Tuesday, 21 December 2010

Air Itu Cinta

Tengah hari itu, matahari benar-benar di atas kepala. Terasa perit bahangnya bagaikan matahari sendiri sedang memegang ubun-ubun kepala berpuluh-puluh degree panasnya. “Bermandi peluh”, memang seperti apa yang digambarkan. Apa lagi yang hendak dihiraukan. Inilah realiti bumi mesir. Tidak hairanlah bermandikan peluh setiap hari. Terik mentari sudah menjadi kebiasaan pada hari ini. Baru terasa ada gunanya berkopiah menutupi kepala.

Amirul dan Badrul. Kedua-duanya hampir dikenali seluruh isi kuliah. Kalau tidak datang lewat, mereka pasti tidak akan datang. Adapun selang-selang masa ketibaan mereka seiring kedatangan professor, lagaknya seperti para penyambut tetamu mesra. Mereka baru tamat kuliah dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Perjalanan yang memakan masa 15 minit itu cukup bernostalgia.

Di awalnya mereka masih mampu berkata-kata, bergelak ketawa. Lawak Alif hanya mampu diberi tawa selamba, menjaga hati namanya. Man pula jarang terdiam. Ada saja selang bicara Alif, pasti dicelahi keserabutannya. Mereka berdua, dari belakang jangan tersalah sapa. Seorang tinggi, seorang lagi sedang-sedang, rambut kedua-duanya ikal mayang, jangan tegur selagi belum pandang. Silap hari, boleh jadi bahan tawa orang.

Mereka berempat berpecah. Ketawa juga turut rebah. Masing-masing dengan halatuju yang berbeza. Badrul dan Amirul tinggal di Camp Caesar, Man dan Alif menetap di Ibrahimiyyah. Suasana di tengah-tengah perjalanan menjadi makin suram. Topik-topik biasa menjadi bahan pengisi sementara. Duit rumah, kerja dan assignment, futsal, kelas tafaqquh dan bermacam-macam isu diputar belitkan.

200 meter yang terakhir. Itulah pengakhiran. Mereka berhenti bagi mendapatkan air mineral 7 liter di kedai berdekatan. Berbaloi juga harga LE 5 untuk air 7 liter. Tidak perlu berfikir untuk kali kedua, memang murah sebenarnya. Tapi, kerja mengangkat pula menjadi masalah utama. Tenaga yang berbaki, entah cukup atau tidak. Hendak saja direkrut dua lagi askar simpanan. Tapi difikirkan mereka juga penat, baru usai bertempur di medan physiotherapy, semua rancangan dicancelkan.



Tiba-tiba deringan telefon Amirul memberi suasana. Katanya panggilan dari Bro Akmal, ada hal penting gayanya. Ini mesti perihal pilihan raya, kalau tidak pun pasal akademik. Mungkin juga B.O.O.M, atau seminar itu dan ini, dan seumpamanya. Tidak sah kalau dalam tempoh sejam tiada panggilan telefon, paling kurang pun pasti akan ada meseg masuk yang ring tonenya pula panjang berjela-jela. Sakit hati telinga mendengar. Kaki yang melangkah lenguh terpaksa menongkah gagah.

Sampai juga di kaki rumah akhirnya. Malang seribu malang. Keadaan mereka yang sudah tenat dibasahi keringat, disambut dengan jerkahan si penjaga Imarah. “3ayiz fulus syahr. Talatin”. Itu sahaja yang mampu ditangkap. Baki-baki katanya dianggap sebagai bunga-bunga bahasa, tidak penting. Asalkan mesegnya diterima sudah memadai. “Ma 3andinasy fulus. Kullu fuq fi sha’ah”. Balas Amirul sambil Badrul menolaknya supaya beredar.

