescaya kami menjadikannya asin, mengapa kamu tidak bersyukur?
Surah Al Waqiah : 68 – 70

Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air dari langit untukmu, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun –kebun yang berpemandangan indah? Kamu tidak akan mampu menumbuhkan pohon-pohonnya. Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Sebenarnya mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran).
Surah An Naml : 60

1 comments:

entry yg menarik.ade bakat jd penulis nmpknye :)
 

Post a Comment