Tuesday, 1 March 2011

Hidup Umpama Dedaun


Tengok! Ini dia. Dahulu ia pernah berada di atas pokok. Tinggi melangit untuk kita mendongak melihatnya. Berpuluh-puluh hari yang lalu, hidupnya bermula daripada sekecil-kecil duit sekupang. Hari demi hari ia bertambah besar dan usianya semakin matang, malah bentuknya juga menjadi semakin panjang. Hinggakan pada suatu masa saiznya menyamai sebuah tapak tangan.

Hari ini? Tertutup sudah pintu sejarah hidupnya. Tercabut sudah nyawa dari ibunda. Tubuh yang coklat kekuningan itu terbang dibawa angin. Terbangnya bukan semakin tinggi, tapi meletakkannya bermakam di bumi. Ingat, si pengemis yang berteduh suka memerhati. Kadangkala, kisah daun sebegitu mampu memberi seribu inspirasi. Dalam kepenatan ada peringatan buat diri.

Ini cebisan daun yang mati. Reput, berlubang, kering, terjatuh dan rapuh. Kerut dan urat-urat tuanya begitu jelas ketara. Sekali digenggam ia hancur seribu. Dia mencapai daun yang lebih muda. Kasihan, bertemu ajal tatkala masih muda. Si pengemis tahu, asal hidup daun itu bukan di tanah. Nun tinggi di atas dahan itu lahirlah ia. Jutaan saudara maranya banyak berjasa buat pengemis. Buat teduhan dan singgahsana yang semulajadi.

Segala yang jatuh menyembah bumi hari ini, dahulunya pernah merasai tingginya langit. Pernah juga merasa ancaman serangga menggigit. Baru dia tahu, perit rupanya hidup. Bukan sekadar enak menjamah matahari. Tidaklah semudah menghirup air dari bumi. Mereka juga diuji. Luruh. Gugurnya sedikit-sedikit ketika ditiup angin. Tapi jatuhnya berganti. Kini mereka juga daun-daun yang hidup dalam generasi alaf baru.

Hanya mereka yang terdahulu tahu kisah pohon yang lalu. Wajah mereka serupa, tapi tidak bererti mereka sama. Al Baqi itu hanya layak untuk yang Esa. Daun juga tidak menyangka bila Izrail akan berkunjung tiba. Tidak semua berakhir dengan usia tua, ada yang ditimpa malapetaka. Disentap manusia. Ada yang diserang penyakit, tersumbat salur xylem phloem. Tidak lupa juga ada yang menjadi buah rezeki kepada binatang herbivor juga omnivor.

Mereka terus diganti, dan berganti baru. Dahan ini tidak pernah kosong dengan penghuni. Hanya bangkai lama dari tubuh nenek moyang mereka menjadi pengajaran buat diri. Menjadikan di daun hamba yang paling bijak di antara mereka dengan melazimkan diri mengingati mati.

Akhirnya, kitaran ini pasti akan terhenti. Tiada lagi pengganti setelah daun terakhir mati. Pada saat itu bumi yang mereka duduki telah lanjut usianya. Akibat terlalu asyik mengejar langit, mereka merasa puas apabila berdiri semakin tinggi. Mereka terleka. Dahan yang mereka duduki juga tidak bersifat abadi. Maka di situ bernoktahlah kisah pohon yang tinggi.



Orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati dan bersedia menghadapinya...kan?

