Monday, 20 September 2010
Indahnya CiptaanMu
Thursday, 16 September 2010
~As Shadaqah~
“Tabung Pembinaan Madrasah Agama Kampung Banjir”
“Ya Allah, bagus betul kamu ni nak. Niat pun baik, amal pun baik. Orangnya pun baik. Hahaha. Semoga Allah sentiasa tolong kamu, masa-masa senang dan susah ye nak. Orang yang tolong agama Allah, Allah pasti akan tolong dia suatu masa nanti. Pasti! Eh, pak cik tak cakap bohong ni. Ini barulah orang muda yang kita nak. Nah, nah, ambil cek ni. Bukanlah seberapa sangat, tapi harap-haraplah dapat membantu. Buat kerja rajin-rajin ye.”
(very supportive, very good. Baru pujian dari manusia,)

*****
“Eh, abang, abang! Abang tengok Dato Karim tuh. Bagus betullah dia. Orang minta derma terus je bagi, tak adalah nak komen itulah, inilah. Susah nak cari orang kaya yang pemurah zaman sekarang. Semua berlumba-lumba nak besarkan rumah sendiri je. Kawan yang xde duit, menangis tido rumah sempit2. Nanti dah siap madrasah tu, mengalir je pahala dia tak henti-henti.”
“Banyak betul duit dia kan, walaupun duit keluar laju je macam air, tapi tak pernah kering-kering pun. Nak kata tokey balak, bukan. Tokey petronas pun bukan. Niaga jual ayam itik, sayur, kerepek sikit2, tapi harta menimbun. Hidup pun senang lenang je setiap masa. Ini mesti berkat banyak bersedekah kot. Nak bagi itu, tulis je. Nak bagi ini, tulis je, kan?”
“Tapi kan bang, kita ni apa kurangnya. Hidup tuhan dah bagi senang, bersyukur je lah. Tokey jugak, tokey teksi. Kita pun lebih kurang je dengan Dato Karim tu. Nak itu tulis, nak ini pun tulis jugak, tapi tulis dalam buku hutang lah. Silap tulis sikit je.”
“Hah sudah, jangan nak mengarut lebih-lebih. Apa yang kita ada, itulah yang kita bagi. Baju-baju anak yang dulu-dulu, yang mana elok-elok lagi, awak bagilah kat dia. Boleh budak-budak pakai nanti. Kalau tak mampu, kita bertasbih je lah. Itukan sedekah juga tu.”
(Tertarik tapi tidak berkemampuan, maybe next time)

*****
(Kat belakang surau, tak solat tarawikh, jaga makanan.)
“Ya Allah, masuk hari ni je dah sepuluh orang mintak sedekah time2 bulan ramadhan ni. Apa dia ingat surau kita ni xpakai duit ke? Ni nak buat moreh, nak buat berbuka lagi. Kau ingat free ke? Tok imam2 ni pun satu, pergi bagi diorang ni buat apa. Entah semua kaki penipu ke?”
“Orang datang masjid tiap-tiap hari, bagi derma, bagi duit sikit2, untuk bagi kat surau kita. Nanti esok2 boleh la nak pasang air cond ke. Ini tidak, haish... Nak buat madrasah tapi bukan kat sini, baik tak payah. Membazir duit aku je.Sesen pun aku tak nak bagi. Budak-budak ni, mana minat madrasah-madrasah ni, semua nak masuk SBP je, MRSM lah, SMKA adalah sikit2. (M.T.D?) Madrasah ni kampung je”
(Not interested at all, tak semayang! Masalah hati orang, not our job. O God, please guide us)

*****
Dari Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; Engkau berlaku adil (mendamaikan) antara dua orang (dua orang yang berbalah) adalah sedekah. Engkau membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang engkau hayunkan kaki pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu yang bahaya di jalanraya adalah sedekah.