Pasrah. Jarang sekali lif berfungsi sebaiknya. Rosak itu dan ini, dan hari ini rosak lagi. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja Badrul menjerit sekuat hati. Geram yang teramat sangat. “Sabar, hari ini tidak boleh marah-marah.” Amirul memberi peringatan. Mahu atau tidak, setiap anak tangga dinaiki satu persatu. Terkenang zaman muda-muda dahulu. Saat mereka menjadikan anak-anak tangga tempat untuk bergurau, duduk menenangkan fikiran juga tempat berlakunya penyeksaan.

Pintu rumah dikuak layu, kelihatan Saif dan Rafiq sudah terbongkang di ruang tamu. Dari postur baring, sudah jelas tahap kepenatan yang mereka pendamkan. Meringkuk bagai cacing di mata kail. Tubuh yang penat seakan-akan terubat. Suasana rumah menghadirkan rasa damai yang memukau. Beg galasnya disimpan, dan kasut juga dilemparkan. Mereka berdua juga sudah tidak sabar menumpang sekaki. Badrul mendahului sambil baju luarnya dipecat. “Sabar, aku datang sahabat!”.

“Allahu Akbar Allahu Akbar”...

Belum sempat memejam mata. Bernafas menarik nafas lega. Belum terasa lagi nikmat karpet empuk yang tebal berhabuk. Azan Zohor berkumandang. Seakan mahu dicarik-carik sahaja karpet yang baru didudukinya. Badrul melihat jam tangan. Tepat menunjukkan pukul 12 tengah hari. Lelah menaiki tangga masih belum berhenti mengahnya. Mahu saja dia buat-buat terlena, apalah salahnya. Akan tetapi bila dia fikirkan kembali dalam-dalam... Ini bukan caranya.

“Weh, cepatlah.”

“Gagah. Bangun Bad, kau bukan budak mentah.”

Hampir lima minit berhempas pulas, bergelumang dalam mainan perasaan. Penat sudah berguling-guling di atas karpet. Nafsu akhirnya tewas juga. Ia yang pada awalnya hanya mahu bersekutukan syaitan semata, kini tunduk kepada iman. Syaitan lalu mengalah, dia sedar bukan ini masanya. Ada ubi ada batas lain hari boleh balas. Tunggu saja masa lengang, saat hati manusia bukan lagi tuhan yang menjadi paksinya.

Mereka menukar pakaian yang lebih selesa. Masing-masing dengan style yang tersendiri. Ada yang berbaju melayu, ada yang berjubah dan ada pula yang bersahaja. “T-shirt round neck sudaaa...”. Tak mengapa, asalkan tidak bersarungkan baju yang sama. Maklumlah, sudah sehari suntuk “berjalan” di bumi mesir ini. Tempoh yang cukup lama untuk menghasilkan sebaldi penuh titik-titik peluh. “Berjalan”. Sebab itulah mereka naik teksi.

Rafiq, sudah awal-awal lagi menekan butang lif. Malangnya tak berfungsi. Dia yang lengkap berjubah, terjerit-jerit dari tadi menggantikan iqamah yang belum lagi berbunyi. Padahal ketika itu, Badrul masih lagi belum berwuduk. Badrul memang selalu lewat. Gerak gerinya memang selalu lambat. Alasannya mahu menghayati setiap perilaku. Baginya, untuk mendapatkan kekhusyukan, jangan pedulikan semua gangguan.

Badrul masih terganggu. Fikirannya masih belum jauh. Tumpuannya untuk menetapkan niat dalam berwuduk, mendatangkan rasa bersedia untuk solat tidak berjaya. Dia seakan-akan dipukau, dipateri akal bersama matanya. Air yang mengalir keluar dari kepala paip pun dilihatnya seolah-olah menari. Cara pandangannya, tidak jauh umpama seorang remaja yang terpegun lama dek keayuaan gadis pujaan.