Sunday, 27 February 2011

Realiti Cinta Beragama

(Klik untuk play lagu. Pause lagu yang mengganggu kat side)



Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

(Surah Ar Rum : 21)



~tak dapat meng'google' search hadith dengan lengkap~

mafhum hadith:

Barangsiapa yang bernikah maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan sebahagian dari agamanya, maka bertakwalah kepada Allah untuk menyempurnakan sebahagian lainnya

*Kepada semua pasangan yang telah, sedang ataupun yang AKAN bernikah, barakallahi alaykum. Banyak-banyak bersabar. Mereka sudah, Alhamdulillah. Cahaya Petunjuk dan Nur Atiqah, anda bila lagi?*

'^_^'

Thursday, 24 February 2011

M.A.R.A.H


Bila difikir kembali, marah adalah suatu perasaan sebaris dengan gembira dan sedih. Tuhan menjadikan hidup ini lebih berwarna dengan lahirnya perkara-perkara sebegini. Terlalu suram hidup ini jika si ibu tidak gembira apabila si anak mentaatinya. Terlalu kosong dunia ini jika pemergian seorang ayah yang disayangi tidak mendatangkan hibanya hati apatah lagi air mata yang menangisi. Terlalu kosong dunia ini jika kita hanya membiarkan musuh memijak agama yang kita anuti tanpa wujud rasa geram di hati.

Di sini cuba kita perhati, penciptaan warna-warni dalam kehidupan. Sebagai contohnya marah.

Benci. Geram. Dendam. Bila marah, segalanya akan berubah menjadi buruk. Baik dari segi perwatakan, perubahan wajah mahupun perubahan kondisi. Marah didatangkan sebagai jodoh yang secocok sebaik kita dirudung sesuatu yang kita tidak suka, yang hadirnya membebankan kita. Dada akan berombak, otot-otot muka akan contracted. Gigi mencengkam kuat, muka akan bertukar merah.

Orang yang berilmu bilamana dia marah, bicaranya pasti tak setanding ilmu yang dipelajarinya. Seorang lelaki pertengahan usia, berambut botak tengah, keluar rumah dengan kain pelekat dan tidak berbaju. Dari tadinya sibuk memekik,  melolong, menjerit hingga hampir ranap gegendang telinganya gara-gara ikan akuariumnya dimakan kucing jiran tetangga. Ramai yang menyangka dia sebenarnya bekas jurucakap radio terkemuka yang diserang penyakit gila. Tapi hakikatnya dia seorang professor Anatomy di universiti ternama.

Sesetengah orang dikurniakan riak wajah yang tenang (cool). Siapa yang terkena panahannya pasti akan hilang rasa benci.Aku pun turut rasa kagum  kepadamu. Tapi setenang mana pun wajah kamu, kalau gagal mengawal marah maka tercabutlah rasa tenang yang pada awalnya memukau. Itu untuk mereka yang berwajah tenang. Kalau kurang handsome lebih baik jangan marah.



Perubahan kondisi atau suasana. Ia boleh digambarkan sebagai kesan dari aura kemarahan yang dibawa seiring dengan kita. Biasanya lahir dari percakapan, dan perbuatan. Aura pengaruh dan kesannya memang jelas. Contoh yang sering berlaku. Dalam bola akan ada miss dalam menghantar bola. Awalnya memang kita mampu mengangkat tangan dan berkata “takpe”. Tapi bila dah minit ke 79. Mampu lagi ke?

Masa itu, mulut akan bercakap mendahului apa yang kita fikirkan. Kemudian akan terbawa-bawa dalam perbuatan. Contohnya menendang batu, menghempas pintu, menumbuk dinding, ataupun memberi isyarat jari hantu. Aura yang memberi pengaruh memang dapat dilihat masa itu. Nak main pun dah rasa “down”. Ada pula yang ter”influenced” makin nak marah-marah. Mulalah tak nak passing bola kat orang. Masa tu, nampak sangat adanya aura marah (kawasan kosong) kat sekeliling dia. Akhirnya, salah menyalah akan berlaku.

Dalam sedih, lebih kurang jalan ceritanya. Datang dari peristiwa yang tidak menyenangkan. Kita tidak akan suka dengannya, tetapi terpaksa merelakan. Cerita utama adalah berkaitan marah.

Jangan marah dekat post ini.

Orang yang gagah adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.