Hadith riwayat Imam Al Bukhari dan Al Muslim
Wednesday, 25 August 2010
"War" atau "Taqwa"
Tuesday, 17 August 2010
Ubat Kasih Kuat

Nama : Tautan Hati
Jenis : Rohani (Tablet)
Pengasas : Fatimah Syarha Mohd Noordin (Sudah berkahwin)
Pengilang : Telaga Biru Sdn Bhd
Berat Bersih : 785 Gram
Dos : 3 Bab setiap hari (tua) 5 Bab setiap hati (remaja) 1 Bab setiap hari (kanak-kanak)
Masa Penggunaan : Sesuai di ambil sehari selepas Sijil Pelajaran Malaysia tamat, Sebelum melelapkan mata, Menanti ketibaan komuter, Cuti akhir tahun, Elakkan sewaktu pembelajaran sedang berjalan atau ketika memandu
Kesan Sampingan : Mengurangkan pendarahan hati, membantu mengawal pernafasan, mengawal kenaikan darah yang mendadak, menyahtoksin dengki dan iri hati dari badan, meningkatkan tenaga rohani, melancarkan perjalanan pemikiran, memberi kelegaan pantas, merawat penyakit jiwa yang serius (khusus untuk mereka yang ingin mencari Kekasih)
Tarikh Dikilangkan : 2006
Tarikh luput : Dimakan anai-anai, kecurian atau kehilangan, dilupakan
Kandungan : Halaqah, Cinta Kerana Allah, Adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan, Kriteria-kriteria wanita solehah, Al-quran dan Hadith
Nasihat doktor :
Amalan pemakanan Tautan Hati setiap hari dapat membantu mengurangkan masalah hati, sakit-sakit dengki berjangkit dan tekanan darah tinggi. Segalanya daripada Allah, ini hanya usaha mulia. Sebarang kesan sampingan yang mengganggu hendaklah dilaporkan dengan segera sekiranya menjejaskan kesihatan.
Jangan serahkan ubat ini kepada sesiapa yang kurang dipercayai. Adik anda juga mungkin berisiko menghilangkannya (seperti yang berlaku kepada saya).
Ubat ini telah diluluskan oleh Kementerian Kesehatan Malaysia
Friday, 13 August 2010
Pemergian Didatangi

Malam ini malam terakhir dia di rumah kami. Entah berapa lama masa yang telah aku luangkan bersamanya, aku pun tidak tahu. Yang pastinya, dia amat tertarik kepadaku. Mungkin ada perwatakanku yang memikat perhatiannya sedang tidak kusedari. Sinar petang yang suram kian menghilang, menanti waktu pengakhiran. Maghrib pula menyusup masuk perlahan-lahan. Dan sedang kami asyik bersalam perpisahan;
“Assalamu3alaikum”
Kedengaran seperti ada suara insan memberi salam. Nampaknya dia sudah tiba fikirku. Ingatanku hanya berpaut padanya, seorang tetamu yang pernah berkunjung ke rumahku pada tahun lepas. Lantas, aku segera mendapatkan kunci dan berlari anak ke muka pintu. Dari dada pintu aku mengintai dan ternyata sangkaanku benar.
Aku menghirup nafas dalam-dalam, menghilangkan gementar dari diri. Tenang, itulah yang aku cuba cari. Di balik pintu aku memperkemaskan diri, menyisir rambut menjadi rapi, membutangkan baju hingga penuh dan ditambah pewangi. Ialah, siapa yang tidak begitu jikalau yang datangnya bukan calang-calang tamu. Lampu luar kunyalakan. Cahaya terang menerangi langit maghrib.
“Wa3alaikumussalam... Ahlan Ya Habibi. Ahlan. Shobri, kau sihat?”
Aku memberanikan diri menguak daun pintu. Secangkir senyuman ku lemparkan, salam menyambut kedatangan. Dari kaki hingga ke muka puas aku merenungnya. Wajah dia betul-betul di depan mataku. Sesaat melihat wajahnya, aku tergamam seketika. Rasa sedikit sayu pun ada. Dia turut bergenang air mata, begitulah rindu aku padanya. Kami memeluk erat sesama sendiri dan sesudah beberapa saat baru terlerai.
“Alhamdulillah sihat. Kau seorang je ke kat rumah?”
“Eh, tak adalah. Ni, ada membe aku sekali, Ismun. Dia dah lama ada kat sini, dah nak balik dah pun.”
Aku berpaling ke belakang mencari kawanku. Tetapi hairan, dia sudah tiada di tempatnya. Namun sebaik sahaja aku menoleh ke hadapan, dia sudah berada di sebelah kiriku. Meremang bulu romaku, dingin yang tiba-tiba. Nampaknya dia sudah mahu beredar. Aku hampir terlupa tentangnya sedari tetamuku sampai.
Aku memimpin tangan Shobri, menariknya masuk ke dalam rumah. Dan pada saat itu, Ismun turut berlalu keluar. Dengan serta-merta, segala gerak-geri terasa amat lambat jadinya. Terasa bagaikan ada pertembungan dua aura yang berbeza. Yang satunya gelap lagi satu bercahaya. Ismun dan Shobri berlaga bahu di muka pintu. Ismun tidak menoleh ke belakang langsung. Dia melangkah pergi tanpa sebarang kata.
