
Wednesday, 25 August 2010
"War" atau "Taqwa"

Tuesday, 17 August 2010
Ubat Kasih Kuat

Nama : Tautan Hati
Jenis : Rohani (Tablet)
Pengasas : Fatimah Syarha Mohd Noordin (Sudah berkahwin)
Pengilang : Telaga Biru Sdn Bhd
Berat Bersih : 785 Gram
Dos : 3 Bab setiap hari (tua) 5 Bab setiap hati (remaja) 1 Bab setiap hari (kanak-kanak)
Masa Penggunaan : Sesuai di ambil sehari selepas Sijil Pelajaran Malaysia tamat, Sebelum melelapkan mata, Menanti ketibaan komuter, Cuti akhir tahun, Elakkan sewaktu pembelajaran sedang berjalan atau ketika memandu
Kesan Sampingan : Mengurangkan pendarahan hati, membantu mengawal pernafasan, mengawal kenaikan darah yang mendadak, menyahtoksin dengki dan iri hati dari badan, meningkatkan tenaga rohani, melancarkan perjalanan pemikiran, memberi kelegaan pantas, merawat penyakit jiwa yang serius (khusus untuk mereka yang ingin mencari Kekasih)
Tarikh Dikilangkan : 2006
Tarikh luput : Dimakan anai-anai, kecurian atau kehilangan, dilupakan
Kandungan : Halaqah, Cinta Kerana Allah, Adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan, Kriteria-kriteria wanita solehah, Al-quran dan Hadith
Nasihat doktor :
Amalan pemakanan Tautan Hati setiap hari dapat membantu mengurangkan masalah hati, sakit-sakit dengki berjangkit dan tekanan darah tinggi. Segalanya daripada Allah, ini hanya usaha mulia. Sebarang kesan sampingan yang mengganggu hendaklah dilaporkan dengan segera sekiranya menjejaskan kesihatan.
Jangan serahkan ubat ini kepada sesiapa yang kurang dipercayai. Adik anda juga mungkin berisiko menghilangkannya (seperti yang berlaku kepada saya).
Ubat ini telah diluluskan oleh Kementerian Kesehatan Malaysia
Friday, 13 August 2010
Pemergian Didatangi

Malam ini malam terakhir dia di rumah kami. Entah berapa lama masa yang telah aku luangkan bersamanya, aku pun tidak tahu. Yang pastinya, dia amat tertarik kepadaku. Mungkin ada perwatakanku yang memikat perhatiannya sedang tidak kusedari. Sinar petang yang suram kian menghilang, menanti waktu pengakhiran. Maghrib pula menyusup masuk perlahan-lahan. Dan sedang kami asyik bersalam perpisahan;
“Assalamu3alaikum”
Kedengaran seperti ada suara insan memberi salam. Nampaknya dia sudah tiba fikirku. Ingatanku hanya berpaut padanya, seorang tetamu yang pernah berkunjung ke rumahku pada tahun lepas. Lantas, aku segera mendapatkan kunci dan berlari anak ke muka pintu. Dari dada pintu aku mengintai dan ternyata sangkaanku benar.
Aku menghirup nafas dalam-dalam, menghilangkan gementar dari diri. Tenang, itulah yang aku cuba cari. Di balik pintu aku memperkemaskan diri, menyisir rambut menjadi rapi, membutangkan baju hingga penuh dan ditambah pewangi. Ialah, siapa yang tidak begitu jikalau yang datangnya bukan calang-calang tamu. Lampu luar kunyalakan. Cahaya terang menerangi langit maghrib.
“Wa3alaikumussalam... Ahlan Ya Habibi. Ahlan. Shobri, kau sihat?”
Aku memberanikan diri menguak daun pintu. Secangkir senyuman ku lemparkan, salam menyambut kedatangan. Dari kaki hingga ke muka puas aku merenungnya. Wajah dia betul-betul di depan mataku. Sesaat melihat wajahnya, aku tergamam seketika. Rasa sedikit sayu pun ada. Dia turut bergenang air mata, begitulah rindu aku padanya. Kami memeluk erat sesama sendiri dan sesudah beberapa saat baru terlerai.
“Alhamdulillah sihat. Kau seorang je ke kat rumah?”
“Eh, tak adalah. Ni, ada membe aku sekali, Ismun. Dia dah lama ada kat sini, dah nak balik dah pun.”