Wednesday, 23 February 2011

Hanya Dari Youtube

Thursday, 17 February 2011

Fikir & Zikir

Sunday, 23 January 2011

Harga Untuk Hati

Zaman kanak-kanak adalah bunga kebebasan. Pada waktu itu lagaknya manusia bagai raja untuk diri sendiri. Mahukan itu, mahukan ini. Bebas membuat segala kehendak hati, hanya ibu bapa menjadi batas sempadan. Pencorak kerajaan zaman berimaginasi.

Menariknya, kita juga bebas untuk berfikir ketika itu. Namun jauh sekali tarikannya kepada tuhan, kerana kita lebih gemar untuk berfikir tentang dunia dan permainan. Titik mulanya di sini. Ketika kita mula belajar mengenal dunia dan isi-isinya. Ini cerita aku, semasa dalam proses ingin tahu.


A untuk ayam. B untuk burung... G untuk gajah. H untuk harimau... J untuk jerung. K untuk kambing... R untuk rama-rama. S untuk serigala... dan Z untuk zirafah.”

Waktu itu, nama hanya sekadar nama. Belum kenal rupa. Apa itu harimau? Aku tidak tahu. Apa itu zirafah? Aku tidak tahu. Hanya wujud beberapa makhluk yang tertentu. Paling senang ada tiga binatang sahaja, ayam, burung dan kucing.

Setapak lebih maju, dapat juga kenal binatang yang lain. Nasib baik dapat pergi zoo. Boleh jumpa harimau yang belang-belang tu. Dapat juga jumpa zirafah yang asyik tengok dari dalam buku. Pada masa yang sama, dapat kenal monyet yang asyik cari kutu. Lama-lama, bila dah kenal semua imaginasi pun bermula.

Ayam kalau masak boleh dimakan. Ayam KFC sedap. Tapi ayam lari lambat. Daripada ayam baik burung. Burung ada kepak, boleh terbang. Nak balik Kuala Kangsar rumah nenek, nak balik Permatang Pauh rumah tok wan. Dua-dua boleh. Erm, tapi kucing lagi kuat. Kucing selalu tangkap burung. Malam-malam kalau tak nampak mata kucing ada lampu.

Tak best lah jadi kucing. Nak jadi bapa kucing lah, harimau. Harimau lagi besar, lagi kuat dan boleh lari lagi laju. Nak lawan dengan burung senang je. Alamak terlupa lah, ada singa. Singa pun kawan dengan harimau, tapi singa ada rambut . Singa lagi kuat. Raja rimba. Nanti boleh panggil binatang-binatang lain.

Tapi kalau nak lawan dengan gajah, mesti singa kalah. Gajah besar, ada dua tanduk. Sekali dia pijak, habis singa mati. Nak jadi gajah lah. Gajah best! Apa, gajah takut tikus? Tikus! Tikus lagi kuatlah macam itu. Ok lah, tukar balik. Nak jadi macam tikus. Kecil tapi kuat nak lawan gajah.


Itu waktu kecil, ketika kepala masih sempit dan mata masih belum terbuka luas. Tahun demi tahun berlalu dan perkara yang sama masih berterusan tetapi dengan keinginan yang berbeza.

Proton Saga, kereta nasional pertama yang dibina. Direka dengan cita-cita, akhirnya membawa kebanggaan Malaysia ke seluruh pelusuk tanah air. Tidak, Saga sudah lapok. Kita beralih kepada kereta millennium. Kita ada Proton Perdana V6. Gah, tampak mewah dan bergaya. Tidak kurang potensinya dari pengeluar kenderaan terkemuka. Ini lebih hebat.

Tapi untuk keluarga yang besar, Perdana bukan penyelesaian. Kita mesti ada ruang yang lebih besar, tempat duduk yang lebih banyak dan ruang legar yang lebih lebar. Baru mudah bergolek ke sana sini. Kita patut ada Estima. Estima lebih baik, reka bentuk pun menarik. Lagipun Proton sudah megah, sudah lama menghias jalanraya. Tiba masa untuk beralih kepada kereta dunia. Aku suka Estima.