Barukan air sudah terliur, inikan bidadari bagaimana reaksinya nanti. “Hoi, cepatlah! Aku sumbat hidung kau dengan batang penyapu kejap lagi.” Dengan tiba-tiba, datang satu suara. Pincang bayangan si anak gadis. Kini suara Saif pula yang berfrequency tinggi. Badrul tidak mampu berkata apa-apa. Tidak perlu rasanya dibazirkan tenaga untuk bersuara. Dia menyegerakan wuduknya, takut-takut imam sudah memulakan rakaat pertama.

Diringkaskan cerita, petang sudah hampir menutup kisahnya. Para Muazzin mungkin sudah mematikan bacaan radio bagi memberi izin laluan untuk azan berkumandang. Lima minit lagi, hari esok akan bermula. Keempat-empat mereka semua sedang lalai membuang masa. Facebook masih lagi terbuka, ada juga yang sibuk membalas YM orang-orang di Malaysia. Rafiq pula tidak kurang kontranya, daripada Ustaz Azhar Idrus hinggalah Ustaz Hasrizal. Ustaz-ustaz yang berbeza, tetapi paksinya sama.



“Allahu Akbar Allahu Akbar”...

Azan yang pertama berkumandang. Azan dari Muazzin Mekah, merdu suaranya. Datangnya dari software laptop Badrul. Selang beberapa detik, azan dunia nyata pula bergema. “HAHAHAHAHA...” Masing-masing melonjak hatinya ketawa, menandakan sangat gembira. Mahu dizahirkan apa yang dirasa, takut tampak seperti empat monyet yang bersaudara. Betullah seperti yang terkata, kegembiraan orang yang berpuasa terletak ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

Hebatnya perasaan ingin mengawalkan berbuka, hinggakan mampu menghentikan semua kerja-kerja yang tadinya sibuk melalaikan mereka semua. Bajetlah. Padahal masing-masing lapar, dahaga yang tak terkira. Tidak mengapa, InsyaAllah pahala tetap dikira. Dari lemah terus bertenaga, dari perlahan terus tergesa-gesa, dari nasihat-menasihati terus mampu bergerak sendiri. Itulah kuasa, mahu berbuka.

Amirul, Badrul, Saif dan Rafiq. Masing-masing meluru ke dapur, walaupun tiada sebarang lauk untuk berbuka. Keadaan air yang tidak menentu alirannya, kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada. Tidak mengizinkan mereka memasak pada hari itu. Tak mengapa, memadailah berbuka dengan air mineral sahaja. Itu sudah biasa bagi mereka. Selalunya air mineral yang dibeli akan disimpan di dalam tong khas. Bekas simpanan air khas dalam rumah mereka.



Azan masih berkumandang dan masih belum sampai pun pada pertengahannya, tetapi mereka berempat sudah siap dengan cawan masing-masing. Amirul, Badrul, Rafiq dan Saif. Semua duduk mengelilingi tong air. Pusat berbuka rumah mereka. Ternampak kemanisan ukhwah yang cuba dipaparkan. Dari situ muncul kegembiraan yang tiada siapa tahu. Bukan senang menyatukan semua wajah-wajah bersama.

Maklumlah kelas tidak sama. Sekejap dia ada di rumah, kejap yang ini pula tiada. Semua sibuk dengan kerja masing-masing. Ada yang menjadikan mesyuarat sebagai hobi, ada yang sibuk dengan urusan musyrif sana sini, ada yang keluar menyelesaikan masalah batch sendiri, ada juga yang menyibukkan diri dengan social networkingnya membawa diri. Tapi hari ini, semua duduk berkumpul pada waktu dan tempat yang sama. Gembira dan sangat menarik untuk dibuat cerita dalam entry blog kali ini.

Mata mereka saling memandang memerhati gerak-geri masing-masing. Semua masih belum berbuka. Lima minit berlalu dengan hampa. Akhirnya seorang dari mereka bersuara, “Dahaga”. Akibat lama sangat menanti, Rafiq akhirnya mengalah dan mendahului yang lain mengambil air. Dia tekad menjadi yang pertama berbuka. Sebaik saja melihat tindakan Rafiq yang terburu-buru ingin mendapatkan air, Badrul lebih awal menghulurkan tangannya. Senyum dia kepada Rafiq.