Aku berpaling ke belakang mencari kawanku. Tetapi hairan, dia sudah tiada di tempatnya. Namun sebaik sahaja aku menoleh ke hadapan, dia sudah berada di sebelah kiriku. Meremang bulu romaku, dingin yang tiba-tiba. Nampaknya dia sudah mahu beredar. Aku hampir terlupa tentangnya sedari tetamuku sampai.
Aku memimpin tangan Shobri, menariknya masuk ke dalam rumah. Dan pada saat itu, Ismun turut berlalu keluar. Dengan serta-merta, segala gerak-geri terasa amat lambat jadinya. Terasa bagaikan ada pertembungan dua aura yang berbeza. Yang satunya gelap lagi satu bercahaya. Ismun dan Shobri berlaga bahu di muka pintu. Ismun tidak menoleh ke belakang langsung. Dia melangkah pergi tanpa sebarang kata.
“Aku ingin solat dulu ya. Sudah masuk maghrib.”
“Ooo. Ok.”
*****
Tulisan tanpa makna.
Oh, Ramadhan! Ramadhan datang lagi. Panggillah dia masuk, jangan dibiar tercegat. Marilah ke mari, aku sudah lama menanti kamu. Minta maaf ya. Persiapannya sedang-sedang sahaja. Aduh, tetamu istimewa diberi layanan biasa. Kenapa ini? Lain pula ceritanya kalau yang datang si Raja.
Hanya orang yang merindui Ramadhan akan menangisi pemergiannya. Bagaimana rasanya rindu pada Ramadhan? Apa? Kamu tidak sedih langsung? Kenapa kita sama? Maknanya...
Tuhan, jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang bermakna.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah Al Baqarah : 183)
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya di turunkan Al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah...”
(Surah Al Baqarah : 185)

Sunday, 25 July 2010
Pencarian Nafas Cinta
Benar. Ini semua salah. Aku yang memulakan dahulu. Gara-gara nama manusia tidak habis-habis nafsu bertuhankan begitu sahaja. Ialah, akulah antara satu daripadanya. Memang, aku jahil. Aku tidak mengerti. Darah muda mengalir dalam tubuhku ini diusap racun-racun kawan yang sebarisku. Dia dan aku sama sahaja. Buruk baiknya aku juga yang menilai.
Entah aku rasa dia ini lain ceritanya. Dalam puluhan jiwa yang turut serta, gayanya lebih menarik minatku. Tidak terlalu menonjol, dan tidak pula terlalu terasing. Berbaju kurung sahaja, kadang-kadang kebaya. Entah, aku cukup senang memerhati gelagatnya. Manis orangnya, biarlah orang kata apa. Janji bagiku dia itu istimewa.

Aduh, kalau asyik merenung dari jendela. Merpati takkan datang dengan sendirinya. Cukuplah bisikan-bisikan teman. Aku nekad, jadikan ini sebagai cubaan. Ah! biarkan segala iman dan amal diketepikan. Ingat, ini sekadar cubaan. Belum cuba belum tahu. Taringku disimpan, muka cuba memaparkan sinar kebaikan yang kononnya paling beriman.
Betullah. Dia memang lain dari yang lain. Seperti yang ku sangka. Teguranku tidak menggugat fitrah wanitanya, malah dibalas endah tak endah begitu saja. “Tiada telefon”, alasan yang membuatkanku kaku. Bungkus, aku perlu segera mengatur langkahku. Berhari mataku pinar, kaki hanya berjalan dengan sendirinya. Sedang otak melayang fikirkan dia. Entah, belum ku tahu siapakah nama.
Mari, siapa yang mahu datang ke mari. Hairan dengan suasana bingit aku melangkah mendapatkan khabar. Dari jauh ku tangkap ucapannya sepatah-sepatah. Terdengar, sayup-sayup ~yaya~. Serupa kenal nama ini. Bukan silap telingaku mendengar, itu tidak lain nama si dia. Orang yang aku ingin kenali. Tertera tiga nama di situ. Satunya Dini, dua Lili dan tiga Yaya. Di sebelahnya ada disertakan nombor telefon.
Senang kalian mendapatkannya. Konfius. Mengapa begitu mudah mendapatkan nombornya? Ah, tak mengapa yang penting ambil dulu apa yang di depan mata. Save. Hari di kem beransur sudah. Maktab menanti aku di penghujung. Bas dari Melaka meninggalkan sejarahnya di sana. Sedang yang lain sibuk mengimbau memori 5 hari, aku pula mencorak masa depan. Bagaikan tuhan, aku yang cuba mengatur segala urusan perkenalan.