“Aku ingin solat dulu ya. Sudah masuk maghrib.”
“Ooo. Ok.”
*****
Tulisan tanpa makna.
Oh, Ramadhan! Ramadhan datang lagi. Panggillah dia masuk, jangan dibiar tercegat. Marilah ke mari, aku sudah lama menanti kamu. Minta maaf ya. Persiapannya sedang-sedang sahaja. Aduh, tetamu istimewa diberi layanan biasa. Kenapa ini? Lain pula ceritanya kalau yang datang si Raja.
Hanya orang yang merindui Ramadhan akan menangisi pemergiannya. Bagaimana rasanya rindu pada Ramadhan? Apa? Kamu tidak sedih langsung? Kenapa kita sama? Maknanya...
Tuhan, jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang bermakna.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah Al Baqarah : 183)
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya di turunkan Al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah...”
(Surah Al Baqarah : 185)

Sunday, 25 July 2010
Pencarian Nafas Cinta
Benar. Ini semua salah. Aku yang memulakan dahulu. Gara-gara nama manusia tidak habis-habis nafsu bertuhankan begitu sahaja. Ialah, akulah antara satu daripadanya. Memang, aku jahil. Aku tidak mengerti. Darah muda mengalir dalam tubuhku ini diusap racun-racun kawan yang sebarisku. Dia dan aku sama sahaja. Buruk baiknya aku juga yang menilai.
Entah aku rasa dia ini lain ceritanya. Dalam puluhan jiwa yang turut serta, gayanya lebih menarik minatku. Tidak terlalu menonjol, dan tidak pula terlalu terasing. Berbaju kurung sahaja, kadang-kadang kebaya. Entah, aku cukup senang memerhati gelagatnya. Manis orangnya, biarlah orang kata apa. Janji bagiku dia itu istimewa.

Aduh, kalau asyik merenung dari jendela. Merpati takkan datang dengan sendirinya. Cukuplah bisikan-bisikan teman. Aku nekad, jadikan ini sebagai cubaan. Ah! biarkan segala iman dan amal diketepikan. Ingat, ini sekadar cubaan. Belum cuba belum tahu. Taringku disimpan, muka cuba memaparkan sinar kebaikan yang kononnya paling beriman.
Betullah. Dia memang lain dari yang lain. Seperti yang ku sangka. Teguranku tidak menggugat fitrah wanitanya, malah dibalas endah tak endah begitu saja. “Tiada telefon”, alasan yang membuatkanku kaku. Bungkus, aku perlu segera mengatur langkahku. Berhari mataku pinar, kaki hanya berjalan dengan sendirinya. Sedang otak melayang fikirkan dia. Entah, belum ku tahu siapakah nama.
Mari, siapa yang mahu datang ke mari. Hairan dengan suasana bingit aku melangkah mendapatkan khabar. Dari jauh ku tangkap ucapannya sepatah-sepatah. Terdengar, sayup-sayup ~yaya~. Serupa kenal nama ini. Bukan silap telingaku mendengar, itu tidak lain nama si dia. Orang yang aku ingin kenali. Tertera tiga nama di situ. Satunya Dini, dua Lili dan tiga Yaya. Di sebelahnya ada disertakan nombor telefon.
Senang kalian mendapatkannya. Konfius. Mengapa begitu mudah mendapatkan nombornya? Ah, tak mengapa yang penting ambil dulu apa yang di depan mata. Save. Hari di kem beransur sudah. Maktab menanti aku di penghujung. Bas dari Melaka meninggalkan sejarahnya di sana. Sedang yang lain sibuk mengimbau memori 5 hari, aku pula mencorak masa depan. Bagaikan tuhan, aku yang cuba mengatur segala urusan perkenalan.
Ternyata, gangguanku tidak terjawab pada awalnya. Habis dua tiga kali, pun masih tiada respon. Tak mengapalah, nanti-nanti dia balas, hati kecil menyedapkan suasana. Putus asaku masih belum berteriak. Tangan pantas mengatur ayat, alim-alim kucing lagaknya. Cuba mencairkan hatinya yang keras pada pandanganku. Dan tanpa sangkaan yang diharapkan, cubaanku berbalas.