Inilah yang dikatakan dengki, sengaja mahu cari pasal. Tadi yang lengang tidak mahu ambil air, sekarang pula mahu berebut. Saif tidak mahu kalah, ditempisnya semua tangan-tangan yang menghulur. Dengan muka bengisnya yang tersendiri, Saif Bangkit mengasari. Amirul juga sudah tidak tahan. Dia yang dari tadi diam mula berdiri. Diangkatnya tong air dan dibawa masuk ke biliknya. Pandai.

Amirul ketawa seorang diri. Dia dengan bangganya berdiri di muka pintu biliknya, sambil mencekak pinggang. “Berebut lagi, tengok siapa yang hero! HAHAHAHAHA”. Mereka yang lain terdiam seketika. Tak sangka, begini rupanya. Bukan disebabkan terpegun dengan tawa Amirul. Sebaliknya mereka hairan, bagaimana Amirul mampu mengangkat sebuah tong air selebar screen laptop 15 inchi dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Badrul mendekati Amirul dan berlalu sebelahnya. Dia merapati tong air dengan wajah yang penuh bingung. Terlintas dalam hatinya bayangan air yang dibelinya petang tadi. Apakah... Saat itu jarum saat berlalu dengan sangat perlahan. Kelipan-kelipan mata yang memerhati gelagatnya tidak bergerak sementara. Hanya kedengaran bunyi degupan jantung yang laju bekerja. Badrul duduk dan meletakkan cawannya di lubang buangan air. Sebaik ditekan,

“Aaarrrrggghhh...”

Hanya titis-titis air yang keluar. Terkesima dengan keadaan yang menyeksa, Saif segera menyarung seliparnya dan beredar keluar dari rumah. Rafiq tahu ke mana hala tuju Saif. Amirul yang tadinya berlagak paling berkuasa cuba meraih simpati Saif. Dia bertanya ke mana hala tuju Saif namun tak dijawab. Rafiq kemudian membalas “Taimiyah”. Badrul yang bersungguh-sungguh cuba mendapatkan baki-baki air yang tersangkut di penutup tong berputus asa kemudian turut serta ke Taimiyah.

Usai mengerjakan solat fardhu maghrib. Badrul sempat mencuri masa melapangkan fikirannya. Dia menjadikan tiang sebagai sandaran, sambil sendi-sendi kakinya direnggangkan. Ruang masjid kini kosong berikutan hampir keseluruhan jemaah sudah pulang. Ini menjadi peluang terbaik untuknya mengumpul sepenuh tumpuan menjana fikiran. Sambil memerhati seluruh penjuru ruang solat, tiba-tiba datang satu idea berlegar-legar di kepalanya. Tidak lain topik layaran mindanya hari ini adalah berkenaan “air”. Terbang!

**********

Dari cerita Badrul, aku ternampak satu perkara. Perkara yang sebenarnya utama dan jarang-jarang kita simpan dalam kepala, bahkan kita anggap ia sia-sia, malah selalu kita melupakannya. Ia merupakan salah satu dari cabang-cabang rahmat yang kita semua rasa. Mungkin akan ada yang terlepas pandang jika mereka hidup dalam hujanan kemewahan, dan timbunan gunung-gunung harta.

Air. Itu akar idea yang utama. Hanya tiga huruf, pendek dan mudah untuk menyebutnya. Sepatutnya, lebih ringkas perkataan itu lebih mudahlah untuk kita menterjemah dan lebih kecillah topik perbincangannya. Tapi ini tidak. Kurniaan Allah ini terlalu lebar untuk diterangkan dan terlalu besar untuk diperincikan. NikmatNya sangat banyak untuk diperhitung satu-persatu. Air adalah nikmat yang terlalu besar jika kita fikirkan sebetul-betulnya.