Ternyata, gangguanku tidak terjawab pada awalnya. Habis dua tiga kali, pun masih tiada respon. Tak mengapalah, nanti-nanti dia balas, hati kecil menyedapkan suasana. Putus asaku masih belum berteriak. Tangan pantas mengatur ayat, alim-alim kucing lagaknya. Cuba mencairkan hatinya yang keras pada pandanganku. Dan tanpa sangkaan yang diharapkan, cubaanku berbalas.
Dia mengingatiku sedari aku pertama kali memberanikan diri. Nombor siriku juga tidak lupa dari ingatan. Dan langsung dari itu, aku cuba mencari titik rapat yang menjauhkan jurang aku dengan tuhan. Dari bualan kosong, aku sedaya upaya membuang kisah-kisah lama. Berharap hati tidak laku jika dihidang kisah-kisah biasa.
Namun, dari hari ke hari. Minggu ke minggu. Bulan ke bulan. Dan cecah ke tahun. Hidangan biasa bertukar selera. Jika dulu aku sekadar disuapkan nasi. Tapi kini aku sudah besar, nasi saja tidak memadai. Aku perlukan lauk, sedikit sayur dan sepiring kuah. Bilamana sekali berpuasa, tibanya masa berbuka dengan sajian yang tak terhitung bilangannya. Penamatnya, nasi masih di pinggan, lauk sudah dibuang dan kuah dipanaskan untuk hari esoknya. Jemu melihat nasi masih di depan mata. Tapi itulah nasi yang kau kempunankan masa tiada.
Sudah. Aku ingin melangkah ke dunia baruku. Aku sudah hampir menjangkau 19 tahun. Tuhan, aku cuma harapkan kebaikan dari bumi yang kau sediakan untukku. Tanah Kinanah dipijak, tapi aku masih melihat langit yang sama. Hanya lantainya yang berbeza. Mindaku berubah sejak di sini. Lebih terbuka agaknya. Sungguh, kesempatan aku di sini bagaikan satu kebetulan yang ditetapkanNya. Alhamdulillah.
Hati aku terpetik untuk menjadi seorang dari mereka. Mereka yang mengamalkan ajaran agama yang sempurna. Tidak, dia bukannya seorang yang baik. Dia cuma mengamalkan agama sebaiknya. Ilmu yang turun, dipergunakan. Ilmu itu ajaib sangkaanku, kerana berjaya merubah dari jahil kepada arif, dari kejam kepada zalim, dari keras kepada lembut. Inilah hasil ilmunya. Aku sedikit tertarik dengan mereka.

Credit to: Salam Abdullah
Menjadi satu keanehan bagiku melihat mereka yang mengamalkan apa yang aku sedang anuti. Benar, dia adalah islam. Sama sepertiku. Adakah aku sesat, atau dia terlampau syadid? Tidak, kamu yang masih belum sempurna. Lihat dirimu, lihat hatimu, lihat pakaianmu. Kosong. Hatimu kosong dari Dia. Mungkin pernah satu ketika kau menyebut nama Dia. Hadir dalam pertanyaan yang tak disengaja. Ah, aku bagaikan seorang yang baru kenal islam.
Sedikit sebanyak aku cuba mendekatkan diri padaNya. Dengan tiada siapa disebelahku, melainkan teman yang turut terduduk di kerusi yang sama. Kami hanya berbekalkan semangat dan sedikit ilmu lampau. Yang aku tahu, Al quran dan Hadith adalah jiwa manusia. Matinya kita dari ketidakhadiran pada kedua-dua perkara.
Kau pun turut merasa bukan? Rasa kosong dan pudar yang merimaskan. Bebanan yang menggunung jatuh menimpa. Yang terus mendatang tidak tahu mahu letak di mana. Itulah, impak dosa kita. Hati kosong yang tak bertuhan. Ditambah perasaan tidak mahu mencariNya. Ditutup pula dengan benci kepada ibadah berpanjangan. Sampaikan hati ini dikunci dengan kegilaan membuat dosa malah tidak terasa lagi bahang pedih neraka.
Alhamdulillah. Bilamana tiba satu saat kita tersentak. Aliran dosa yang kita bermandikan hilang sejenak. Mujur, tuhan masih cinta pada kita. Bilamana syaitan mula berkurang dari diri, hati pula senang tersentuh menginsafi diri. Kadang-kadang bertaut juga soalan, tuhan apakah yang kita sedang persembahkan? Soalan ini bukan bala yang Allah turunkan. Bagiku ia nikmat yang Allah nak tunjukkan. Siapakah tuhan?