Dia mengingatiku sedari aku pertama kali memberanikan diri. Nombor siriku juga tidak lupa dari ingatan. Dan langsung dari itu, aku cuba mencari titik rapat yang menjauhkan jurang aku dengan tuhan. Dari bualan kosong, aku sedaya upaya membuang kisah-kisah lama. Berharap hati tidak laku jika dihidang kisah-kisah biasa.
Namun, dari hari ke hari. Minggu ke minggu. Bulan ke bulan. Dan cecah ke tahun. Hidangan biasa bertukar selera. Jika dulu aku sekadar disuapkan nasi. Tapi kini aku sudah besar, nasi saja tidak memadai. Aku perlukan lauk, sedikit sayur dan sepiring kuah. Bilamana sekali berpuasa, tibanya masa berbuka dengan sajian yang tak terhitung bilangannya. Penamatnya, nasi masih di pinggan, lauk sudah dibuang dan kuah dipanaskan untuk hari esoknya. Jemu melihat nasi masih di depan mata. Tapi itulah nasi yang kau kempunankan masa tiada.
Sudah. Aku ingin melangkah ke dunia baruku. Aku sudah hampir menjangkau 19 tahun. Tuhan, aku cuma harapkan kebaikan dari bumi yang kau sediakan untukku. Tanah Kinanah dipijak, tapi aku masih melihat langit yang sama. Hanya lantainya yang berbeza. Mindaku berubah sejak di sini. Lebih terbuka agaknya. Sungguh, kesempatan aku di sini bagaikan satu kebetulan yang ditetapkanNya. Alhamdulillah.
Hati aku terpetik untuk menjadi seorang dari mereka. Mereka yang mengamalkan ajaran agama yang sempurna. Tidak, dia bukannya seorang yang baik. Dia cuma mengamalkan agama sebaiknya. Ilmu yang turun, dipergunakan. Ilmu itu ajaib sangkaanku, kerana berjaya merubah dari jahil kepada arif, dari kejam kepada zalim, dari keras kepada lembut. Inilah hasil ilmunya. Aku sedikit tertarik dengan mereka.

Credit to: Salam Abdullah
Menjadi satu keanehan bagiku melihat mereka yang mengamalkan apa yang aku sedang anuti. Benar, dia adalah islam. Sama sepertiku. Adakah aku sesat, atau dia terlampau syadid? Tidak, kamu yang masih belum sempurna. Lihat dirimu, lihat hatimu, lihat pakaianmu. Kosong. Hatimu kosong dari Dia. Mungkin pernah satu ketika kau menyebut nama Dia. Hadir dalam pertanyaan yang tak disengaja. Ah, aku bagaikan seorang yang baru kenal islam.
Sedikit sebanyak aku cuba mendekatkan diri padaNya. Dengan tiada siapa disebelahku, melainkan teman yang turut terduduk di kerusi yang sama. Kami hanya berbekalkan semangat dan sedikit ilmu lampau. Yang aku tahu, Al quran dan Hadith adalah jiwa manusia. Matinya kita dari ketidakhadiran pada kedua-dua perkara.
Kau pun turut merasa bukan? Rasa kosong dan pudar yang merimaskan. Bebanan yang menggunung jatuh menimpa. Yang terus mendatang tidak tahu mahu letak di mana. Itulah, impak dosa kita. Hati kosong yang tak bertuhan. Ditambah perasaan tidak mahu mencariNya. Ditutup pula dengan benci kepada ibadah berpanjangan. Sampaikan hati ini dikunci dengan kegilaan membuat dosa malah tidak terasa lagi bahang pedih neraka.
Alhamdulillah. Bilamana tiba satu saat kita tersentak. Aliran dosa yang kita bermandikan hilang sejenak. Mujur, tuhan masih cinta pada kita. Bilamana syaitan mula berkurang dari diri, hati pula senang tersentuh menginsafi diri. Kadang-kadang bertaut juga soalan, tuhan apakah yang kita sedang persembahkan? Soalan ini bukan bala yang Allah turunkan. Bagiku ia nikmat yang Allah nak tunjukkan. Siapakah tuhan?
Dari kecil aku akui tuhanku adalah Allah. Ibu bapa mewariskanku ilmu yang aku sendiri tidak menyedarinya. Itulah ilmu mengenal tuhan. Sains di luar pengetahuan, psikologi di sebalik pemikiran, barangkali boleh gila jika difikirkan. Tapi ia logik yang masuk akal tafsiran. Malangnya, aku tidak mengetahui di mana tumbuh akarnya, tapi aku sudah memperoleh buahnya. Itulah aku, mendapat islam dari pewarisan. Alhamdulillah.