Bukankah dalam segala penciptaan itu ada tanda-tanda kebesaran tuhan bagi mereka yang berfikir? Maka tugas kita hanyalah berfikir. Aku juga sedang berfikir dan kamu juga perlu berfikir, aku tidak mahu menghurai panjang. Mencoret kisah pun sudah cukup susah apatah lagi menghuraikan nikmat yang luasnya tidak diketahui penghujung tintanya.

~Daripada air, bermulanya kehidupan. Malah dengan air kehidupan terus berjalan.~

Dan kami turunkan dari awan air hujan yang tercurah dengan hebatnya. Untuk kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tanam-tanaman. Dan kebun-kebun yang rendang.
Surah An Naba : 14 - 16

Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah kami yang menurunkannya? Sekiranya kami menghendaki nescaya kami menjadikannya asin, mengapa kamu tidak bersyukur?
Surah Al Waqiah : 68 – 70

Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air dari langit untukmu, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun –kebun yang berpemandangan indah? Kamu tidak akan mampu menumbuhkan pohon-pohonnya. Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Sebenarnya mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran).
Surah An Naml : 60

Wednesday, 1 December 2010

Little Reminder for Yatafakkarun

Katakanlah (Muhammad) "Siapakah tuhan langit dan bumi?" Katakanlah "Allah". Katakanlah "Pantaskah kamu mengambil pelindung-pelindung selain dari Allah, padahal mereka tidak kuasa mendatangkan manfaat mahupun menolak mudharat bagi diri mereka sendiri?" Katakanlah "Samakah orang yang buta dengan yang dapat melihat? Atau samakah yang gelap dengan yang terang?" Apakah mereka menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaanNya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?" Katakanlah Allah pencipta segala sesuatu dan Dia tuhan yang maha Esa, maha Perkasa.


(surah ar-Ra'd : 16)



Wednesday, 24 November 2010

Marah Tidur = Depresser


Angin baru je reda. Maklumlah baru lepas solat asar di Gami3 Ibrahim. Tadi memang panas. Kalau bab bayar tambang teksi, Badrul auto lari awal-awal. Malas nak cakap banyak-banyak. Tapi kali ni naik sorang-sorang. Aduh, memang dia jungkit-jungkit bahu, buka mulut luas sikit, sambil kelip-kelip mata. Geleng-geleng kepala dan final “ana ma fahimtush” (aku tak faham). Tiga genih pun settle. Malas nak gaduh punya pasal. Teksi itu berlalu dan hilang lima meter kemudian. Hanya tayarnya yang ditinggalkan. Hairan.

Hari ini hari Rabu. Hari MTD sedunia. Dia meraikannya dengan sarungan stokin baru. Akibat terlalu sayang dan tidak mahu berpisah, stokin dibawa bersamanya dalam poket seluar. Entah kenapa, kasut seolah-olah dianak tirikan. Ketika solat kasut ditinggalkan betul-betul di belakangnya memandangkan ada tiang besar di situ. Bagi memastikan kasut selamat kadang-kadang ada yang terlalai dalam solat. Ruku3 dan sujud. Mata dan kasut.

Tidak indah solat sekiranya tidak disertai zikir dan doa. Alhamdulillah, pujian bagi Allah disertakan pada awal doa memandangkan kasut masih ada. Habis je urusan menghadap tuhan, terus dia sarungkan stokin. Ada lagi bau kedai yang tertinggal walaupun dah separa hari guna. Paling je ke belakang, jemaah semua dah hilang. Inilah ironinya bumi Mesir.

Seluruh ruang masjid lengang tidak berpenghuni. Rasa seram mula meresap ke dada. Dia penuh hairan memerhati seluruh penjuru masjid. Apa yang dilihatnya jauh berbeza dari masa dia tiba. Karpet yang melintangi lantai lusuh dan berlubang merata-rata. Mashaf yang berbaki semua sudah tertanggal kulitnya, penuh debu bagai lama sudah tidak dibaca. Bajunya dimasukkan ke dalam, sambil lipatan seluar dijatuhkan. Sekali lagi dia berpaling ke belakang, dengan kasut-kasut dia pun hilang!