Dari kecil aku akui tuhanku adalah Allah. Ibu bapa mewariskanku ilmu yang aku sendiri tidak menyedarinya. Itulah ilmu mengenal tuhan. Sains di luar pengetahuan, psikologi di sebalik pemikiran, barangkali boleh gila jika difikirkan. Tapi ia logik yang masuk akal tafsiran. Malangnya, aku tidak mengetahui di mana tumbuh akarnya, tapi aku sudah memperoleh buahnya. Itulah aku, mendapat islam dari pewarisan. Alhamdulillah.
Umur kanak-kanak adalah zaman riang yang tak terhingga. Sampaikan aku terasa ingin kekal kecil selamanya. Tapi masa diatur supaya terus berlalu, lalu si anak akan menjadi remaja, kemudian berubah dewasa dan akhirnya tua. Hebatnya yang merencana, membolehkan kita semua merasai zaman kanak-kanak dengan adilnya. Tiada yang tua selamanya, tiada yang kekal kanak-kanak selamanya.
Dari kecil, aku diajar agar mentaati Allah dan rasulnya. Sudah tentu pada usia itu aku sering tertanya-tanya “mengapa?”. Ibu hanya mampu berkata, “Sebab Allah bagi kita makan dan minum”, jawab ibuku sambil tersenyum. Jawapannya mudah, sesuai dengan usiaku yang masih tidak tahu apa-apa. Waktu itu akalku mampu menerima dengan mudahnya. Pemahamanku ringkas, “Allah memberi makan, kita memberi taat”.
Kini, aku dan kau sudah dewasa. Masing-masing hanya mahu mendominasi alam remaja. Memberi alasan mencari kepuasan, bahkan hidup gembira dengan persekitaran. Minda juga berubah seiring suasana. Kalau dulu seorang anak kecil hanya memerlukan separuh pinggan untuk puas makan, tapi kini sepinggan belum tentu dapat menghilangkan nikmat kelaparan. Samalah juga hati dan perasaan. Jika kini kita merasa kosong dari tuhan, sedarlah sebenarnya kita juga memerlukan pencarian yang lebih. Insya Allah, Allah mencari akan kita lebih dari itu.
Begitulah manusia. Jika dulu hati mudah menerima “Tuhan memberi makan, kita memberi taat”, tapi kini tidak lagi. Jiwa yang kian tahun kian membesar merayu-rayu agar diberikan santapan yang lebih. Mahu atau tidak, kita wajib memberinya makanan yang lebih. Sekiranya tidak mencukupi, pasti ia akan mati kebuluran. Mungkin saat ini ada insan yang kekurangan makanan. Lapar adalah perasaan, makanan adalah akidah kita kepada tuhan.
Allah adalah tuhan sekalian alam. Yang maha satu, yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Yang hidup dan yang mematikan. Yang kaya dan memberi kekayaan. Yang lembut dan pemaaf. Namanya jelas menceritakan perihal kuasa yang tidak ada setandingNya. Dia yang memberikan mata dapat melihat, yang membolehkan telinga mendengar, yang melembutkan jari-jari untuk menulis, yang mengurus segala tadbir diri kita yang tidak mampu kita mengawalnya.
Gunalah akal sebaiknya, kerana akal juga membesar seiring dewasa kita. Hanya mereka yang mahu mencari pasti akan memperolehi.
“Ya Allah, bantulah aku mencari redhaMu, teguhkanlah pendirianku kepadaMu. Sungguh hambaMu ini lemah dan lalai setiap waktu. Kau hilangkanlah tangan-tangan yang menarikku jauh dariMu, yang menghalangi mataku dari melihat kebesaranMu, yang menutup telingaku dari mendengar kebenaranMu. Ya Allah, bantulah umat Islam. Bangunkanlah umat islam dari mimpi yang dahsyat. Pinjamkanlah kami sedikit dari kekuatanMu. Untuk melawan nafsu”.
Sudahlah Yaya. Kesat air mata itu. Aku tak layak ditangisi. Pada Rasulullah pun kita tak dapat bermuram durja, inikan aku yang jijik kau sanggup berlelehan air mata. Tolong, jangan buat sesuatu yang tak berguna. Tolonglah, julanglah martabat kau sebagai wanita. Kuatkan diri melawan derita yang tidak sebesar mana. Sebaliknya menangislah kerana dosa. Dosa yang kita sendiri tak sangka.