Umur kanak-kanak adalah zaman riang yang tak terhingga. Sampaikan aku terasa ingin kekal kecil selamanya. Tapi masa diatur supaya terus berlalu, lalu si anak akan menjadi remaja, kemudian berubah dewasa dan akhirnya tua. Hebatnya yang merencana, membolehkan kita semua merasai zaman kanak-kanak dengan adilnya. Tiada yang tua selamanya, tiada yang kekal kanak-kanak selamanya.
Dari kecil, aku diajar agar mentaati Allah dan rasulnya. Sudah tentu pada usia itu aku sering tertanya-tanya “mengapa?”. Ibu hanya mampu berkata, “Sebab Allah bagi kita makan dan minum”, jawab ibuku sambil tersenyum. Jawapannya mudah, sesuai dengan usiaku yang masih tidak tahu apa-apa. Waktu itu akalku mampu menerima dengan mudahnya. Pemahamanku ringkas, “Allah memberi makan, kita memberi taat”.
Kini, aku dan kau sudah dewasa. Masing-masing hanya mahu mendominasi alam remaja. Memberi alasan mencari kepuasan, bahkan hidup gembira dengan persekitaran. Minda juga berubah seiring suasana. Kalau dulu seorang anak kecil hanya memerlukan separuh pinggan untuk puas makan, tapi kini sepinggan belum tentu dapat menghilangkan nikmat kelaparan. Samalah juga hati dan perasaan. Jika kini kita merasa kosong dari tuhan, sedarlah sebenarnya kita juga memerlukan pencarian yang lebih. Insya Allah, Allah mencari akan kita lebih dari itu.
Begitulah manusia. Jika dulu hati mudah menerima “Tuhan memberi makan, kita memberi taat”, tapi kini tidak lagi. Jiwa yang kian tahun kian membesar merayu-rayu agar diberikan santapan yang lebih. Mahu atau tidak, kita wajib memberinya makanan yang lebih. Sekiranya tidak mencukupi, pasti ia akan mati kebuluran. Mungkin saat ini ada insan yang kekurangan makanan. Lapar adalah perasaan, makanan adalah akidah kita kepada tuhan.
Allah adalah tuhan sekalian alam. Yang maha satu, yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Yang hidup dan yang mematikan. Yang kaya dan memberi kekayaan. Yang lembut dan pemaaf. Namanya jelas menceritakan perihal kuasa yang tidak ada setandingNya. Dia yang memberikan mata dapat melihat, yang membolehkan telinga mendengar, yang melembutkan jari-jari untuk menulis, yang mengurus segala tadbir diri kita yang tidak mampu kita mengawalnya.
Gunalah akal sebaiknya, kerana akal juga membesar seiring dewasa kita. Hanya mereka yang mahu mencari pasti akan memperolehi.
“Ya Allah, bantulah aku mencari redhaMu, teguhkanlah pendirianku kepadaMu. Sungguh hambaMu ini lemah dan lalai setiap waktu. Kau hilangkanlah tangan-tangan yang menarikku jauh dariMu, yang menghalangi mataku dari melihat kebesaranMu, yang menutup telingaku dari mendengar kebenaranMu. Ya Allah, bantulah umat Islam. Bangunkanlah umat islam dari mimpi yang dahsyat. Pinjamkanlah kami sedikit dari kekuatanMu. Untuk melawan nafsu”.
Sudahlah Yaya. Kesat air mata itu. Aku tak layak ditangisi. Pada Rasulullah pun kita tak dapat bermuram durja, inikan aku yang jijik kau sanggup berlelehan air mata. Tolong, jangan buat sesuatu yang tak berguna. Tolonglah, julanglah martabat kau sebagai wanita. Kuatkan diri melawan derita yang tidak sebesar mana. Sebaliknya menangislah kerana dosa. Dosa yang kita sendiri tak sangka.
Aku tahu mana silapku, tapi aku tak tahu mana jalan putusku. Adakah benar penyelesaianku? Atau tindak-tandukku terlalu terburu-buru? Sudah puas aku menghitung setiap perilakuku, hingga yang mendatang pun aku cuba melakar. Terkadang aku sendiri rasa tertipu. Putar sana, putar sini dan akhirnya aku bertemu ruang yang aku cuba larikan. Sungguh, rupanya aku terlalu jauh dengan tuhan.