Ya Rabb. Masa tu, kalau dia tak waras memang awal-awal lagi dia koyakkan stokin. Macam tiada function. Apalah gunanya stokin yang selesa, kalau kasut nak disarung pun tiada. Kasut di sini bukan seperti di sana. Kalau tidak di rak, tak hairan solat bertemankan selipar. Paling jarang jumpa di Malaysia, tapi selalu praktik di sini solat sambil kasut di hujung kepala. Bagi pelajar Malaysia, rumah kasut yang paling selamat dan selesa hanya dalam beg, atau “syanthah” dalam bahasa arabnya.

Tapi hari ini dia terlupa. Nak buat macam mana? Dia bukannya perancang yang paling berkuasa.

Badrul bukanlah orang yang gagah. Hari ini dia tewas. Mulanya dia masih berharap ada insan yang tersalah sarung, atau mungkin meminjamnya untuk melepaskan hajat. “Tak mengapalah, nanti kasutku akan tiba.” Berbisik untuk diri sendiri lebih baik dari maki-memaki. Cukup lima minit, masih belum tercium lagi bau kasut inikan nak terlihat kelibatnya. Mata mula jemu, asyik merenung kawasan peninggalan kasut yang tidak berpenghuni kembali.

Waras masih lagi bersamanya. Boleh saja dia sarungkan selipar dan berlalu pergi. Lagipun itu selipar wakaf, tidak bertuan. Mujur bayangan dosa menghalangnya. Terbayang dalam kepalanya, takut-takut setiap langkahnya diheret dosa bersama. Syaitan tidak berjaya kali ini. Cukuplah tebal stokin menjadi alas kaki. Marahnya belum reda. Sejak dari bangku sekolah, dia cukup pantang kalau kasutnya hilang. Mana tidaknya, semua kerja akan terbatas.

Dia tanpa berfikir panjang terus berlari mendapatkan teksi. Teksi yang menuju ke rumahnya terletak di jalan bersebelahan. Apakan daya, matanya yang sering gagah menangkap tubuh litup wanita, dysfunction ketika itu. Sebuah keretapi yang besar pun terasa kecil, malah dia sendiri pun tidak tahu yang keretapi itu bergerak lebih laju dari langkah kakinya. Walaupun dia cuba mengelak, tapi dia merasakan keretapi itu mahu mendekatinya dan menariknya. Semuanya sudah terlambat untuk itu. Detik yang berbaki hanya membolehkannya bertashahhud. Malang, dia benar-benar dirempuh. Dunianya berubah menjadi gelap, dan alam makin hilang bunyi-bunyinya satu persatu.

Sedar-sedar dia sudah terbaring di katil. Sahutan kawan yang menggerakkan. “Hidupkah aku? Matikah aku?” Dia sendiri pun ragu-ragu. Yang benar-benar pasti, ini rumahnya. Juga katilnya. Otak cuba memainkan kembali peristiwa terakhir yang menimpa. “Oh tidak! Rupa-rupanya aku..”. Terus dia menyelak selimut yang menutupi kakinya, apakah ia masih ada? Alhamdulillah.

“Itulah tidur lepas asar lagi.”

Saturday, 13 November 2010

La Tahzan InnAllaha Ma'ana

Langit sungguh cerah hari ini. Biru dan berawan jarak. Sangat cantik dan menjadi simbol damai bagi seorang pelukis. Dalam pada itu, lewat si Camar terbang mencari jalannya pulang. Mahu diri menjadi bebas sepertinya.

Matahari pula memancar dengan ceria cukup untuk mengeringkan pakaian yang basah pada paginya. Si ibu pun lantas gembira. Adakalanya keluar lewat dan terkadang terawal pula. Namun tidak pernah tiada.