Aku tahu mana silapku, tapi aku tak tahu mana jalan putusku. Adakah benar penyelesaianku? Atau tindak-tandukku terlalu terburu-buru? Sudah puas aku menghitung setiap perilakuku, hingga yang mendatang pun aku cuba melakar. Terkadang aku sendiri rasa tertipu. Putar sana, putar sini dan akhirnya aku bertemu ruang yang aku cuba larikan. Sungguh, rupanya aku terlalu jauh dengan tuhan.

Thursday, 15 July 2010
Tuhan...Jangan Kau Palingkan Hati Ini...
Monday, 28 June 2010
Membe Punya Pasal - No Hal
“Rafiq, kau tolong bayar dulu pakai duit kau. Nanti aku bayarlah balik. Ok?”
“Bayar balik, bayar balik. Hari ni je dah sepuluh kali. Kau ada bilang tak? Mendidih gak telinga aku dengar.”
“Lah, kau marah ke? Tak best la marah-marah ni. Nanti aku bayar serius!”
“Mana aku marah. Tak adalah, membe punya pasal. No hal lah! Kata biasiswa MINDEF, ni kan duit MINDEF jugak. Memang untuk kau pun. Ambiklah!”
Dengan muka selambanya, Rafiq menghulurkan 5 genihnya. Sebelah tangannya di poket seluar, sambil muka dihadapkan ke lantai kedai, punyalah tak nak pandang, sampai hulur duit tu kat pak arab. Nampak sangat tak ikhlas.
*****
“EH, cepat, cepat. Ah Long da datang.”
“Saif, tolong support aku dulu. Alah, rubu’ genih je. Kalau kau nak nanti aku bayar balik lah. No hal la kan?”
“A’ah. Kau punya pasal takde hal punya. Rubu’ genih je kan. Tak luak lah duit MINDEF ni.”
“Sehari punya hal, tak kesah la. Tapi kalau da setiap hari aku dengar ayat yang sama. Muntah gak aku kalau setiap hari balik sama ngan kau. Bertuah betul ada membe cam kau”
“Apa! Kau ada cakap sesuatu ke? Sorry la aku kurang dengar. Ada orang nga call ni.”
Monolog yang tak cukup perlahan. Mungkin disengajakan untuk bagi aku dengar kot. Takpe lah, janji mesej yang dia nak sampaikan tu, aku terima, aku faham. Paling kurang dia dah puas hati sebab apa yang dia rasa, dia berjaya luahkan.
*****
“Hai, abang Amirul yang hensem. Lama tak dengar citer lu. Sihat ke?”
“Wah, Badrul! Kenapa datang?”
“Amboi, macam tak suka je tengok aku datang. Tak, aku rindu kat kau ni, rindu gile-gile. Kau tak rindu kat aku ke?”
“Pergh, Badrul rindu kat aku. Cam tak percaya je. Ke kau rindu orang Malaysia ni? Haha, nak pakai smart voip ke? Tak payahlah susun ayat panjang-panjang. Susah-susah je, buat terbelit lidah.”
“Eh, mana tau? Kau memang hebat lah. Tolonglah. Cam biasa, nak tumpang call jap. Pinjam ye kau punya smart voip. Kau kan tokey smart voip yang baru sekarang.”
“Pinjam smart voip ye? Sekali dengan akaun aku? Pinjam lah Badrul. Aku pun da tak kesah lah. Malas aku nak marah-marah kau lagi, jemu. Apa yang kau ada? Semua benda nak pinjam, semua barang nak mintak orang.”
Badrul hanya mampu melakar wajah ceria. Sumbing sedikit senyumannya. Lengguk bahasa Amirul biasa sahaja, tonanya pula tiada menaik. Cuma isinya yang luar biasa membunuh hati Badrul. Terketuk lagi, bukan yang pertama. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdiam diri sambil tersenyum.
*****
Inilah manusia. Hidup asyik nak meminta sahaja. Tapi itu bukan salah mereka, biarkan. Yang lagi ketara, manusia ada satu kaedah komunikasi yang tersendiri. Tabiat memberi dan menerima. Yang ditekankan adalah posisi memberi. Sebab, lebih ramai yang memberi dari menerima. Betul ke?
Beri itu, beri ini. Tapi ikhlasnya pudar. Tak nampak keikhlasan di situ. Sebab itulah ada setengah pihak yang bijak. Tunjuk di kaca televisyen, temuramah di radio. Baru nampak ikhlasnya bukan?