Kisah sekolah menengah, sudah pandai mengenal bahan-bahan ternama. Suka mencari sesuatu yang lebih sempurna. Kisah remaja, lebih matang caranya.

Aku suka Nik Aziz. Orang-orang macam ini yang kita perlukan untuk bawa agama kita. Dia bawa agama dalam susur alur politik negara. Aku nak jadi seperti dia. Pemimpin mestilah seorang yang membawa Islam sebaiknya, agar menjadi qudwah hasanah untuk semua. Mahathir lagi hebat. Dia pandai dan kuat berfikir orangnya. Disebabkan dia, kita tak pinjam bank dunia sewaktu berlaku kemerosotan ekonomi dulu. Dia bijak dan disegani pemimpin dunia. Hidup Tun Mahathir.


As Syahid Imam Hasan Al Banna, penggerak Ikhwanal Muslimin. Bertekad mengembalikan Khalifah Islamiah, dia memulakan gerakannya dengan mencari orang yang betul-betul berpegang dengan islam. Biar hati yang dicari, bukan kuantiti. Sayangnya beliau syahid. “Bill” Gates. Pengasas dan jutawan Microsoft yang terkenal. Namanya di tangga teratas manusia terkaya di dunia selama beberapa tahun. Dia lebih banyak berjasa hinggakan sumbangannya terus berkembang ke hari ini.


Inilah golongan manusia seperti aku. Suka melihat dan mengagumi, dan itu lumrah kepada semua. Ada faedahnya kepada kita agar mencontohi dan menjadi seperti mereka. Ini tidak salah. Kita juga diberikan Islam sebagai agama yang terbaik dan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah yang paling mulia.

Tergelincirnya manusia dari keindahan untuk mengagumi segala penciptaan adalah apabila hilangnya nilai hormat sesama kita. Minatnya kita kepada harimau menjadikan kita tidak suka kepada kucing. Kagumnya kita kepada Estima menjadikan kita jijik menumpang Saga. Tingginya sanjungan kita kepada Mahathir, menutup usaha sama untuk merealisasikan cita-cita Nik Aziz.

Inilah masalah. Rasa kagum yang terkeluar dari makna kagum yang sebenar. Benci akan masuk untuk menghina yang lebih hina. Hormat sudah terkeluar dari sifat kemanusian. Salahnya datang dari mana? Adakah datang dari kelemahan diri mereka, atau salah kita yang terlalu memuja-muja? Hingga buta kebaikan yang ada pada mereka sebenarnya.

Tuding jari pada diri sendiri. Salahnya datang dari manusia. Kita salah ketika menilai. Boleh jadi yang baik itu buruk, dan boleh jadi yang buruk itu baik. Besar, ada yang memandangnya sebagai kebaikan. Tinggi, ada yang memandangnya sebagai keburukan. Pandai berkata-kata, ada baik dan buruknya. Diam pula tidak bermakna setuju, boleh jadi benci dan keliru. Tafsiran boleh berbeza.

Kita manusia, dan penilaian kita adalah terhad sebagai manusia. Kuasa menilai hanyalah kepada Allah, dan apa yang dinilai oleh Allah hanyalah Allah yang berkuasa keatasnya. Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu.

Walau besar, atau kecil. Walau buruk atau cantik. Walau baik atau buruk sesuatu perkara. Bukannya kita yang menilai sepenuhnya. Jangan terlebih menilai hingga hilang rasa hormat. Akhirnya kita yang berbalah tidak sudah.

Bukan kerana dia perdana menteri dia mulia. Tidak kerana dia beramal jariah dia dijamin syurga. Penilaian hanya dari pandangan Allah, dan Allah tidak mengira manusia dari luarannya tetapi Allah melihat hatinya. Baiknya seketul daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Hati, hanya hati yang Allah nilai.


Hati yang hampa. Your data is empty. Retrying to search deleted iman.


Saturday, 22 January 2011

Hampa