Angin pula sentiasa bertiup membawa tenang dalam dingin lalunya. Dari situ muncul pula rasa indah dari tari-tari pepohon yang berdiri sebelah menyebelah. Di situ terlahirlah gembira dan pohon itu menjadi teduhan istirehat buat yang kepenatan.

Petang itu, segalanya bagai muda. Aku gembira.

**********

Oh tidak. Langit mengapa engkau kelam? Aku lihat riakmu penuh kemarahan. Engkau benci pada aku kah? Tolong, bawakan awan yang dahulunya menjadi igauan si pelukis. Biar ia menutupi wajahmu, aku bimbang. Bukan halilintar yang aku pinta.

Camar, ke mana engkau menghilang? Terbanglah, bawa aku sama keluar dari sini. Sudah lupakah engkau untuk berpatah balik ke mari? Kamu juga mentari. Aku tahu kamu ada di balik tirai ini. Tapi mengapa engkau tidak menampakkan diri? Tiada gunanya menyombong diri. Kamu tahu, si ibu sudah merengek menantimu setiap hari.

Kalau tiada, panggilkan aku angin. Kalau dahulunya kamu diangkat sebagai kenderaan, tapi kenapa kini tak mampu menerbangkan sepi? Habis, apalah nasib pepohon itu tadi? Engkau mahu biar dia bergoyang sendiri?

Syukur padaMu tuhan, Kau masih menemani.

"Dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit dan dengan air itu, dihidupkanNya bumi yang tadinya sudah mati. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran)."
Surah An Nahl : ayat 65

Saturday, 6 November 2010

Tolong Jangan Bunuh Diri



Bilamana dia mendapati keputusan peperiksaannya tidak mampu melayakkannya medapatkan biasiswa, mata yang berkaca jernih mula bertukar merah. Hatinya remuk bagai dihimpap awan berat yang gelap. Terbayang jutaan beban. Saraf di kepala tidak lain hanya bertambah seliratnya, bingung dan keliru. Saat itu, kata-kata hanya berlegar di luar gegendang telinga. Ia tidak mampu mengaktifkan impulse ke otak untuk mentafsir sebarang stimulus luar.

Nasihat dirasakan tidak berguna. Teman bagaikan sudah hilang kuasa magisnya. Ibu dan bapa pula berusaha sepenuh tenaga menggoncang tubuh anak itu sekuat-kuatnya. Membangkitkan “rohnya” dari lena yang tidak menyenangkan. Tiada daya tanpa dari tuhan yang memberi kuasa. Hampa, itulah keputusan akhirnya. Berhempas pulas tidak kenal lelahnya, namun jawapannya masih sama. Anak itu tenggelam dalam pemikirannya.

Dia menghampirkan diri ke ruang jendela. Melonjak untuk melihat dunia buat terakhir kalinya. Itulah kemuncak imannya  dan itulah kemuncak sadisnya. Jarang sekali otak berfikir untuk kali kedua. Mungkinkah dihidupkan ke dunia semula? Tidak, bagi mereka yang mengetahui amaran dari tuhannya. Kaki segera menongkah keluar, berpijak hanya di angin rata. Akhirnya, kebuntuan menutupi jalan penyelesaian. Jatuhlah dirinya, gugur bersama imannya.

Tidak,

Belum sempat untuk itu. Nyawanya tidak bernoktah pada pertengahan. Syukur, ada juga insan yang menghalangnya dari jatuh bersama dosa. Kekesalannya yang nyata, bakal mengundang murka tuhannya. Bunuh diri bukan penyelesaian yang berguna, tetapi pemberat mizan percuma untuk pencari dosa. Mujur, ada yang sedar akibatnya bunuh diri dalam agama.