Isu utamanya. Badrul sedih bukan keran kata-kata membina dari kawan-kawannya. Bukan kerana terkenangkan keluarga di Malaysia semata. Tapi selepas Rafiq, Saif dan Amirul berkata sedemikian rupa, timbul kesedaran dalam dirinya.
“Tuhan ini maha pemurah rupanya.”
Terima kasih untuk Iman dan Islam. Terima kasih untuk udara. Terima kasih untuk mata. Terima kasih untuk tangan yang membolehkan Badrul menulis blog. Terima kasih untuk ibu bapa. Terima kasih untuk jus mangga. Terima kasih untuk telinga.
Terima kasih sebab terus mengepam jantung. Terima kasih sebab mengawal pengaliran neuron tanpa berlaga. Terima kasih atas musculoskeletal system yang begitu complicated. Terima kasih sebab membolehkan badan menghasilkan antibody. Aku sendiri tak mampu mengawal diriku.
Dan semuanya percuma.
Terima kasih kerana membolehkan aku berfikir lagi tentangMu. Terima kasih sebab tidak membiarkan diriku jauh dariMu. Terima kasih sebab memberiku idea tentang nikmatMu ini.
Alhamdulillah.
“Dan dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).”
Surah Ibrahim - 14:34
Friday, 25 June 2010
Janji Arab vs Melayu
“Aduh, lu bikin gua panas je. Kalau tak boleh buat, bagitau je la tak boleh”.
Amirul mengadu hampanya sendirian. Dikepal penumbuknya erat. Wajahnya ketika itu tiada rupa manusia lagi. Sudah berkali-kali perkara sama berulang. Amarahnya kini betul-betul memuncak. Kedengaran pintu rumah dikuak. Nampaknya Ahli Bait yang lain sudah pulang.
“Asal ni Meer? Nampak tension je. Ada orang kacau Aisyah lagi ke?
Salam tiada, khabar pun entah ke mana, Rafiq pantas mengajukan soalan. Sejak kebelakangan ini, Amirul sering kelihatan suram, adakalanya marah tidak tentu pasal. Badrul dan Saif turut merasai perubahan dalam diri Amirul.
“Ni mesti kes orang ketiga ni, kan? Takpe Meer, banyakkan sabar. Time puasa ni kita kena tahan marah Meer. Nanti balik Malaysia nanti kita settle sama-sama. Manusia ni kalau tak bagi pengajaran sikit, tak akan sedar Meer. OK?”
Saif cuba menenangkan keadaan. Takut-takut perkara yang tak diingini berlaku. Bimbang perasaan marah Amirul, bercampur frust exam yang semakin dekat ditambah pula dengan cuaca negara ini yang panas, ada kemungkinan laptopnya melayang keluar tingkap.
“Camni lah Meer, kau pergi la ambik wudu’ dulu. Zikir-zikir sikit. Jangan study. Bawa bersabar je, manusia ni memang macam tu. Kitorang nak solat dulu, pastu kita makan sama-sama.”
Kini Badrul pula bersuara, sekadar melengkapkan kitaran perbualan. Amirul sedikit terubat dengan kehadiran teman serumahnya. Ada secubit syukur yang bertandang di hatinya. Harap-harap persahabatan mereka teguh, akrab di dalam ukhwah islamiah kerana Allah. Amin.
Perasaan marahnya sedikit-sedikit beransur pergi. Perlahan, dia mengangkat mukanya yang dari tadi muram. Wajah-wajah teman serumahnya ditenung satu persatu. Hanya satu saja respons yang diberikan.
“HAHAHAHAHAHAHAHAHA”

Rafiq, Saif dan Badrul saling berpandangan. Terdiam seribu bahasa, masing-masing dengan muka penuh kehairanan. Merasa seakan dipermainkan, Saif merangkakan sesuatu. Dalam kalangan kami, Saif dikenali dengan wajah bengis buatannya. Lantas waktu itu, dagunya diherotkan ke hadapan. Matanya memberi isyarat kepada Rafiq dan Badrul.
Badrul dan Rafiq memegang tangan kanan dan kiri. Sementara itu, Saif mengaut kolar baju Amirul. Muka mereka berempat saling bertentang.
“Apa masalah kau sebenarnya hah?”
Amirul masih belum berhenti ketawa. Geli di hatinya amat dalam. Tak sangka sampai begitu pemikiran kawan-kawannya terhadap masalahnya. Mukanya yang putih tampak kemerahan saat bergelak tawa.
“Terima kasih la atas keprihatinan korang semua. Serius, korang memang terbaik ar. Tapi takpe lah. Kalau aku nak pukul, nanti aku mintak tolong korang. Haha. Masalah sekarang ni takde kaitannya dengan Aisyah. Takde kaitan langsung. Ni masalah lain”.
“Lah, masalah apa plak ni? Tak pernah aku tengok kau marah kalau bukan sebab Aisyah. Dah banyak kali kau mintak tolong aku, kali ni memang aku on je kalau kau nak suruh aku pukul. Cuba citer sikit”
Saif menampakkan muka seriusnya yang palsu. Senyumannya berselindung di sebalik kerut-kerut dahi. Baginya paling kurang pun, seorang doktor yang berjaya perlu mendengar masalah pesakitnya dengan penuh perhatian walaupun kita ada masalah peribadi. Subjek Community Medicine kalau tak silap.
“Tak, camni. Sekarang dah pukul 3.00 kan? Semalam kan kita dah telefon Mahmoud, dia cakap dia nak datang pukul 1.00. Dia siap kata Insya Allah lagi. Tunggu punya tunggu, tak datang pun. Mana tak panas aku. Pastu aku tepon la. Dia cakap “ana gai, ana gai”. Gai, gai. Sejam tunggu, tak gai pun lagi. Pastu call dah tak dapat. Hiiisssh!”
Amirul masih marah. Dia tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah masyarakat arab yang memang lumrahnya tidak dapat menepati masa. Entahlah, kalau janji melayu pun orang persendakan. Inikan pula janji orang arab yang dipersendakan orang melayu, yang juga selalu mempersendakan janji. Fikirlah sendiri.

“Kepala dia! Cancelkan je lah Mahmoud ni. Punyalah lama kita tunggu dia ni. Nak buat, buat je la. Kalau tak nak, buatlah macam tak nak sudah. Ni cakap nak buat, tapi tak buat, masih cakap nak buat, nanti orang dah tak nak baru nak buat. Itupun belum tentu siap lagi.”
Saif makin lantang bersuara. Nampaknya dia juga sudah terbaham amarahnya.
“Ana gai, ana gai. Jemu aku dengar! Nak je aku cabut telinga aku ni, sakit hati kau tahu tak. Dalam banyak-banyak arab kat sini, dia lah yang aku jumpa paling teruk. Kalau jumpa, cakap lembut nak mati. “Aiwah, bakhallas kulli hagah. Ba’din ana gai, Insya Allah” –Aku habiskan semua jap, lepas ni aku datang-. Kalau setakat sehari dua takpe, ini dah seminggu bai. Asyik-asyik, “Sa’ah arba’ah, ba’da Isya’, bukrah, bukrah, ana gai”.
Badrul pula melemparkan bencinya. Dia sudah betul-betul putus asa dengan Mahmoud. Pemilik cafe berinternet yang juga pembekal internet di kawasan rumahnya.
“Camni lah, nanti kita telefon dia lagi sekali. Tanya dia nak buat ke tak. Kalau dia nak, suruh dia datang sekarang jugak. Kalau dia nak, tapi dia cakap, “Ba’da sa’atin ana gai”. Ada hal itulah, hal inilah. Kita cakaplah kat dia tak payah susah-susah. Cancelkan je, kan senang.”
Perkataan yang keluar dari mulut Rafiq sedikit menenangkan. Masing-masing mengangguk setuju. Nasib baiklah masih ada manusia seperti Rafiq. Kalau tidak, rugilah Mahmoud.

Sejurus selesai menunaikan solat fardhu Zohor, Amirul mencapai telefon bimbitnya. Nombor Mahmoud yang tertera di skrin telefonnya dihubungi.
“Tolonglah dapat. Tolonglah dapat. Angkat Mahmoud, tolonglah angkat!”
“Hah, dapat!”
Amirul menghulurkan telefon bimbitnya kepada Saif. Saif pula menyerahkan kepada Rafiq dan dia memberikan pula kepada Badrul. Kemudian kembali semula kepada Amirul. Telefon sudah berkali-kali bertukar tangan. Masing-masing tidak mahu bercakap. Bimbang tak faham, biasalah bahasa arab pelajar tahun satu.
“Takpe lah, bak sini aku try cakap. Bismillahirrahmanirrahim”
Badrul memberanikan diri.
“Halu, salam alaik. Amirul izayyak?”