Mereka yang saling berpandangan, berpelukan dan akhirnya mencapai kehangatan percintaan. Jelas bukan dalam ikatan pernikahan, bahkan jauh pula timbal balik antara nikmat dan amalannya pada tuhan. Bukan tidak tahu, tetapi tidak mahu endahkan. Cinta yang ditinggikan dari cinta kepada tuhan, hanya cinta yang melalaikan dan pasti tidak akan kesampaian. Dan mereka ini tidak lain hanya menempah satu lohong dari lubang-lubang neraka.

Bukankah ia juga bunuh diri yang nyata? Dan kenapa tiada siapa yang menghalangnya?

“Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangannya, maka sekiranya dia tidak mampu maka cegahlah ia dengan lisannya, dan sekiranya kamu tidak mampu maka cegahlah ia dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.”

Hadith riwayat Imam Muslim

Wednesday, 3 November 2010

Ibu Dan Kasihnya

Ini adalah warkah cinta seterusnya
Ingin anakanda tujukan khusus untuk ibunda
Iramanya samar-samar dan kurang sekali anakanda cipta
Intisari yang membuat mulut terdiam, tak lalu melafazkannya
Indah lagi jika ditulis sebegini rupa dan di baca agaknya
Input dan output sama-sama kita teroka
Ingatan untuk anakanda dan kakanda adinda semua

Berselang tahun demi tahun berlalu merubah isi dunia
Bahkan jiwa muda dilentur menjadi semakin bernyawa
Baik-baik itu untuk kami, bagus-bagus yang ibunda beri
Bukan mudah menyalur kasih tanpa berduka
Bumi takkan subur hanya dengan matahari memancar setiap masa
Belum lengkap tanpa hujan yang menyirami debu-debu kering di wajah dunia
Benih bertebaran dan tercampak jauh sebaik angin datang bertiup
Begitu lakarannya jelas untuk semua
Bahagia adalah kitaran teriknya mentari yang mendidik
Bersama simbahan duka yang sebentar
Bagi duka ada tiupan hibur yang menjadi gelak tawa
Bagi kami itulah bahagia
Bukan gembira dan ketawa yang memakan masa
Bahagia itu tak terasa tanpa duka  dan didik yang menemani sama
Bererti tidak akan kenal bahagia selagi tidak muncul duka
Bersyukurlah kami dikurniakan dunia yang sempurna
Berbolak balik tapi masih lagi gembira
Bi Iznillah untuk selamanya

Untuk itu dalam pinjaman masa yang singkat ini
Ulang kali ingin anakanda ucapkan
Untuk ibu kami Nor Lela Binti Ibrahim
Uhibbuki fillah, bahibbik awie giddan Ba3da Allah wa Rasululullah
Ucap selamat dan doa untuk ibunda sepenuh hati kami panjatkan
Untuk kemurahan rezeki yang berpanjangan
Untuk ibu, terima kasih yang bersangatan

“Ya Allah Ya tuhan kami, Ampunilah dosa-dosa kami dan kedua ibu bapa kami dan peliharalah mereka berdua sebagaimana mereka memeliharaku dari kecil”

Tak prepare apa-apa. Masa dah sempit. Ampun sebab tak dapat jadi anak yang baik. Tapi tengah usaha ke arah itu. Semoga ibu murah rezeki, berjaya dan senang dunia dan akhirat, fi marhdhatillah sepanjang masa. Amin.

Tuesday, 2 November 2010

Sejenak Untuk Hari Esok



“Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata, “Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?”. Dia berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Surah Al Baqarah : Ayat 30

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin pasti akan ditanya mengenai kepimpinannya.”

Hadtih riwayat Imam Al Bukhari dan Al Muslim

Allah
Down dengan diri sendiri
Rasa bersalah setiap masa
Kerja timbun macam tak ada
Layak atau tidak lagi tak percaya

Allah
Keluh berkali-kali
Betul ke ini semua
Only Allah knows
Things we did not know
Alhamdulillah

Kawan
Sangat perlukan sokongan kamu semua
Kurang boleh ditambah
Salah boleh dibetulkan
Cuma yang menegur masih belum muncul