-Amirul, apa khabar?-
“Haaa, alaikas salam warahmatullah. Lak, Badrul ma’ak. Alhamdulillah kuwayyis”
-Tak, ini Badrul. Sihat-
“Tamam?"
-Serpurna?-
“Aaa, tamam. Mahmoud, izay internet?”
-Sempurna. Macamana internet-
“Internet? Aaa, ana gai, ana gai.”
-Internet, aku datang, aku datang-
“Enta gai? ‘endak sa’ah?”
-Kau nak datang? Kau ada jam ke?-
“Aaa, ana gai, Insya Allah. ‘andi sa’ah. Leeh?
-A’ah, aku datang. Aku ada jam kenapa?-
“Kam sa’ah dilwakt?”
-Pukul berapa sekarang?-
“Sa’ah talat wannusf.”
-3.30-
“Aaa, tab’! Enta ‘arif ellenta mutaakhir khalas dilwakt. Embareh, enta ul enta gai fi sa’ah wahdah, sah?”
-Ooo, OK! Kau tahu tak yang kau dah lambat sekarang. Semalam kau cakap nak datang pukul 1.00 kan?-
“Aiwah, sah. Ana ‘arif. Ma’alisy. Sorry, sorry. Ana masyghul awie dilwakt. Insya Allah ana gai ba’da ‘asr.”
-Ya, betul. Aku tahu. Sorry. Aku sibuk sangatlah sekarang. Aku datang lepas ‘Asar-
“Ba’da ‘asr? Bigad?”
-Lepas ‘Asar?-
“Aaa”
-A’ah-
“Meshi, khalas. Kabbaruh! Miskin alaik. Ehna ‘arif kaman ellenta masyghul awie dilwakt. ‘asyan kida ehna musy ‘aizzin enta khalas. Meshi, syukran. Salam Alaik.”
-Ok, cukup. Cancelkan! Kesian kat kau. Kami tahu yang kau sibuk sangat sekarang. Sebab tu kami tak nak kau dah. Ok, terima kasih-
“Istanna, istanna. Istanna ya kabten!”
-Tunggu, tunggu-
Tuut...tuut...tuut.
Telefon dimatikan. Jawapan sudah dikeluarkan. Kini mereka sudah tiada pertalian lagi dengan Mahmoud. Mereka berpuas hati, walaupun masih tiada internet tapi sekurang-kurangnya hati mereka tenang tanpa marah-marah. Masa juga boleh dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran. Harapnya begitulah.

Keesokan harinya Rafiq menghubungi seorang kenalan arab yang kerjanya menyambung kabel internet. Tunggu punya tunggu, akhirnya dia datang. Walaupun terlewat sejam, tapi si arab ini berjaya datang. Satu perkara yang amat luar biasa. Nak dijadikan pengajaran, bukan semua manusia teruk. Serius, bukan calang-calang arab kita nak jumpa macam ni, buat kerja terus siap. Kalau boleh nak je tangkap gambar dengan dia. Tapi dia tak nak, takut.
Hampir 3 minggu mengasingkan diri. Dari musim peperiksaan modul hinggalah berpindah ke rumah baru, rindu untuk berinternet makin mencucuk-cucuk. Yelah, siapa yang tak rindukan ibu bapa, kan? Petang itu, barulah mereka dapat merasai nikmat internet. Nikmat?
Itulah, bila kita jauh dari ibu bapa. Sedih je rasanya, macam ada yang tak kena. Lebih kuranglah cerita internet ini dengan perihal kita. Bilamana hati dah jauh dari Al-quran dan Al-hadith, tuhan yang ada di mana-mana pun kita akan rasa jauh. Kenapa pula masa itu, kita tak mercari-cari, meminta-minta agar dibekalkan “internet”. Na’uzubillah.
Sudahlah merapu panjang. Lama tak menulis. Pengajaran, kalau dah berjanji kita wajib menepati. Ingat, salah satu tanda orang munafiq adalah apabila dia berjanji dia mungkir. Jangan jadi macam sesetengah melayu, atau pak arab ni. “SESETENGAH” perlu ditekankan. Kat mana-mana tempat pun, ada orang baik, ada yang kurang. Kita jangan sibuk-sibuk nak menilai orang. Sebaliknya kita cuba perbaiki diri kita sebaiknya. Ola...
“Wahai orang-orang yang beriman! penuhilah janji-janji...”
(Surah Al-Maidah 5:1)
“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya”
(Surah Al-Isra’ 17:34)

